Sunday, November 23, 2008

SAYA BUKAN PENGAMPU KERAJAAN - MUFTI PERLIS


mStar Online (21 November 2008)


MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (foto) bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.

"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap. Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran.

Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia. Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.

Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain. Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.

Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya. Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam. Selama hampir satu jam temubual di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.

Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi. Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:

BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP?

Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak. Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu.

Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.

ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS?

Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.

ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI

Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas. Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan.

Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira. Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.

MAKSUD DR?

Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.

ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK

Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....

TAPI DR TIDAK NAFIKAN?

Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.


BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?

Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.

ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?

Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....

MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?

Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.

ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?

Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.
Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak.

Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur.

Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak? Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna. Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.


TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?

Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.

KEMUNGKINANNYA MENJADI AHLI POLITIK?

Itu memerlukan satu kajian yang saya akan buat ketika itu nanti. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan perkara itu sesuai atau tidak.

ADAKAH DR PERLUKAN JAWATAN UNTUK MELONTARKAN PANDANGAN BILA BALIK NANTI?

Dalam kehidupan umat Islam ini, ada beberapa perkara pasal tokoh ini. Ada tokoh yang terkenal kerana jawatannya sedangkan dia itu bila dicabut jawatannya, maka he is nothing Ada orang tanpa jawatan, dia dianggap berwibawa.

Ada orang, jawatan dan dia digabungkan sekali barulah kewibawaan itu nampak. Bukan sedikit dalam sejarah pemikiran, munculnya ada tokoh-tokoh tidak mempunyai jawatan, mereka dianggap pemikir besar yang menjadi rujukan. Budaya ini mesti kita hidUpkan dalam masyarakat. Cuma kita ada banyak tokoh agama, sebahagian pergi ke politik dan sebahagian ada kepentingan tertentu.

Keadaan ini hilang. Wujudkan tokoh dengan kemampuannya sendiri dengan pemkirannya yang luas boleh berlaku dalam dunia Islam. Bahkan mufti-mufti yang tidak rasmi lebih terkenal dari mufti-mufti terkenal dalam dunia Islam. Kita tak tahu mufti-mufti dalam negara ini tetapi tokoh-tokoh besar tak tahu apapun jawatannya tapi pemikirannya sangat besar. Ini tidaklah bererti saya menolak jawatan.

Saya hanya menegaskan bahawasanya hal itu boleh berlaku. Untuk menyampaikan kepada pemikiran, tetap boleh dilakukan kalau kena pada caranya. Pemikiran ini dapat disebarkan bila seseorang tidak mempunyai jawatan. Memilikki jawatan dalam keadaan tertentu membantu seseorang dalam masyarakat. Yang perlukan jawatan kerana pihak-pihak berkuasa mengambilkira jawatan kerana dianggap authority mungkin perlu, tidak memadai sekadar pandangan.

JADI DR SENDIRI MELIHAT DR DALAM KATEGORI MANA?

Saya tak tahulah....Saya nak kena tengok dulu apa akan berlaku jika saya memberikan pandangan tanpa jawatan. Adakah pandangan itu masih lagi dianggap berharga, bernas atau telah tidak bernas kerana saya tidak ada jawatan.

Selama ini saya jadi mufti, saya rasa banyak pandangan saya banyak berbeza dari orang lain, kalau dari sudut popular, ianya tidak boleh popular kerana berbeza dengan banyak tokoh-tokoh agama di Malaysia. Alhamdulillah, pandangan saya yang bernas itu senantiasa dapat diketengahkan dan dibincangkan, dilihat asas-asas pandangan dan banyak pandangan saya yang ditentang pada peringkat awalnya kemudiannya diterima sebagai pendapat umum dan dibincangkan di peringkat negara. Walaupun masih ada yang kontra tapi masih ada yang boleh menerima.

DR DIANGGAP 'A THREAT' PADA MUFTI-MUFTI LAIN? ADAKAH DR RASA TIDAK SELESA DENGAN SITUASI INI ATAU TIDAK KISAH?

Saya tidak kisah hal ini sebab kalau saya ingat memegang jawatan Mufti dalam keadaan selesa saya kenalah mencari keselesaan, ada kereta rasmi, tak payah beri pandangan, buat berserabut kepala. Saya tidak pilih itu.

Saya turun ke kampung, berjumpa berbagai lapisan, golongan cerdik pandai, terangkan apa yang kita bawa...menunjukkan ini bukan satu perjuangan untuk senang. Perjuangan untuk sampaikan mesej. Alhamdulillah ada perbezaan dengan banyak pihak tapi dari segi rakyat, mereka boleh menerima.

ADA NEGERI YANG TIDAK BENARKAN DR MASUK BAGI CERAMAH. BOLEH KOMEN?

Di Malaysia semua negeri saya boleh masuk. Saya boleh masuk, tapi tidak dibenarkan bagi ceramah dalam platform-platform yang mereka ini ada kuasa.
Pada masyarakat tempatan di negeri tertentu, beribu ramai yang datang nak dengar saya berucap. Tapi saya tidak hadir disebabkan pihak agama yang rasa kehadiran saya akan menggugat pandangan-pandangan yang mereka berikan atau takut saya akan mengkritik pengurusan agama sebab itu mereka tidak benarkan.

DR PERNAH DILABEL SEBAGAI PENCERAMAH UMNO DAN KADANGKALA PENYOKONG PAS

Kita kena memecahkan cara berfikir rakyat Malaysia ni. Mereka senantiasa menjangka dalam dunia ini haya ada dua warna saja - hitam atau putih, kuning ataupun biru - salah satu.
Manusia mesti boleh berfikir di luar daripada keterikatan ini. Apabila saya memberi pandangan yang berbeza dengan Umno, tidak bermakna saya berpihak pada pembangkang. Dan apabila saya mengkritik PAS, ini bukan bermakna saya mewakili Umno.

Ini perkara yang gagal difahami sehingga kita senantiasa mempunyai pengampu dan orang-orang yang takut berfikir di luar dari kotak ini.

Kritikan boleh diberikan kepada rakan kalau dia salah. Pada mulanya Umno terkejut, PAS terkejut. Tapi sekarang sudah ada orang mula berfikiran di luar keterikatan ini. Kenapa harus dihadkan segala kutukan untuk musuh kita, segala pujian pada kawan kita? Tidak semestinya. Segala kritikan boleh ditujukan pada kawan kalau dia salah.

Dan pujian pada musuh kita kalau dia berbuat sesuatu yang elok dari segi moral. Ini tidak mustahil tapi ini tidak dikenali oleh dunia yang telah memblog-blogkan manusia di atas nama parti-parti politik. Pemilihan politik Malaysia sepatutnya sama macam di Amerika.

DR MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN RAMAI VIP, KOMEN DR?

Saya ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, menteri-menteri juga dengan pemimpin pembangkang. Tetapi ini tidak menghalang saya memberi pandangan.

Saya tidak mengutuk anda tetapi saya berhak memberi pandangan yang berbeza dengan anda. Saya bukan dibayar gaji untuk pengampu dan ini tidak seharusnya berlaku.

RATA-RATA APAKAH RESPON DARI ORANG RAMAI APABILA MEREKA MENDENGAR DR AKAN LEPASKAN JAWATAN MUFTI PERLIS

Ada yang tanya kenapa nak berhenti, tak sesuai ke? Tapi saya bersungguh dalam hal ini. Raja Perlis minta saya tunggu dulu sehingga saya pergi ke UK.

Saya merasa di saat ini, waktu saya keluar dari jawatan Mufti ini 'timing' yang betul. Disebabkan pergolakan yang berlaku di Perlis itu sendiri, keadaan politik di sana juga situasi politik Malaysia yang sekan-akan mencari arah.

