Monday, August 15, 2016

Rasuah RM13 Juta - SPRM Tahan Tiga Penjawat Awam Di Melaka, Kelantan


Tiga penjawat awam, termasuk dua orang berstatus Datuk Seri dan Datuk telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi serentak pada Isnin berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Sejumlah RM13 juta wang dalam simpanan akaun ketiga-tiga penjawat awam itu telah dibekukan.

Penahanan itu melibatkan seorang pengarah jabatan bergelar Datuk Seri yang bertugas di bahagian pembangunan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT); pengarah negeri sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan di Kota Baru, Kelantan.

Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka akan direman di mahkamah majisteret esok.

Laporan bebrapa media menyebut  difahamkan, SPRM menemui sejumlah wang tunai yang besar dan aset paling tinggi nilainya daripada pegawai kanan PBT berkenaan.

Wang tunai tertinggi turut dirampas dalam satu serbuan di Melaka.

Datuk Seri terlibat juga didapati memiliki beberapa kondominium mewah melibatkan pelaksanaan projek pembangunan di sekitar ibu negara.

Pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan di Kelantan pula didapati menyalahgunakan kuasa meluluskan projek kepada syarikat milik ahli keluarga.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki (gambar atas) menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan operasi penahanan ketiga-tiga individu terbabit antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang Isnin. 

"Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 50-an," katanya.

Susulan penahanan tersebut, Azam berkata, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan. 

Dalam serbuan SPRM yang membawa kepada penangkapan seorang Datuk dan Datuk Seri itu, sejumlah wang ditemui tersorok di pelbagai tempat dalam sebuah rumah, termasuk di siling.

Wang itu dikatakan berjumlah sehingga RM400,000.

Wang kertas RM50 dan RM100 itu diikat berasingan, menurut pegawai yang memeriksa rumah itu.

Sumber SPRM mendedahkan wang itu diperoleh daripada pengarah Jabatan Kerja Raya sebuah negeri yang bergelar Datuk.

Berkenaan kereta mewah pula, sumber-sumber berkata ia diletakkan di rumah saudara suspek dan SPRM dilapor menyita kereta jenis Maserati, BMW dan Audi dalam serbuan itu.

Difahamkan Datuk Seri itu berkhidmat di sebuah pihak berkuasa tempatan dan seorang lagi dengan Tenaga Nasional Bhd sebuah negeri.

Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk penthouse dan banglo dipercayai diperolehi menerusi hasil rasuah dan penggubahan wang haram. 

Menurut Azam, siasatan dibuat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 

"Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka direman di mahkamah majisteret esok," tambah beliau.

Azam berkata, mengikut Akta SPRM, jika mereka disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi. 


Bagi Akta Penggubahan Wang haram, hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta mana yang lebih tinggi.