Thursday, October 14, 2010

MUSUH BERSAMA - ZAID PERLU BERPAKAT DENGAN KHALID

"Kini, langkah terbaik untuk Zaid adalah meneruskan kompromi dengan Khalid dan saya percaya pendekatan ini lebih mudah kerana musuh mereka adalah Azmin. Bagi tujuan itu Zaid perlu bertanding jawatan presiden dan memberi laluan kepada Khalid menentang Azmin bagi jawatan nombor dua," - Anuar Shaari

Utusan Malaysia (14 Oktober 2010)

Pencabar terkuat Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dilihat tidak mempunyai banyak pilihan selain bertanding jawatan presiden.

Ia berikutan perancangannya sebelum ini untuk berkompromi dengan Nurul Izzah Anwar tidak kesampaian.

Ini kerana, anak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal memenuhi syarat ditetapkan perlembagaan parti iaitu sekurang-kurangnya memperoleh dua pencalonan bagi membolehkan beliau bertanding jawatan nombor dua.

Nurul Izzah hanya memperoleh satu pencalonan daripada cabang Keningau, Sabah.

Menurut bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, Zaid kini seolah-olah terperangkap dalam permainan politik serampang dua mata pakatan Anwar-Azmin.

Beliau berkata, pakatan Anwar-Azmin akan melalui apa cara sekali pun mahu mengekalkan dominasi pimpinan '3A' dalam PKR dan pada masa sama membunuh politik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun, katanya, Zaid masih mempunyai pilihan iaitu dengan membentuk 'gandingan' baru bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan pendirian turut bertanding jawatan timbalan presiden kerana sudah menjadi 'rahsia umum' bahawa, musuh politik mereka berdua ialah Azmin.

"Sebenarnya, perancangan Zaid berkompromi dengan Nurul Izzah sudah cukup cantik dan merupakan strategi politik bijak, malangnya Nurul Izzah pula yang tidak cukup pencalonan.

"Saya tidak pasti sama ada wujud tangan ghaib dalam isu ini tetapi sekiranya menjadi kenyataan (layak), Azmin sudah pasti tertekan.

"Kini, langkah terbaik untuk Zaid adalah meneruskan kompromi itu dengan Khalid dan saya percaya pendekatan ini lebih mudah kerana musuh mereka adalah Azmin. Bagi tujuan itu Zaid perlu bertanding jawatan presiden dan memberi laluan kepada Khalid menentang Azmin bagi jawatan nombor dua," katanya.

Beliau dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas pengesahan Anggota Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Wong Hoy Cheong bahawa Nurul Izzah tidak layak untuk bertanding jawatan timbalan presiden kerana hanya memperoleh satu pencalonan walaupun sebelum ini dilaporkan sudah mendapat tiga pencalonan.

Sebelum ini, Zaid memberitahu, beliau bersedia memberi laluan malah, akan 'bekerja' bagi memastikan kemenangan Nurul Izzah jika, Ahli Parlimen Lembah Pantai berhasrat untuk bertanding timbalan presiden kerana dakwanya, anak pengasas PKR itu mempunyai kemampuan untuk mentransformasi parti tersebut.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, sekarang adalah masa terbaik Zaid menjayakan hasrat dan cita-citanya melakukan perubahan dalam PKR terutama membuktikan kepada ahli akar umbi bahawa jawatan presiden yang disandang Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bukan sekadar boneka seperti yang berlaku kini.

"Zaid membawa imej berbeza kerana beliau seorang yang berprinsip di samping lantang mengkritik dasar dan gaya politik PKR yang dilihat semakin jauh tersasar. Jadi beliau harus mengambil tanggungjawab bertanding presiden, ini bukan soal tidak menghormati Wan Azizah tetapi Zaid perlu buktikan bahawa presiden bukan boneka.

"Memang diakui ranjau yang terpaksa dihadapi beliau cukup hebat kerana dalam PKR, kata pemutus terletak pada tangan Anwar dan bukannya Wan Azizah.

"Tapi saya percaya tidak sedikit mereka yang sudah muak dengan Anwar dan Azmin, kelompok ini akan memberi sokongan kepada Zaid, jadi dia perlu mengambil peluang ini," katanya.

Mengenai peluang Zaid untuk menang jika beliau bertanding jawatan presiden, Anuar berkata, peluang itu terlalu tipis namun menegaskan, ia bukan isu kerana Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu belum tentu berjaya bagi jawatan nombor dua kerana percaya, Anwar akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Azmin menang.