Elok saya dedahkan diri di dunia Barat yang mana saya belum ada pengalaman ini, mengambil nafas baru, ambil pengalaman baru yang boleh dikongsi, yang boleh dianalisa, pembacaan dan research.

APAKAH PERGOLAKAN YANG DIMAKSUDKAN ITU?

Kita tahu Perlis selepas pilihanraya agak pelbagai-bagai...Masih lagi desus desas, berbunyi itu dan ini yang tak habis-habis....

HARAPAN PADA PENGGANTI MUFTI PERLIS

Saya harap supaya, bukan saja jawatan Mufti Perlis. Apa saja jawatan. Mufti bukan untuk jawatan untuk keselesaan. Kita dapat sampaikan tanggung jawab dan sampaikan risalah yang betul. Ini penting. Kalau kita fikir sekadar nak kerja dan ada gaji, ini akan memandulkan peranan kita sebagai Mufti.

PANDANGAN DR TENTANG KEBERKESANAN PERANAN MUFTI-MUFTI LAIN

Saya tidak tahu adakah peranan mereka dah berjaya atau tidak..... tapi rakyat, orang awam berhak menilai. Adakah Mufti-mufti mereka telah mainkan peranan atau masih perlukan memainkan peranan yang lebih?

BOLEH DR KOMEN KEBERKESANAN PERANAN JAKIM, JAIS DAN JABATAN AGAMA LAIN SETAKAT INI, ADAKAH SUDAH MEMADAI?

Saya bagi pandangan berbagai-bagai dan mengkritik juga beberapa tindakan Mahkamah Syariah mengenai hak-hak wanita. Masih ada lagi kekurangan ataupun isu-isu tertangguh yang tidak sepatutnya. Walaupun pandangan itu kurang selesa.

Jika kita tengok aktiviti JAKIM, apa saja aktiviti akan mengelakkan penglibatan saya, melainkan perkara yang tidak boleh tidak, melibatkan saya. Kita tahu mereka ada banyak panel berhubung dengan agama, Pengarah JAKIM tidak akan melibatkan saya walaupun Mufti-mufti lain terlibat.

Mungkin mereka merasa kurang selesa dengan pandangan-pandangan saya. Dan kebiasaan golongan agama ini, dia pantang dikritik. Saya pernah memberikan teguran kepada Pengarah JAKIM sendiri tentang sikap double standardnya walaupun sikap itu tidak mendukacitakan saya pun. Tetapi hakikatnya jika mereka bersikap demikian, satu hari nanti jika mereka tidak berubah, mereka akan diubah.

ANTARA RUNGUTAN ORANG RAMAI, TIDAK ADA KESERAGAMAN DALAM SESUATU ISU AGAMA DAN MAJLIS FATWA JUGA LAMBAT MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? TAPI DR SELALU MELONTAR PANDANGAN YANG CEPAT DAN BOLEH DITERIMA RAMAI

Alhamdulillah, antara perkara Allah kurniakan saya ialah pandangan yang dilontarkan, akan tertumpu pada pandangan itu. Pandangan itu akan menjadi panas. Ramai yang menilai pandangan itu secara serius walaupun ada yang pro dan kontra. Mungkin juga rakyat Malaysia sudah sampai satu pendidikan yang agak baik.

Tak nak lagi pandangan you beri, I ikut. Ini tak boleh, ini boleh. Ini haram ini halal. Mereka nak alasan, apa kemunasabahan, apa fakta disebaliknya. Saya sentiasa tidak lupa melampirkan alasan-alasan pandangan. Saya membiasakan rakyat supaya mereka celik agama dan tidak hanya menjadi pengikut tanpa mengetahui apa yang mereka ikut.

PANDANGAN DR TENTANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Saya mempunyai kesimpulan yang saya 'simpan' untuk Majlis Fatwa ini. Jika negara ini hendak diubah, kita perlu lihat juga kesungguhan Majlis Fatwa. Sukar untuk simpulkan. Saya cadangkan Mesyuarat Majlis Fatwa disiarkan pada orang ramai melalui siaran TV.

Rakyat tak tahu selama ini....Biar rakyat menilainya sendiri bagaimana sesuatu isu itu dibincang dan ketelusannya. Nak tengok sejauhmana isu itu dibincangkan dengan masak atau tidak atau dibincangkan dengan penuh ketelusan ataupun tidak sekadar melepaskan tuntutan atau kebisingan orang ramai.

Pengerusi Majlis Fatwa juga perlu dinilai kemunasabahan untuk terus berada di jawatan berkenaan. Saya tidak mahu membuat penilaian keputusan itu positif atau negatif. Kita akan beri hak itu pada rakyat jika mesyuarat fatwa itu disiarkan.

PADA PANDANGAN DR, APA YANG MENYEBABKAN SESUATU FATWA ITU LAMBAT DIKELUARKAN CONTOHNYA ISU YOGA

Saya tidak mahu menyebut, ada perkara-perkara yang luarbiasa. Tidak boleh ada dalam pemikiran orang yang ingin memberi fatwa, sebelum memberi fatwa, "Adakah hal ini diredhai oleh pihak-pihak tertentu atau tidak?". Mereka hendaklah berfikir fatwa berteraskan fakta dan ilmu dan bukan berteraskan, kehendak dan keredhaan dari pihak-pihak tertentu.

Kalau itu boleh dilakukan, maka perbincangan itu hendaklah ilmiah dan mantap. Rakyat patut diberi peluang melihat bagaimana proses mereka melakukan ini.

MUNGKINKAH ADA SUARA LAIN YANG DAPAT MENGGANTIKAN DR BILA DR KE UK NANTI

Tidak dapat pastikan tempat saya akan terisi atau tidak. Setengah pihak lega saya tidak jadi mufti lagi. Kita lihat mungkin ada orang lain akan juga berikan pandangan. Perubahan terus akan ada, rakyatlah yang akan nilainya.

BAGAIMANA DENGAN KESINAMBUNGAN MEMANTAU AGENDA PERUBAHAN MINDA YANG DR USAHAKAN SELAMA INI?

Ribuan bantahan yang dihantar kerana saya hendak berhenti. Tidak puas hati dinyatakan oleh berbagai individu dan persatuan bahawa kata tindakan saya silap. Rasanya tindakan saya melepaskan jawatan Mufti itu tidak silap. Bila ada isu, mereka semua ini menunggu pandangan saya tentang isu ini.

Insya Allah, tindakan saya tidak silap. Saya sendiri tidak tinggalkan negara ini begitu saja kerana jentera perubahan minda senantiasa bergerak aktif di pelbagai-bagai peringkat. Saya bekerja ke arah itu. Saya juga ada laman website saya, drmaza.com. Kedua, saya harapkan media masih berikan ruang untuk saya melontarkan pandangan.

Ketika saya jadi Mufti Perlis, saya gunakan jawatan itu untuk sampaikan mesej. Dalam kedudukan saya sekarang, sama seperti dulu. Saya berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada kerja rasmi dan kerja asal saya. Mungkin di UK, saya dapat rehat sikit, itupun di sana kelihatnnya rakyat Malaysia telah menyusun banyak program untuk saya hadir.

Rakyat Malaysia di seluruh dunia dari negara-negara barat menghantar emel mengikuti perkembangan saya. Mungkin itu kesan dari apa yang saya buat kerana mereka tahu aktiviti saya. Mereka mengharapkan pandangan-pandangan dari saya.

KOMEN DR TENTANG GELARAN 'MUFTI KONTROVERSI'?

