Wednesday, October 19, 2016

Penjawat Awam Lindungi Curi Pasir Sungai Pahang Kena Tahan

Pelekat bertanda bagi untuk dikenalpasti penguatkuasa tertentu agar tidak diperiksa.
Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi pasir di sekitar Sungai Pahang sejak dua tahun lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia di antara 48 hingga 58 tahun itu ditahan pada Isnin dalam operasi bersepadu di sekitar Temerloh yang turut melibatkan Pasukan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

Siasatan awal turut mengenalpasti 10 anggota penguatkuasa yang bersubahat melindungi kegiatan sindiket yang beroperasi sejak pertengahan 2014 itu.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima rasuah dan SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama 5 hari bermula semalam. 
Perintah reman dikeluarkan Majistret Najwa Hashim di Temerloh semalam.
.
Menurut sumber,  kakitangan awam berusia 48 tahun yang ditahan itu bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan dilaporkan menerima rasuah sebanyak RM8,500 sebulan bagi melindungi kegiatan ini daripada dua pengusaha pasir terbesar di Temerloh.

 "Dua  lagi yang ditangkap ialah penyelia syarikat dan seorang pemandu lori yang telah menawarkan rasuah sebanyak RM500 bagi melepaskan enam buah lori yang ditahan SPRM," kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketiga-tiga suspek tersebut akan ditahan reman selama lima hari sehingga 22 Oktober ini.

Jika disabitkan kesalahan mereka akan didakwa mengikut Kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mengikut anggaran Pejabat Tanah dan Galian Pahang, kerajaan Negeri Pahang kerugian hampir RM180,000 sebulan disebabkan kes kecurian pasir ini.

"Mereka menggunakan doket (borang pengeluaran bahan mineral) yang sama untuk muatan serta perjalanan yang berganda bagi mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada pejabat tanah dan daerah.

" Hasil siasatan pada 3 suspek menunjukkan ada satu lagi sindiket yang melindungi lori-lori lebih muatan dengan penggunaan pelekat tertentu sebagai tanda 'telah kawtim'.

"Setiap lori yang bayar wang rasuah bulanan akan dapat satu pelekat bertanda bagi memudahkan ianya dikenalpasti penguatkuasa tertentu.


"Dalam sekatan jalan raya, lori tersebut tidak akan diperiksa walaupun membawa lebih muatan," katanya.


Sementara itu, seorang 'usahawan' berjaya ditangkap polis di hadapan premis perniagaan di Setiawan, Perak, semalam bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai lebih RM20 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superitendan R.L Paniercelvan berkata, lelaki berusia lewat 40an berkenaan dipercayai terbabit dalam kes membabitkan pindah milik saham syarikat dengan memalsukan dokumen.

Menurutnya, dalam kes yang dilaporkan di Tampin pada tahun 2009 berkenaan, lelaki berkenaan dipercayai telah melakukan penipuan membabitkan lebih 12 bidang atau lot tanah di daerah berkenaan.

“Susulan penangkapan ini, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Selain kes penipuan ini, suspek kini turut disiasat dalam kes lain membabitkan memberi pinjaman wang tidak berlesen dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951,” katanya.
.
Paniercelvan berkata, jika sabit kesalahan bagi kes memberi pinjaman wang tidak berlesen berkenaan, suspek bakal dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Rembau.