Monday, July 19, 2010

TRANSAKSI MINYAK HANYA DI BANK 'ADIK NAJIB'?

Dakwaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan segala transaksi perdagangan minyak mesti melalui perbankan CIMB wajar dipersoal, kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Adakah kerana CEOnya (ketua pengarah eksekutif) adalah adik perdana menteri, maka pengedar-pengedar Shell dipaksa membuat auto-debit dengan CIMB?" soalnya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Menurut Harkahdaily, difahamkan, arahan mandatori itu mula berkuatkuasa pada 1 September depan.

Dari aduan yang diterima, katanya, mereka yang terbabit lebih berminat melakukan transaksi secara cek dan tunai menggunakan perkhidmatan Maybank serta bank-bank terdekat dengan stesen minyak masing-masing atas faktor keselamatan.

Menurut Salahuddin Petronas Dagangan Berhad (PDB) sendiri difahamkan tidak bersikap regid berhubung kaedah pembayaran debit minyak demi keselamatan dan kemudahan para pemilik stesen minyak.

Arahan terbaru pentadbiran Najib itu, katanya lagi, sekaligus menyukarkan para pengusaha stesen minyak memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan CIMB sekarang dilihat agak terhad jika dibandingkan dengan Maybank di seluruh negara.

Dari segi yang lain, beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, pengurusan CIMB seakan mengambil kesempatan atas arahan terbaru pentadbiran Najib itu.

"Selepas 1,000 keping wang yang didebitkan dalam mesin, mereka akan dicaj RM10. Setiap 100 keping yang didebit selepas itu, akan dicaj pula RM1. Mengapa mereka dipaksa sebegini," ujarnya.

Menurut Salahuddin, Maybank sehingga kini tidak pernah mengenakan caj pada sebarang transaksi auto-debit, cek ataupun tunai.

Malah, tambahnya lagi, pengusaha stesen minyak turut dinasihatkan membuat pembayaran debit di bilik pegawai akaun tertentu secara eksklusif supaya tidak terdedah kepada pengetahuan umum.


Malaysiakini

DAPAT KEMBAR 4 SELEPAS 7 TAHUN MENUNGGU

Mohd Rizal Shaari dan isteri, Norhayu Mat Hanafi memangku bayi perempuan kembar empat mereka selepas tujuh tahun menunggu untuk menimang cahaya mata. Norhayu selamat melahirkan anak ‘sulung’ mereka di Hospital Pulau Pinang pada 4 Mei lalu. - Foto Berita Harian

Mohd Rizal Shaari dan isteri, Norhayu Mat Hanafi memangku bayi perempuan kembar empat mereka selepas tujuh tahun menunggu untuk menimang cahaya mata. Norhayu selamat melahirkan anak ‘sulung’ mereka di Hospital Pulau Pinang pada 4 Mei lalu.
Penantian sepasang suami isteri dari Kampung Sungai Batu, Bayan Lepas, Pulau Pinang, selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata akhirnya menjadi kenyataan apabila isterinya selamat melahirkan anak ‘sulung’ mereka di Hospital Pulau Pinang (HPP), 4 Mei lalu.

Lebih menggembirakan serta mengejutkan pasangan Mohd Rizal Shaari, 33, dan Norhayu Mat Hanafi, 29, ialah mereka dikurniakan sekali gus bayi perempuan kembar empat.

Mohd Rizal yang ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Baru Asun, dekat sini, berkata mereka terharu dan bersyukur dengan anugerah Allah itu kerana sudah lama berusaha untuk mendapat cahaya mata, lebih manis lagi dikurniakan empat bayi sekali gus.

Katanya, mereka terkejut dikurniakan kembar empat kerana doktor yang melakukan pemeriksaan peringkat awal kehamilan Norhayu memaklumkan kembar tiga.

Beliau berkata, mereka membuat persiapan untuk menyambut kembar tiga.

“Semua bayi tidak cukup bulan dan ditahan sementara di HPP dengan dua daripada mereka dibenar pulang pada 28 Jun lalu, manakala dua lagi pada 1 Julai lalu.

“Kami bersyukur kerana semua bayi sihat dan kini tidak menang tangan melayan kerenah mereka, terutama ketika menangis. Namun, ia amat menyeronokkan dengan kehadiran orang baru dalam keluarga,” katanya di sini, semalam.

Mohd Rizal, juruteknik kilang plastik di Pulau Pinang berkata, kembar empat itu seiras dan diberi nama Putri Nur Adlina seberat 1.2 kilogram (kg), Putri Nur Adriana (900 gram), Putri Nur Afina (satu kg) dan Putri Nur Aina (1.1kg).

Sementara itu, Norhayu yang juga suri rumah berkata, mereka puas berusaha untuk mendapatkan zuriat termasuk menggunakan rawatan moden dan tradisional, selain banyak berdoa.

“Peringkat awal hamil saya amat risaukan keadaan kandungan kerana mengalami alahan serius, termasuk kerap muntah,” katanya.