Kontroversi mungkin kerana perkara-perkara itu dilontarkan di tengah media. Tetapi biasanya, media tidak akan kutip kalau tidak kontroversi. Elemen kontroversi itu kadang-kadang perlu supaya berita itu dapat diedarkan. Kadang-kadang bila saya wujudkan sesuatu berita itu, saya 'create'kan sedikit elemen supaya sekurang-kurangnya mesej itu dapat dibaca kalau tidak siapapun tidak kutip. Itu salah satu dari strategi dalam kita sebarkan pemikiran. Itu juga barangkali perlu dibaca oleh ahli-ahli pemikiran - mesti tahu apakah saluran suatu pemikiran itu naik ke hadapan.

ADAKAH DR MELIHAT DIRI DR SEBAGAI SEORANG STRATEGIS?

Saya tak tahu...saya satu orang yang banyak memikirkannya..strategi sesuatu tindakan. Dalam dua tahun itu kebanyakan strategi itu berjalan dengan baik. Ketika saya dikepung dengan kepungan yang agak dashyat oleh pihak agama tertentu, saya melepasi kepungan itu, Alhamdulillah.

SELEPAS SEKEMBALI NANTI, APAKAH PROFESION PILIHAN DR?

Orang melihat saya sebagai apa? Saya melihat diri saya sebagai Mohd Asri....Saya akan maklumkan kemudian. Ramai ahli politik yang ramalkan tarikh-tarikh tertentu, akhirnya tarikhnya pun tak menjadi. Jadi, buat apa saya meramalkan satu tarikh ataupun perancangan akhirnya tak jadi, menjadi satu tempelak orang ramai saja.

Saturday, November 22, 2008

DAH LAH ALI... LUPAKAN SHAHRUKH KHAN

Geger seluruh negara. Kesian kat Datuk Seri Mohd Ali Rustam, calon Timbalan Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka.

“Shah Rukh Khant come” demikianlah tajuk muka tiga akhbar The Star 20 November 2008 (kelmarin).

Dah lah Ali oii....Bintang Bollywood yang Datuk Seri gila-gilakan itu tidak akan datang seperti dijangkakan.

Anugerah “Datuk” Melaka oleh Ketua Menteri Melaka itu tidak sebesar mana baginya. Dia sudah mengatakan tidak dapat hadir menerima anugerah tersebut pada tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu 29 November ini.

Alasannya beliau sibuk.

Sebelum ini penganugerahan bintang-bintang kebesaran negeri sempena ulangtahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun berlangsung tanpa kehadiran ShahRukh walaupun beliau diseneraikan menerima gelaran tertinggi negeri itu juga atas alasan yang sama.

Maka kelam-kabut dan bergelutlah kerajaan negeri menetapkan tarikh baru khas untuk mengalungkan gelaran kepada anak asing yang tidak pernah berjasa kepada negeri itu.

Dikhabarkan pihak TV juga akan menyiarkan secara langsung majlis untuk anak Bollywood itu nanti, dan kini tiba-tiba beliau tiada masa untuk Melaka kerana sibuk!

Bukankah ini suatu penghinaan kerana ternyata si ShahRukh tidak ambil berat apalagi meletakkan Melaka sebagai satu keutamaan buat beliau.

Saya tidak faham kenapa kita perlu meletakkan diri kita terlalu rendah seolah kebulurkan sangat kelibat beliau yang tidak langsung memperdulikan kita pun.

Kini sekali lagi kerajaan negeri mencari pula tarikh baru.

Kalau pun benar Ali Rustam mahu menang jawatan Timbalan Presiden Umno, tak perlulah mahu mencuri “glamour” melalui ShahRukh. Malah saya meraskana puaka Shah Rukh ini nampak-nampaknya akan menghantui Ali Rustam dan berkemungkinan beliau nanti kecundang kerananya. Sekarang pun isu ini dijadikan bahan senda gurau oleh semua pihak termasuk kalangan Umno.

Jebat rebah kerana Taming Sari, Ali Rustam tersungkur angkara Shah Rukh!

THE STAR SEMAKIN TUNJUK WARNA

Biarpun geger satu Malaysia mengenai sikap biadap Menteri Besar Perak terhadap jurugambar akhbar Utusan Malaysia namun kejadian itu tidak disiarkan oleh akhbar The Star yang selalunya menjuarai perjuangan untuk hak wartawan dan kewartawanan di negara ini .

Tidak sepatah pun berita mengenai sikap MB pakatan pembangkang itu disiarkan.
Malah bantahan keras yang dibuat oleh Institut Akhbar Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Kelab Wartawan Kebangsaan Malaysia terhadap sikap Menteri Besar itu juga tidak disiarkan oleh The Star.

Sikap akhbar berbahasa Inggeris ini mengenai beberapa perkara yang ada kaitan dengan ‘kepentingan Melayu’ dan orang Melayu kini menjadi tanda tanya.

Sudah pasti The Star melihat Utusan Malaysia ini amat berkait rapat dengan kepentingan Melayu,

Akhbar itu jelas tidak ada lagi bersikap setiakawan antara wartawan khususnya dari akhbar Melayu, lebih-lebih lagi jika berakitan dengan Utusan Malaysia, seolah-olah akhbar berbahasa Melayu itu ‘musuhnya’.

Setiakawan dalam dunia kewartawan telah tidak menjadi pegangan The Star lagi kerana yang penting baginya ialah setiakawan dengan pakatan pembangkang demi untuk masa depan Malaysia dan untuk Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Maka itu sebarang serangan dan tindakan terhadap Utusan Malaysia akan dibesar-besarkan oleh akhbar The Star tanpa berpegang lagi kepada etika kerjasama antara akhbar untuk tidak menyebutkan nama akhbar yang berkenaan .

Datuk Wong Chun Wai, Ketua Pengarang Akhbar The Star bijak berpura pura sebagai orang Barisan Nasional tetapi dia harus sedar bahawa kepura-puraannya hanya akan laku pada zaman Abdullah Badawi sahaja.

Dalam ulasan Kopitiam Talk (Malaysiaaktif) turut mengulas sikap The Star ini selain memperkatakan sikap biadap Menteri Besar Perak itu.

KOPITIAM TALK

malaysiaaktif.com (14 November 2008)

RABU lalu Menteri Besar pakatan pembangkang Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin telah bersikap kasar terhadap jurugambar Utusan Malaysia Mohd Najib Mohd Nor dengan memaksanya menyerahkan kamera dan memadamkan gambar yang diambilnya ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam bagi pihak bekas Menteri Besar Perak. Mohd Tajol Rosli telah menuntut Menteri Besar itu meminta maaf kerana menuduhnya menjalankan konspirasi politik bagi penangkapan dua exco kerajaan negeri oleh Badan Pencegah Rasuah. MB Perak itu memanggil jurugambar ini secara kurang ajar dengan berteriak: “Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera!” Seorang yang mempunyai budi bahasa yang tinggi akan memanggil orang lain dengan bersopan sekalipun apa taraf dan kedudukannya. Ini menunjukan bahawa manusia yang menjadi MB Perak ini bukanlah daripada keturunan yang baik, tidak berperadaban tinggi, sombong dan bongkak . Biasanya orang dari kelas rendah yang menderita perasaan rendah diri akan menunjukan ketinggian dirinya apabila berada pada kedudukan boleh berbuat demikian.
MB Perak ini bukan sahaja daripada wajahnya, tetapi daripada kelakuannya menunjukan beliau berpontensi untuk menjadi seorang pemimpin Islam yang keras, ganas dan bengis.

