(Utusan Malaysia, 2 Jan 2009)
Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) hari ini meminta kerajaan segera campur tangan berhubung polisi sewa beli kenderaan oleh institusi perbankan untuk memastikan industri automotif negara terus bernyawa dalam menghadapi krisis ekonomi global.
Timbalan Presiden Peda, Armin Baniaz Pahamin mendakwa, pada masa sekarang profail risiko pinjaman bagi kereta Proton yang ditetapkan oleh bank adalah lebih tinggi berbanding kereta lain.
‘‘Banyak kes-kes pinjaman kereta Proton telah ditolak oleh bank tetapi permohonan bagi kenderaan lain oleh pemohon pinjaman sama diluluskan pula,’’ katanya di sini hari ini.
Menurutnya, campur tangan itu perlu ketika ini kerana industri automotif, khususnya kereta Proton, amat memerlukan sokongan bank untuk mengelak daripada mengalami kerugian besar atau kemungkinan ‘gulung tikar’.
Bagaimanapun, katanya, impak kegawatan dalam industri itu dapat dikurangkan jika kemerosotan jumlah jualan kereta dapat dikawal.
Tambah beliau, jualan kereta di Malaysia pada hari ini dipengaruhi hampir sepenuhnya oleh institusi perbankan, baik vendor, pembekal, pengedar-pengedar kereta mahupun pelanggan, semuanya bergantung kepada kemudahan sewa beli yang disediakan oleh bank.
‘‘Industri automotif adalah unik kerana pasarannya tidak memihak kepada pengedar atau pembeli sebaliknya dikuasai sepenuhnya oleh bank melalui pembiayaan pinjaman kenderaan.
‘‘Memang benar kualiti, teknologi enjin dan juga reka-bentuk kereta adalah penting untuk mempasti melariskan jualan tetapi kereta yang mempunyai kualiti, reka bentuk dan teknologi yang terbaik sekalipun, tidak menjamin apa-apa untuk mendapat pembiayaan daripada bank,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, Peda merayu agar kerajaan dapat campur tangan dalam polisi pinjaman sewa beli kenderaan untuk mengawal jualan kereta nasional itu daripada merosot.
‘‘Memang kita tidak dapat mengelak daripada masalah kegawatan ekonomi sedunia dan industri automotif juga akan merosot tetapi kita akan dapat kurangkan impak tersebut dengan adanya campur-tangan dari kerajaan dalam institusi perbankan,’’ jelasnya.
Pada masa yang sama, Peda turut menyarankan agar Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar pinjaman sehingga 100 peratus dengan jangkamasa pinjaman selama 12 tahun.
Selain itu, persatuan berkenaan juga meminta profail risiko diubah bagi memudahkan kelulusan pinjaman sewa beli oleh pelanggan.
Dalam pada itu, Armin Baniaz berkata, ketiadaan badan tertentu yang diiktirafkan untuk menilai harga kereta terpakai seolah-olah membenarkan institusi perbankan melakukan penindasan kepada pemilik kenderaan.
Katanya, pada masa ini, harga kereta terpakai di Malaysia ditetapkan oleh bank melalui peratusan pinjaman yang dibenarkan.
Menurut beliau, dengan tidak ada penilaian rasmi untuk kereta terpakai, pelanggan yang membeli kereta dengan tempoh pinjaman yang panjang, tidak akan dapat menjual kereta tersebut dan kereta yang ditarik kerana bayaran tertunggak akan dilelong pada harga yang lebih murah menyebabkan peminjam diiktiraf bankrap.
‘‘Keadaan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan industri automotif kerana pelanggan tidak dapat menukar kereta sedia ada dan disenaraihitamkan apabila peminjam tidak dapat membayar baki pinjaman kereta yang ditarik, dilelong dengan harga yang lebih murah dari baki pinjaman,’’ katanya.
Armin Baniaz menambah, institusi bank juga mendiskriminasi pengedar-pengedar kereta dengan mengkategorikan pengedar-pengedar yang mengambil kemudahan bank dan melalui perbezaan caj dan penalti yang dikenakan.
‘‘Keadaan pengedar-pengedar kereta akan menjadi lebih teruk jika aktiviti institusi perbankan yang membebankan pengguna dan industri automotif tidak dikawal terutama pada krisis ekonomi ini,’’ katanya.