Monday, August 16, 2010

GERAI MELAYU DIROBOH, GERAI CINA DIBIARKAN...

Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir mendakwa, kerajaan negeri itu, tanpa ada sebarang perancangan yang jelas, tiba-tiba sahaja mahu merobohkan gerai dengan mencipta bermacam alasan yang tidak masuk akal.

"Lebih pelik, gerai-gerai yang dirobohkan pula rata-rata milik orang Melayu manakala gerai milik peniaga Cina banyak yang dibiarkan beroperasi walaupun ada yang terang-terang melanggar peraturan," kanya dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia semalam.

"Secara jujur, kita tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang cenderung dilihat sebagai perkauman, tapi tindak-tanduk kerajaan negeri dalam melaksanakan polisi-polisinya sebenarnya mengundang ketegangan," tegasnya.

Menurut Musa, orang Melayu tidak minta banyak, "sekurang-kurangnya buktikan prinsip keadilan yang dijanjikan sebelum ini".

"Kalau pun BN memerintah tidak cukup bagus, sekurang-kurangnya kita tidak pernah menghalang peniaga terutamanya Melayu, mencari rezeki di bulan Ramadan," katanya.

Musa bagaimanapun mengakui bahawa sewaktu pentadbiran BN dahulu, ada juga gerai-gerai yang dirobohkan.

"Tetapi kita bukan roboh gerai Melayu sahaja, malah kedai orang Cina dan India juga dirobohkan kerana kita ada perancangan lebih baik untuk mereka.

"Malah, kita boleh tengok di banyak tempat di Pulau Pinang yang dulu gerainya bersepah dan tidak terurus, kini menjadi pusat peniagaan yang maju.

"Tapi ini tidak disebut oleh (Ketua Menteri Lim) Guan Eng, seolah-olah apa yang BN dan Umno buat selama ini semuanya tidak betul," tegas Musa.

Menurut Musa lagi, kalau pun BN memerintah tidak cukup bagus, "sekurang-kurangnya kita tidak pernah menghalang peniaga terutamanya Melayu mencari rezeki di bulan Ramadan".

Kerajaan BN juga, tambahnya, tidak pula meroboh gerai peniaga sesuka hati.

"BN juga tidak kisah kalau orang Islam berarak sewaktu sambutan Maulidur Rasul.

"Sebelum mengkritik pentadbiran BN, ada baiknya Guan Eng dan rakan-rakannya menilai sendiri apa yang mereka lakukan untuk bela Melayu Pulau Pinang," tegasnya.

'Dilayan seperti orang menumpang'

Dalam wawancara itu juga, Musa berkata soal kepentingan orang Melayu akan terus menjadi pertikaian apabila mereka dilayan seperti orang yang menumpang di negeri tersebut.

"Ada dua pemimpin Melayu yang membarisi exco kerajaan negeri pada masa ini. Wajar untuk ditanya, apa yang mereka buat untuk bantu Melayu terutamanya dalam berdepan saat-saat genting begini?

"Ketika isu peniaga Melayu di Komtar dihalang daripada berniaga, mana perginya timbalan ketua menteri (Mansor Osman)? Mana perginya exco agama Islam (Abdul Malik Kassim)," soal Musa.

Lebih mengecewakan, tambahnya, ketika mereka diharap menjadi orang yang akan mempertahankan kepentingan Melayu, keadaan berlaku sebaliknya.

"Apabila mereka pula "sering dilihat menjadi 'jurucakap' dalam mempertahankan polisi yang tidak memihak kepada kaum sendiri.

"Secara mudahnya, mereka lebih suka mengampu daripada membela nasib bangsa sendiri. Kita faham kalau mereka mahu menjagai kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

"Tapi jika hal-hal menyentuh kepentingan orang Melayu, mereka perlu lebih rasional kerana mereka sendiri tahu keadaan orang Melayu sekarang yang masih juh ketinggalan.

"Seperti yang dikatakan, orang Melayu tidak minta lebih-lebih tapi jangan pula sehingga menindas mereka," tambanya.

Satu lagi contoh, katanya, kerajaan negeri sudah mengambil keputusan untuk tidak lagi membina rumah berharga RM42,000 ke bawah.

"Sebelum ini, perumahan kategori kos rendah dibina untuk mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah," katanya.

Di Pulau Pinang, katanya, golongan tersebut rata-rata terdiri daripada orang Melayu dan "sekali lagi kita tanya, mana pemimpin Melayu dalam kerajaan negeri untuk sekurang-kurangnya tampil mempersoalkan polisi ini?"

"Seolah-olah mereka rasa bersalah untuk menegakkan kepentingan bangsa sendiri.

"Sikap beginilah sebenarnya yang membuat pemimpin seperti Guan Eng menjadi lebih ekstrem dalam melaksanakan dasar-dasar yang dilihat tidak memihak kepada Melayu," katanya.