Wednesday, November 19, 2008

PARTI MELAYU PERLU SENADA, BERSATU

Wahai orang Melayu, baca dan fikir apa kata Putra Kedah 2008 melalui Forum Utusan Malaysia ini!

Oleh PUTRA KEDAH 2008

Alor Star

SAYA sebagai rakyat dan anak jati Kedah ingin menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dalam isu kuota perumahan 50 peratus Bumiputera, bukan atas dasar politik, tetapi dasar hak dan masalah ketidakseimbangan.

Sejak kecil lagi saya perhatikan sawah padi di sekitar Alor Setar sehinggalah ke berpuluh kilometer radius sekelilingnya dilenyapkan secara pantas dengan pembinaan rumah-rumah berkos tinggi dan projek-projek hartanah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh Melayu.
Mengapa?

Saya berasa hairan mengapa kerajaan sebelum ini tidak pernah mengkaji dasar perumahan di Kedah sehingga menyebabkan ramai orang Melayu terpinggir serta memiliki rumah tidak sempurna, sedangkan tanah sawah milik Melayu dikorbankan saban tahun atas nama pembangunan. Dalam isu melibatkan hak dan kebajikan bangsa pribumi Melayu dan Islam ini tidak harus disempadankan oleh faktor dendam politik sempit.

Pihak pembangkang di Kedah seharusnya senada dengan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu membela Islam, kemiskinan, ketinggalan serta kedaifan rakyat Kedah ini terutama kaum Melayu. Kita lihat bagaimana kaum Cina boleh senada dengan tidak kira parti MCA, DAP atau Gerakan dalam isu membela 'kekayaan' kaum mereka.

Mereka bukan menuntut hak asasi, tetapi menggoncangkan hak kaum lain untuk kekayaan dan kepuasan perniagaan mereka. Tetapi langsung pihak atasan tidak anggap itu sebagai perkauman secara halus. Malah kaum kita sendiri menghentam tindakan kerajaan negeri Kedah ini dalam isu rakyat demi untuk meraih sokongan 'kosong' daripada kaum lain.

Seharusnya kita patut menyatakan sokongan padu terhadap keberanian dan ketegasan Menteri Besar Kedah, dalam memperbetulkan ketidakseimbangan ini setelah sekian lama dibiarkan. Beliau juga berjaya menyelamatkan kampung-kampung, tanah-tanah sawah, surau, masjid yang dimiliki oleh kaum Melayu daripada terkorban melalui projek petroleum di Yan, dengan memindahkannya ke laut.

Satu tindakan bijak untuk mengelakkan rosaknya sosio-budaya masyarakat Melayu di kawasan tersebut apabila berubahnya landskap pertanian kepada industri berat. Hal ini akan mencambahkan lagi kehadiran orang luar yang akan membeli tanah-tanah Melayu dengan nilai tinggi, akhirnya tiada keuntungan jangka panjang pun kepada orang Melayu.

Ini, tiidak lagi dikaji tentang kemusnahan sosial yang akan berlaku apabila suatu kawasan perkampungan itu dimajukan dengan industri berat.

Seharusnya, kita kena buka mata dan pelajari sikap orang Cina memperjuangkan isu tuntutan mereka merentasi sempadan fahaman politik. Di pihak manapun mereka tetap mendapat keuntungan berbanding kita yang suka menanggguk di air yang keruh.

Saya mencadangkan supaya permainan politik 'jahil' yang diamalkan sebelum ini ditukar kepada politik bijak yang menguntungkan rakyat, khususnya menjamin kedaulatan Islam dan ketuanan hak Melayu di Malaysia ini. Saya ucapkan syabas kepada Menteri Besar Kedah yang membela kedaifan rakyat Kedah.

Tuesday, November 18, 2008

BELAJARLAH BAGAIMANA PAS TUMBANG

Bagaimana kalau PKR memerintah Malaysia?

Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn mungkin menjadi sasaran pertama mereka.
PKR jangan mudah lupa. Belajarlah daripada Pas bagaimana kesannya jika ambil alih bangunan sembarangan.

Antara sebab Pas tumbang di Terengganu ialah kerana tidak sabar untuk mengambil alih balai-balai raya dan tadika Islam, menyebabkan rakyat marah.

Kini ‘perangai Pas’ diamalkan pula oleh PKR yang menjadi peneraju kerajaan negeri Selangor.
Semalam geger satu Selangor apabila sikap keterlaluan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mengambil alih bangunan yang menempatkan bilik gerakan UMNO Bahagian Pandan dan juga pusat khidmat masyarakat bahagian tersebut.

Pengambilalihan itu berlaku pada awal bulan ini dengan MPAJ bertindak menukar kunci bangunan itu tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada mana-mana pemimpin UMNO bahagian itu.

Ketua UMNO bahagian tersebut, Abdul Ghani Ismail berkata, pengambilalihan pejabat UMNO itu sangat tidak wajar dilakukan kerana ia adalah milik masyarakat setempat dan kegunaan bersama.

Ppihaknya akan mempertahankan hak mereka terhadap bangunan itu memandangkan ia sudah lama memberi kemudahan kepada penduduk untuk membuat sebarang aduan.

Apa yang dikesalkan, katanya, ialah penduduk yang menjadi mangsa keadaan kerana mereka kini tidak lagi mempunyai pusat khidmat masyarakat serta pusat pengaduan awam yang sebelum ini dibina di dalam satu kawasan bersama bilik gerakan UMNO.

"Sepatutnya, penyerahan pejabat tersebut perlu dimaklumkan pada saya dan sebarang tindakan perlu dilaksanakan setelah perbincangan diadakan.

"Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan MPAJ bagi mendapatkan status sebenar bangunan ini dan mempertahankan hak UMNO pada bangunan itu," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mejar (B) Iszehan Hamid turut berpendapat langkah pengambilalihan pejabat mahupun dewan di Selangor oleh kerajaan negeri adalah tidak wajar.

"Kebanyakan dewan di negeri Selangor dibina di atas peruntukan sendiri sama ada oleh pemimpin terdahulu atau pun orang ramai. Jadi pengambilalihan dewan berkenaan perlu dikaji semula," jelasnya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Suhaimi Mamat pula berkata, masalah tersebut seharusnya dibawa berbincang bagi memuaskan hati semua pihak dan UMNO bahagian itu supaya masyarakat setempat tidak menjadi mangsa.

"Kami bukanlah mahu bertikam lidah dengan sesiapa namun kita seharusnya berfikir tentang generasi baru yang memerlukan sokongan daripada mereka," katanya.

Mohd. Suhaimi berkata, pejabat tersebut merupakan nadi utama parti di bahagian itu dan ia tidak seharusnya diserahkan kepada MPAJ atas apa juga alasan.

Penolong Setiausaha UMNO Bahagian Pandan, Faizal Sufar berharap perkara tersebut dapat dibincangkan dengan MPAJ dan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan menguntungkan semua pihak.

Dewan komuniti di Selangor mula menjadi isu apabila kerajaan negeri di bawah kepimpinan pakatan pembangkang mengarahkan ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diuruskan.

Notis dikeluarkan Ogos lalu kepada semua pengurus dewan atas alasan untuk mengelak penyalahgunaan dewan berkenaan dan memudahkan penyelarasan.

Kerajaan negeri turut mengugut akan meruntuhkan dewan yang gagal diserahkan kepada PBT selepas tamat tempoh notis.

Monday, November 17, 2008

YEEH...MARI SOKONG PKR!

Memang Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan hak rakyat.
Kerana itu sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri Selangor yang ditadbir PKR dinaikkan kepada RM250 sebulan Julai lalu kepada sewa asal RM124 sebulan.

