Friday, July 17, 2009

ANTARA DUA CHUA...

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng malam semalam meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA bahagian Bakri tetapi nafi akan sertai Parti Keadilan Rakyat.

Walaupun ada khabar angin mengatakan beliau akan berbuat demikian tetapi sehingga ini kekal dalam MCA.

Tidak dipastikan apakah beliau akan mengubah pendiriannya. Beliau menyerahkan tugas memimpin bahagian yang dipimpinnya sejak 1988 kepada timbalan pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Sementara Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula dipanggil untuk disiasat oleh jawatankuasa disiplin MCA berhubung video seksnya.

Beliau mengesahkan telah dipanggil untuk menghadap jawatankuasa tersebut pada 4 Ogos depan.

Dr Chua menerima surat tunjuk sebab berhubung perkara itu minggu lepas.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, kes berkenaan berlaku 20 bulan lalu. "Tetapi sekarang baru mereka hendak ambil tindakan... terpulang kepada ahli dan rakyat untuk membuat tafsiran," katanya kepada pemberita di Kulim, Kedah.

Inilah kali pertama beliau mengadakan sidang akhbar selepas menerima surat tunjuk sebab itu.

Dr Chua berjanji akan membuat pendedahan satu demi satu, secara perlahan-lahan "supaya ia menjadi lebih menarik".

Chua pula berkata, desas desus kononya beliau menyertai pembangkang bukan kali pertama. "Dalam pilihanraya umum lalu saya ditawarkan bertanding sebagai calon parti pembangkang, tetapi saya menolaknya," katanya.

Beliau kemudiannya tidak dipilih sebagai calon BN untuk kawasan Parlimen Bakri pada pilihanraya umum lalu, dan kerusi parlimen yang sebelum ini disandangnya, kemudiannya jatuh kepada parti pembangkang.

Katanya dalam pertemuan dengan anggota jawatankuasa MCA bahagian, beliau meminta mereka supaya menyokong Tee Keat yang pernah dijemputnya dua kali datang ke bahagian Bakri sebelum ini.

"Dengan ini, saya sudah melakukan yang termampu untuk menyatukan kembali anggota parti," katanya katanya sambil menegaskan perletakkan jawatan beliau itu tidak bermakna beliau akan berdiam diri selepas ini.

Dalam pemilihan MCA tahun lalu, Chua tewas kali kedua dalam cubaannya untuk merebut jawatan presiden parti selepas gagal pada kali pertama pada tahun 2005 lalu.Bagi Chua pula, beliau meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat, lapor Bernama.

Bercakap mengenai masa depannya Chua berkata beliau akan meneruskan visi perjuangannya iaitu mahukan supaya kepimpinan kerajaan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membela rakyat semua kaum dalam negara.

Beliau berkata matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti.

"Saya percaya Malaysia boleh menjadi negara terkaya, lebih kaya daripada Singapura dan saya mahu kekayaan negara ini dikembalikan kepada rakyat semua kaum dalam negara," tambahnya.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri malam ini.

Katanya beliau sudah memaafkan mereka yang mencabarnya dalam pemilihan tahun lalu, dan kini beliau hanya mahukan mereka memandang ke hadapan, jangan saling bertelagah disebabkan perkara-perkara kecil.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan penyokongnya selama sejam di dewan bangunan ibu pejabat itu.