Friday, September 30, 2016

Pengarah JKR Melaka Didakwa Kes Rasuah Pengubahan Wang Haram

Datuk Khalid Omar (tengah) diiringi pegawai SPRM di pekarangan Mahkamah Sesyen Melaka semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka  semalam atas 16 pertuduhan menerima suapan  dan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.28 juta.

Tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam itu didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1,088,332.08 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). 

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram itu atau mana yang lebih tinggi. 

Bagi pertuduhan empat hingga 16, Khalid didakwa menerima suapan sebanyak RM196,200 sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.


Mahkamah membenarkan Khalid diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.  

Kes itu disebut semula pada 4 November depan.

Di KUALA LUMPUR, kelmarin, seorang bekas pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dihukum penjara tiga tahun dan denda RM9.25 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kelmarin  atas tujuh pertuduhan meminta dan memperoleh suapan bagi projek kemasyarakatan kerajaan melibatkan RM18.6 juta.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Samsudin, 41, yang bertugas sebagai penolong pegawai di unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian berkenaan ketika kejadian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Walau bagaimanapun mah­kamah membenarkan permohonan Hazmi yang diwakili peguam, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibenarkan dengan syarat jumlah jaminan terhadap Hazmi dinaikkan daripada RM70,000 kepada RM80,000.

Allaudeen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah­nya 21 tahun dan denda berjumlah RM9,248,554 bagi kesemua pertuduhan atau penjara empat tahun enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Dia hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas mahkamah memerintahkan ke­semua hukuman penjara tersebut berjalan serentak.

Hazmi hanya menundukkan kepala sewaktu di kandang tertuduh selepas mendengar keputusan itu manakala ibu dan bapanya yang hadir ke mahkamah kelmarin dilihat mengalirkan air mata.

Bagi pertuduhan pertama, Hazmi didakwa meminta suapan bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek bernilai RM18 juta daripada empat individu Zainal Arifin Lahuri, Zamzuri Abdullah, Fadzil Anuar Ahmad dan Mohd. Khairil Isma Abdullah Bacha.

Dia didakwa melakukan kesa­lahan itu di No. 1, Jalan PH 2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor, pada hujung tahun 2010.

Menurut pertuduhan kedua hingga ketujuh, Hazmi didakwa memperoleh rasuah 10 peratus bagi setiap enam projek kerajaan di Manjung, Perak termasuk menaik taraf dan membaik pulih dewan yang keseluruhannya bernilai RM596,628 melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang individu bernama Zainal Arifin.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato Onn, di sini antara Mei dan Jun 2011.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib.

Utusan Online