Yang pasti kini penghuni PPR di Selangor menanggung beban kenaikan RM126 sebulan sedangkan majoriti penghuni dan penyewa di perumahan itu berpendapatan rendah.

eputusan menaikkan kadar sewa kira-kira 6,200 unit PPR di Selangor itu diputuskan Mesyuarat Exco kerajaan negeri Julai lalu bagi menampung kekurangan pendapatan RM3 juta.

Berikutan keputusan itu, lebih 100 penduduk yang mewakili penduduk PPR Seksyen 8 Kota Damansara dan Lembah Subang pada 7 November lalu mengadakan demonstrasi di depan pintu masuk Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan negeri.

Mereka kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menaikkan kadar sewa kediaman mereka daripada RM124 kepada RM250 sebulan.

Mereka menyifatkan kenaikan berkenaan sebagai menambah beban kewangan dan tidak selari dengan konsep negeri berkebajikan yang diuar-uarkan oleh pimpinan pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Kenaikan Sewa PPR Kota Damansara dan Lembah Subang, Johari Nander berkata, tindakan kerajaan negeri itu tidak wajar kerana majoriti penduduk di dua kawasan berkenaan berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan.

Jumlah pendapatan itu, katanya, di bawah garis kemiskinan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan negeri iaitu RM1,500.

Sebenarnya semua harga sewa PPR yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di seluruh negara mesti dikekalkan kepada RM124 sebulan tanpa sebarang alasan.

Walaupun negara menghadapi masalah kenaikan harga barang berikutan kesan ekonomi global, ia tidak boleh dijadikan alasan menaikkan kadar sewa rumah PPR kerana ia akan menyebabkan penduduknya tertekan.

Kerajaan Pusat sudah mengkaji perkara itu dan mendapati ia akan menambah beban penghuni yang memang diketahui mempunyai pendapatan rendah dan miskin.

Kerajaan berusaha menambah bilangan projek PPR dan mensasarkan membina 150,000 unit menjelang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Tuesday, November 11, 2008

KENAPA JADI BEGINI?

Lima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara didapati gagal untuk mengadakan persidangan setelah tempoh yang ditetapkan berakhir kelmarin (Ahad 9 November 2009).

Bahagian tersebut ialah dua di Kelantan iaitu Tanah Merah dan Pengkalan Chepa dengan selebihnya masing-masing satu di Perak iaitu Larut, Tenom di Sabah dan terakhir bahagian Seremban.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bahagian-bahagian tersebut akan diberi tarikh baru bagi mengadakan persidangan masing-masing.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini menetapkan tempoh 9 Oktober hingga 9 November 2008 sebagai tarikh persidangan perwakilan 191 bahagian di seluruh negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun menjelaskan, mana-mana UMNO bahagian yang didapati bermasalah masih boleh meneruskan persidangan masing-masing meskipun selepas tarikh akhir 9 November lalu.

Sementara itu sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula atau sebaliknya akan ditentukan Rabu ini.

Ikuti, apa masalah dihadapi bahagian-bahagian berkenaan:

Kes 1: UMNO Seputeh mangsa arahan berbeza

Keputusan sama ada UMNO Bahagian Seputeh akan diarahkan bermesyuarat semula bakal diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan parti, Rabu ini. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Riduan Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak dapat menyelesaikan kemelut yang melanda bahagian Seputeh dan perkara itu terpaksa dirujukkan kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Sebelum ini, ahli UMNO Bahagian Seputeh berada dalam dilema apabila mendapat dua arahan berbeza daripada Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan ibu pejabat parti. Ia berkaitan dengan persidangan perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang berakhir baru-baru ini, telah dibatalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Menerusi surat bertarikh 3 November lalu, badan perhubungan negeri mengarahkan mesyuarat semula di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri hujung minggu lalu. Surat yang ditandatangani oleh Riduan memaklumkan pembatalan empat persidangan itu kerana pendaftaran Cawangan Taman Goodwood telah dibatalkan oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun, Ibu Pejabat UMNO menerusi surat bertarikh 5 November pula, memaklumkan kesemua mesyuarat bahagian berkenaan yang telah diadakan pada 26 Oktober lalu, adalah sah dan tidak perlu diadakan mesyuarat semula.

Kes 2: UMNO Tenom tunggu keputusan rayuan

UMNO Bahagian Tenom menjadi satu-satunya bahagian di Sabah yang masih gagal mengadakan persidangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan, semalam. Daripada keseluruhan 25 bahagian UMNO di Sabah, lima bahagian terakhir selesai mengadakan persidangan masing-masing semalam iaitu Libaran, Batu Sapi, Putatan, Kota Marudu dan Kudat. Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rizalman Abdullah berkata, persidangan belum dapat diadakan kerana pihaknya masih menunggu keputusan rayuan daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut beliau, rayuan dibuat kerana jawatankuasa pengurusan UMNO bahagian tidak berpuas hati dengan keputusan UMNO negeri, baru-baru ini. Katanya, UMNO negeri telah membuat pengesahan bahawa sebilangan mesyuarat UMNO cawangan yang dibatalkan di peringkat bahagian sah dan boleh diterima.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan berkata, keputusan UMNO negeri itu bertentangan dengan semangat parti yang meminta supaya semua pihak mematuhi etika dan peraturan. Beliau berkata, UMNO bahagian juga tidak dapat menerima keputusan UMNO negeri bahawa persidangan Wanita UMNO bahagian itu pada 12 Oktober lalu sah dan mengikut peraturan.
Katanya, pertimbangan itu dipertikaikan kerana jelas semasa pengundian bagi pemilihan ketua wanita bahagian yang dimenangi oleh Datin Rahmahjan Suliaman Khan itu, didapati terdapat tujuh undi lebih berbanding jumlah perwakilan.

Kes 3: MB kecewa kenyataan Tengku Adnan

Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, beliau akan menunggu laporan daripada pemerhati yang dilantik Badan Perhubungan UMNO Negeri iaitu UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk menyiapkan laporan dan tidak akan menggugurkan apa jua yang dilaporkan supaya UMNO Pusat tahu apa sebenarnya yang telah berlaku di UMNO Bahagian Seremban.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang melabelkan wujudnya keretakan dalam hubungan badan itu dengan UMNO Bahagian Seremban. Mohamad berkata kenyataan itu hanyalah bersifat peribadi dan adalah tidak adil bagi Tengku Adnan berkata demikian.

Katanya: “'Saya tidak akan memberi pandangan mengenai perkara ini kerana telah wujudnya 'mental block' daripada UMNO Pusat terhadap hubungan badan perhubungan dengan UMNO Bahagian Seremban. Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah dengan UMNO Bahagian Seremban.”

Kes 4: UMNO Tanah Merah tunggu keputusan mahkamah

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang dikendalikan di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri di Sekolah Menengah Teknik 9 Novemver lalu terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO. Salah seorang ahli jawatankuasanya, Abdul Rahman Ibrahim telah mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli menunaikan hak sebagai ahli pada persidangan itu.

Mereka terdiri daripada beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan kerana didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Keputusan Ibu Pejabat UMNO itu disampaikan oleh peguam parti, Datuk Mohd. Hafarizam Harun kepada perwakilan tengah 8 November lalu.

Menurut Mohd. Hafarizam, beliau telah merujuk kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berhubung perintah mahkamah itu. Beliau menyifatkan ia hanya masalah teknikal dan tidak mahu perwakilan diharam atas sebab-sebab itu dan hak mereka terabai.

Dalam permohonan yang difailkan oleh Abdul Rahman itu, 32 ahli UMNO berkenaan dilarang menggunakan hak mereka daripada bercakap, mengundi dan memilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu sehingga kes mahkamah diselesaikan.''Perintah itu akan luput pada 20 November akan datang dan 32 anggota itu diberi hak untuk melantik peguam masing-masing. "Jadi untuk memastikan ketelusan dan persidangan perwakilan bahagian tidak tercemar dengan tindakan mahkamah yang telah diambil, adalah lebih baik mesyuarat ini ditangguhkan sehingga kes ini selesai," katanya.

Antara ahli yang terlibat dengan perintah itu ialah Ikmal Hisyam Abdul Aziz yang sepatutnya diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian yang baru hari ini dan anggota jawatankuasa UMNO bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd. Bakri Mustafa, Yahya Mustapha dan Rasdi Mohamad.

Kes 5: Semua UMNO Cawangan Pengkalan Chepa bermesyuarat semula

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa yang ditangguhkan ekoran arahan ibu pejabat parti akan diadakan pada awal bulan depan. Ia menjadikan bahagian tersebut antara yang terakhir mengadakan persidangan selepas tamat tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Dr. Nik Zain Omar berkata, arahan dikeluarkan melalui sepucuk surat pada Rabu lalu yang meminta semua cawangan di bahagian berkenaan mengadakan semula mesyuarat. Beliau berkata, mengikut arahan mesyuarat cawangan tersebut akan dipantau oleh ibu pejabat parti bagi memastikan ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Kita menjangkakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian ini diadakan pada awal bulan depan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa I 8 November lalu.

Kes 6 : Larut mahu jumpa Najib

UMNO Bahagian Larut hari ini sebulat suara mahu berjumpa dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan isu pencalonan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut. Ketuanya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar berkata, perjumpaan itu penting bagi mendapatkan pandangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk menyelesaikan isu tersebut daripada berlarutan.

Serentak itu, katanya, persidangan perwakilan UMNO bahagian itu yang sepatutnya bermula 8 November lalu terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetap nanti.

Dalam mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian pada 7 November lalu. Beliau bersetuju untuk berjumpa dahulu dengan Najib secepat mungkin untuk menyatakan pandangan daripada bahagian sebelum persidangan perwakilan diadakan.

Bahagian itu tetap menolak pencalonan Hamzah untuk bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut kerana patuh dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh ibu pejabat parti yang mensyaratkan sebarang pertukaran keahlian perlu dibuat sebelum akhir 2007. Beliau berkata, keputusan Hamzah untuk bertanding juga telah melanggar Perkara 6 3(8) perlembagaan parti yang menggunakan haknya di Bahagian Larut.

Saturday, November 8, 2008

PPRT - SIAPA SEBENARNYA BERSALAH?

Menarik sekali ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bloknya bertajuk ‘FORMER SECRETARY-GENERAL ACQUITTED’ .

Latar belakangnya ialah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membenarkan rayuan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas tuduhan melakukan pecah amanah dan penipuan.

Semasa membebaskannya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata tidak ada keterangan menunjukkan bahawa dia memberi tekanan kepada pengurus besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Alwi Said, untuk mengeluarkan dana tanpa kelulusan.

Abdul Aziz dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 2005 kerana bersubahat dengan Alwi melakukan pecah amanah dana Ketengah RM2 juta antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur.

Beliau juga dikenakan hukuman penjara lima tahun lagi kerana menipu Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed melalui surat permohonan persetujuan pelaburan Ketengah RM9 juta dalam syarikat Tasik Puteri Integrated Farm Sdn Bhd antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di pejabat Kementerian Kewangan di Kuala Lumpur.

Hukuman berkenaan berjalan serentak.

Atas tuduhan pertama, Mohamad Zabidin berkata walaupun wujud syak wasangka yang kukuh bahawa Alwi melakukan pecah amanah atas desakan Abdul Aziz namun ia tidak dapat diterima sebagai keterangan.

Tuduhan kedua pula, katanya proses keseluruhan berkaitan dengan kelulusan projek itu dilakukan secara telus dengan pengetahuan sepenuh oleh Lembaga Ketengah.

“Oleh itu adalah salah untuk menyatakan bahawa Menteri Kewangan dipujuk untuk meluluskan projek tersebut kerana fakta-fakta ini tidak tercatat dalam surat yang dihantar kepada kementerian,” katanya.

Abdul Aziz kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur kepada Tuhan kerana kebenaran akhirnya terbukti.

Cara Dr Mahathir membentangkan komennya cukup kuat untuk kita bertanya kembali beberapa perkara:

1. Jika Dr Mahathir mengetahui Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad seorang kakitangan kerajaan yang baik, kenapa dibiarkan dimangsakan? Kenapa biarkan beliau dianianya sedemikian?

2. Jelas bahawa selain Menteri Kewangan II Datuk Mustapha Mohamed, ada orang turut menipu Dr Mahathir – tidak mungkin Menteri yang bertanggungjawab dengan projek pembiakan ‘koi’ dan tanaman orkid - memberitahu Dr Mahathir sebagai projek menguntungkan? Sayang yang menipu bebas dengan menjadikan orang lain mangsanya.
Kalau mahu menuduh Menteri berkenaan bertanggungjawab, kenapa pula Dr Mahathir ‘menyelamatnya’ dengan membiarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum 1999 dan kalah!

3. Bolehkah kes ini dibuka semula atau Abdul Aziz menyaman mereka yang pernah menganianya?

Juga menarik ialah seorang pembaca yang menamakan dirinya ahmad_syah dalam responnya kepada tulisan Dr Mahathir itu berkata: “ Ya saya setuju dengan tun mengenai projek tanaman orkid tersebut. Pada waktu itu saya masih tinggal di Gua Musang, dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) - badan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sibuk menanam pokok orkid di tepi jalan utama Gua Musang menuju Kota Bharu. Setahun kemudian tapak projek tersebut tinggal jadi semak samun. entah berapa juta duit habis buat projek sia sia ini.”

Apapun kita bersyukur dan secara kebetulan dua Aziz terbabit dalam kes yang dikaitkan dengan PPRT ini.

Satu ialah Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad yang dibebaskan dan kedua ialah peguam yang membebaskan beliau kebetulan juga Aziz iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines) selainb Saseedharan Menon.

Apapun, adalah baik kita merenung kembali kenyataan Dr Mahathir mengenai isu PPRT ini:

Dr. Mahathir kesal pihak selewengkan wang PPRT PUTRAJAYA 12 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyelewengkan wang peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah berusaha memastikan penyaluran wang kerajaan diuruskan dengan sebaik mungkin tetapi masih ada pihak yang cuba menyalahgunakannya untuk kepentingan mereka.

``Kita buat nak bagi betul tetapi orang yang tak betul. Macam mana kita buat pun, dia cari lubang (peluang) sana lubang sini, nak menyeleweng,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas majlis perjumpaan dan dialog dengan guru takmir masjid peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri diminta mengulas laporan akhbar mengenai dakwaan penyelewengan wang PPRT sebanyak RM40 juta pada tahun 1999. Laporan tersebut menyebut wang itu digunakan untuk kempen pilihan raya 1999 di beberapa bahagian di Kelantan.

Pihak yang terlibat dalam kes itu dipercayai berpakat dengan pihak tertentu di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan beberapa pihak lain untuk mendapatkan wang program itu.

Mereka dikatakan mengemukakan senarai nama individu di Kelantan untuk mendapatkan bantuan PPRT, walaupun tidak layak menerimanya.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan tidak menolak kemungkinan ia hanya satu dakwaan palsu.

Katanya, ini kerana ada pihak yang sengaja membuat dakwaan liar seperti itu tetapi kemudian gagal mengemukakan bukti apabila diminta.

``Saya tak tahu. Kena tunggu dulu. Laporan macam itu kena ditentukan sahih atau tidak,'' tegasnya.

Friday, November 7, 2008

KELUAR KELANTAN BOLEH TINGGAL DI AUSTRALIA

Riuh rendah pasal Zaid Ibrahim. Geger dibuatnya.

Ada mengatakan beliau tidak wajar tinggal di Kelantan lagi. Jadi ke mana?

Beliau tidak hairan kerana ada rumah di Kuala Lumpur dan di Australia.

Zaid banyak duit, dia tidak hairan!

Menurut Berita Harian, selain meminta maaf kepada seluruh umat Melayu, kalangan pakar dan pejuang Melayu mahu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan konsep ketuanan Melayu gagal di negara ini diberi pendidikan politik.

Selain itu, mereka juga menggesa Zaid keluar dari Kelantan dan Malaysia yang ditadbir raja-raja Melayu seiring konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata semua pihak mesti menerima dan mengakui hak ketuanan Melayu yang termaktub dalam sejarah negara sejak dulu lagi.

Tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bukan saja menolak hakikat sejarah tetapi juga boleh menimbulkan masalah di kalangan masyarakat majmuk di negara ini, katanya.
Katanya, bekas pemimpin Umno itu mesti sedar bahawa beliau tidak boleh menyentuh dan menyinggung perasaan orang Melayu kerana ia akan menimbulkan masalah lain.

“Oleh itu, adalah wajar beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mengakui apa yang dinyatakan sebelum ini melukai dan menyentuh perasaan orang Melayu kerana itu adalah yang terbaik kerana hakikat sejarah tidak sepatutnya dipertikaikan sesiapa pun,” katanya.

Zaid dalam ucapannya pada persidangan LawAsia di Kuala Lumpur minggu lalu, berkata konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata kenyataan Zaid menunjukkan beliau seorang yang bukan saja tidak berjiwa Melayu tetapi sanggup menghina bangsanya sendiri, dan keadaan itu adalah lebih jahat daripada tindakan penjajah.

“Kami mengutuk keras kenyataannya itu dan akan menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Zaid itu sebagai keterlaluan.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata menyatakan ketuanan Melayu sebagai konsep yang gagal adalah juga penafian kepada sumbangan institusi kesultanan dan politik Melayu selama ini.

“Entah kenapa pandangan sedemikian seperti ‘dengungan’ pandangan liberal parti pembangkang yang terdesak mempamerkan wajah ’sama rata’ hingga sanggup mengorbankan kepentingan bangsa,” katanya.

Pejuang Bahasa Melayu, Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata kenyataan Zaid menunjukkan kejahilannya terhadap perjuangan bangsanya sendiri.

Justeru, katanya, Umno perlu memberi pemimpin seperti Zaid pendidikan politik supaya faham sejarah dan fakta sebenar kerana perkara yang berhubung kait dengan hak istimewa dan konsep ketuanan Melayu sudah digariskan dalam perlembagaan Persekutuan.

Tuesday, November 4, 2008

ABDULLAH TIDAK WAJAR TANGGUH PEMBELIAN EC725

Di mana rasionalnya kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar, sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia?

Yang nyata menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam merumuskan bahawa pihaknya mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009.

Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Jelas bahawa penangguhannya tidak wajar dan dengan memberikan alasan berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia untuk menangguhkan pembeliannya sebagai alasan tidak kena pada tempatnya.

Ini bermakna bahawa pembelian ini adalah bagi tujuan operasi TUDM dan sesuatu yang ada kaitan dengan soal keselamatan negara.

Apakah kita mahu memperjudikan keselamatan negara dengan bersandarkan alasan untuk berjimat cermat?

Benarlah kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 21 Oktober lalu bahawa kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan.

''Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

''Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima).

Malah, dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, beliau menegaskan: "Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.”

Kenyataan Najib pada 19 September di Pekan mengatakan, kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ternyata peringatan Najib itu mendapat perhatian PAC dan semalam badan itu mengatakan tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter
Menurut PAC penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Azmi menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

ABDULLAH BERDENDAM MUHYIDDIN?

Benarkah demikian?

Bolehkah dengan satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi di Kota Kinabalu tempoh hari, kita merumuskan demikian?

Kalau betul marah, kenapa tidak dilontaran keluar Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tu daripada Kabinet?

Perdana Menteri takut Muhyiddin akan dapat simpati?

Apapun, tulisan berikut untuk sama-sama kita renungkan bukan sahaja cerita antara Abdullah dan Muhyiddin tetapi juga peranan portal berita The Malaysian Insider.

Bacalah:

THE MALAYSIAN INSIDER VS DATA KEMUNGKARAN ABDULLAH

(http://politica-net.blogspot.com)

3 November 2008

Kebelakangan ini nampak sangat Abdullah Badawi seolah-olah berdendam dengan Muhyiddin Yassin. Apa halnya? Apa yang tak kena dengan Muhyiddin sampai Abdullah mati-mati sangat nak burukkan Muhyiddin?

Apa dia sebabnya? Pasal Muhyddin vokal mengenai UMNO pasca PRU12? Sebab Muhyiddin mewakili suara akar umbi? Sebab Muhyiddin mengatakan yang benar?

Kisah Abdullah mendendam Muhyiddin ni memang tak tersiar dalam akhbar perdana. Tapi ada sebuah portal berita internet yang sering kenen-kenen citer Muhyiddin. Portal ni dipercayai dikendalikan oleh seorang Hamba Allah yang pernah menjadi boss di NST. Kata orang, sidia tu sahabat Kalimullah, sahabat KJ. Kata sesetengah pihak yang lain, sidia tu juga member Temasik.

Sebab itulah portal berita internet ni sering menyiarkan berita yang kononnya diperolehi daripada empat tembok bilik mesyuarat UMNO Malaysia di Kuala Lumpur dan bilik mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Sebenarnya memang tak masuk akal kalau Abdullah geram dengan Muhyiddin pasal Muhyiddin mewakili suara akar umbi. Sebabnya, apa yang Muhyiddin cakap adalah keluhan dan rintihan warga UMNO akar umbi.

Contohnya, warga UMNO banyak yang termangu-mangu, kenapakah Abdullah nak sangat-sangat pemilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO diadakan pada mac 2009. Bukankah ini satu keputusan yang tak masuk akal dan tak lojik?

Abdullah tak sedarkah keputusan itu akan menyebabkan calon-calon desperado mengamalkan politik wang habis-habisan? Abdullah tak terfikirkah keputusan ni akan sebabkan UMNO hilang kredibiliti?

Kalau gitu, salahkah Muhyiddin selaku Naib Presiden UMNO menyuarakan sesuatu yang benar? Nak harapkan Naib Presiden UMNO yang lagi satu tu, sidia tu kaki ampu dan kaki bodek nombor satu. Nak harapkan Ketua Penerangan, sidia tu pun dua kali lima.

Jadi, salahkah kalau Muhyiddin yang bersuara? Atau, adakah Muhyiddin berdosa semata-mata sebab dia dikatakan menerima sokongan Tun Mahathir Mohamad?

Kita pun dengar dan kita pun tahu akan banyak kisah di mana Abdullah sebenarnya mahukan Ali Rustam lanyak Muhyiddin kali ni. Sebab tu Abdullah sendiri dikatakan ada buat panggilan telefon kepada sesetengah ketua bahagian mengarahkan Ali Rustam diberikan pencalonan Timbalan Presiden UMNO.

Janganlah nak nafikan cerita ni. Kalau Abdullah ada The Malaysian Insider, kita pun ada hantu tembok yang boleh bagi info. Kalau tak percaya, tanyalah Abdullah, hari ini ada berapa data maklumat sudah terhimpun mengenai diri Abdullah dan keluarganya. Macam-macam ada dalam data maklumat tu. Kalaulah seluruh data ni dilepaskan kepada rakyat Malaysia, lunyai Abdullah jadinya!

Oleh itu, Abdullah perlu ingat. UMNO ni milik ahli-ahlinya. Kalau Muhyiddin menyampaikan keluhan dan kekecewaan ahli-ahli UMNO, tindakan itu jangan dimarahi. Kalau nak marah, bubarkan UMNO atau jadikan UMNO parti anak beranak atau parti sendirian berhad!

Insaflah Abdullah. Kalau anda ada the The Malaysian Insider untuk lanyak Muhyiddin, rakyat jelata ada banyak data maklumat sahih yang menyimpan pelbagai karenah dan kemungkaran anda sekeluarga. Makanya, eloklah anda berundur esok atau lusa. Jangan tunggu lama-lama, nanti anda kena selsema akibat serangan data-data kemungkaran anda yang kategori A1 tarafnya!

Monday, November 3, 2008

TERENGGANU ATAU MARANG LEBIH PENTING?

Oleh Putera Gunung Tebu

Datuk Ahmad Said tiada kuasa memaksa sesiapa pun untuk tidak bertanding Ketua Bahagian UMNO.

Tetapi tidak bolehkah beliau menasihatkan mereka?

Soalnya apakah Exconya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan Terengganu atau satu bahagian sahaja?

Dan untuk apa memegang banyak jawatan? Demi akar umbi atau demi kedudukan peribadi?

Maka berkatalah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, "Ahli-ahli Umno tidak boleh dihalang daripada bertanding jika mereka layak.”

Kemudian kononnya rata-rata pemimpin Umno menyifatkan tindakan Ahmad mahu menggugurkan Ahli Exco negeri yang bertanding merebut jawatan ketua bahagian Umno pada pemilihan baru-baru ini disifatkan membelakangkan perlembagaan parti.

Ahmad sudah menyatakan mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad, dan dua lagi Ahli Exco dalam rombakan Exco kerana mengingkari nasihatnya supaya tidak bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan Umno bahagian.

Sambil mahu Yahya meletak jawatan, Ahmad kelmarin menegaskan Ahli Exco itu 'degil' kerana tidak mendengar nasihatnya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Yang menariknya Ketua Umno Bahagian Marang itu menegaskan: "Saya bersedia dengan apa juga tindakan, daripada melihat Umno Marang hancur."

Ini membawa erti, kalau dia tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian itu, UMNO akan hancur.
Apakah selama ini UMNO Marang tidak bergolak?

Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Alias Abdullah yang mulanya mahu bertanding Ketua tetapi membuat persefahaman dengan Yahya berkata, Yahya akur segala kemungkinan termasuk jika Ahmad tidak berganjak untuk menggugurkan beliau daripada barisan Exco, kerana beliau diberi kepercayaan tinggi oleh ahli peringkat akar umbi yang mahu melihat perubahan kepemimpinan pada Umno bahagian itu.

Bagaimanapun, Alias yang juga pengamal perundangan berkata, walaupun Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan anak buahnya daripada barisan Exco, beliau masih perlu mendapatkan restu dan perkenan daripada pihak istana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat itu berkata tindakan Ahmad Said itu jelas menghalang amalan demokrasi dalam Umno dan menafikan hak serta kehendak ahli akar umbi.

Alias turut mempersoalkan tindakan Ahmad yang tidak menghalang dan mempertikaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat yang bertanding jawatan timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu menentang Datuk Rosol Wahid.

Kita tinggalkan sementara pendirian Exco berkenaan tetapi menasihati Ahli Exco jangan bertanding Ketua Bahagian bukanlah tidak ada precedent.

Jadi tidak timbul soal memaksa sesiapa tetapi hanya menasihat dan jika ada yang mahu bertanding juga, mereka sebenarnya tidak melanggar disiplin parti/
Kenapa beliau menasihat?

Ada beberapa perkara di sini yang perlu difikirkan:

1. Ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah, beliau pernah mengeluarkan arahan supaya Exconya tidak bertanding Ketua Bahagian dan jika mahu bertanding, letak jawatan. Exco berkenaan letak jawatan dan menang. Beliau dilantik semula. Kenapa Yahya tidak mengambil pengajaran daripada kes ini untuk mengelak dicop sebagai mengingkari nasihat Menteri Besar yang juga berperanan melantiknya sebagai Exco?

2. Sejak adanya krisis pemilihan calon pilihan raya umum lalu, pergolakan politik begitu kuat di kalangan pemimpin UMNO dan jika apa pertandingan peringkat Bahagian UMNO, ini akan ‘melukakan lagi UMNO’ yang sudah berdarah;

3. Isu pelantikan Menteri Besar juga memberikan kesan kepada UMNO Terengganu yang masih belum reda sebenarnya dan sebarang pertembungan merebut jawatan di Bahagian akan menyebabkan ‘luka luka lama berdarah kembali”;

4. Nasihat bukanlah sesuatu yang tidak wajar dipatuhi. Walaupun bersifat larangan, sewajarnya Exco Kerajaan Negeri patuhilah ‘nasihat’ berkenaan. Untuk apa banyak-banyak jawatan sedangkan yang penting ialah berkhidmat untuk negeri bukan bahagian sendiri semata-mata.

5. Kalaupun benar “Marang Akan Hancur’, Abdul Rahman bukan orang baru dan beliau pastinya tahu selok belok untuk memperbetulkan keadaan dengan syarat semua pihak duduk semeja. Dengan menyalahkan orang lain, masalah bersama tidak akan selesai.

6. Apa jaminan Ketua Bahagian baru untuk menjadikan Marang tidak bergolak? Dengan slogan ‘Marang Baru’ itu, apakah beliau boleh menjamin tidak timbul lagi pergolakan?

7. Ahmad sudah dapat merasakan jika Exconya bertanding sudah pasti mereka akan menggunakan jentera kerajaan. Ini tidak sewajarnya berlaku kerana Menteri dan Timbalan Menteri turut diarahkan jangan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Soalnya kalau benar kata-kata Rahman bahawa Yahya sudah berjanji dengannya dan juga Menteri Besar, untuk tidak akan bertanding tetapi kemudian melakukan sebaliknya, ia adalah perbuatan kurang bijak.

Perbuatannya itu bukan sahaja sebagai suatu pengkhianatan tetapi juga sengaja melakukan sesuatu dengan sebab-sebab tersendiri untuk menggugat Menteri Besar.

Apakah perbuatan mementingkan diri serta mengkhianati janji, selain tidak ‘hormat dan patuh kepada nasihat bosnya’ tidak layak untuk beliau digugurkan.

Kalau benar Yahya ada maruah dan sedar melakukan kesilapan, undurlah cara terbaik dan jayakanlah manifesto ‘Marang Baru’ sebaik-baiknya agar Marang tidak hancur.

Dengan cara ini bukan Marang sahaja tidak hancur tetapi UMNO juga tidak berpecah-belah kerana kewujudnya dalam Barisan Exco bagaikan ‘unta masuk kampung’ selepas apa yang beliau cuba ‘tegakkan benang basah’ mengenai keenganannya menuruti nasihat Ketua Perhubungan UMNO Terengganu itu!