Monday, November 9, 2009

MEMPERTUHANKAN POLITIK: BAI'AH TALAQ!

Oleh Zulkifli Noordin

Saya sangat terkejut dengan pengakuan seorang YB Ahli Parlimen PAS yang mendedahkan kepada umum dan disiarkan dalam akhbar utama hari ini Sabtu 17 Zulqaedah 1430/ 07 Nov 2009 bahawa tiap calun wakil rakyat PAS dikenakan syarat bahawa mana-mana ahli yang dipilih menjadi calun bertanding mana-mana kerusi DUN atau Parlimen dikehendaki mengangkat bai'ah (sumpah setia) jika calun tersebut menang pilihanraya dan kemudiannya memilih meninggalkan PAS maka isterinya akan jatuh talak tiga. Beliau mendakwa dasar ini akan menjamin wakil rakyat PAS tidak akan melompat parti!

Saya sendiri telah mendapatkan pengesahan dan pengakuan daripada beberapa wakil rakyat dan kepimpinan PAS yang membenarkan berita tersebut.

Pertama, apa yang menghairankan saya mengapa YB Ahli Parlimen PAS tersebut memilih membuat pengakuan tersebut dan mendedahkannya kepada umum dan disiarkan dalam akhbar-akhbar utama? Mengapa beliau tidak membangkitkan isu ini secara dalaman dan mencari jalan penyelesaian secara muzakarah malalui saluran dalaman parti.

Saya sendiri telah dihubungi oleh ramai pihak termasuk para wartawan untuk mendapatkan komen dan ulasan serta pendirian saya dalam isu ini. Memandangkan YB Ahli Parlimen PAS tersebut telah membuat pengakuan terbuka dan mendedahkannya kepada umum, termasuk disiarkan dalam akhbar-akhbar utama, saya tiada pilihan melainkan terpaksa memperjelaskannya secara terbuka dan menyatakan pendirian saya secara umum.

Bagi saya, ini adalah satu dasar yang paling tidak masuk aqal lagi memeranjatkankan yang pernah saya dengar. Amatlah malang bagi mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan menjadikan bai'ah seumpama itu sebagai dasarnya!

Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

Tidakkah kita sedar bahawa perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci ALLAH! Dan kita jadikan perkara yang paling dibenci ALLAH ini sebagai dasar bai'ah dan sumpah ta'at setia!

Saya pada mulanya tidak mempercayai berita tersebut, apatah lagi didedahkan oleh akhbar arus perdana. Maka saya telah meminta sahabat-sahabat wakil rakyat PAS mengesahkannya. Saya sangat terkejut apabila sahabat-sahabat wakil rakyat dan kepimpinan parti tersebut mengesahkan bahwa mereka sendiri telah pun mengangkat bai'ah tersebut.

Malah ada diantara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat bai'ah tersebut. Yang paling sedih, ada diantara para isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis bai'ah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud.

Inilah apa yang saya labelkan sebagai mempertuhankan politik, mempertuhankan demokrasi. Apakah kita terlalu taksub dengan politik sehingga sanggup menggadai kesucian dan kemuliaan dan kemurnian perkahwinan sebagai bahan gadaian politik.

Saya pada mulanya tidak bercadang mahu menulis mengenai isu ini, dan berharap ianya dapat diselesaikan cara baik. Namun saya terkejut apabila menghubungi beberapa tokoh parti yang bukan sahaja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan bai'ah talaq tiga ini, malahan mempertahankannya dengan alasan-alasan yang dangkal lagi memualkan, yang langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran, sunnah Rasulullah mahupun 'amalan para sahabat dan khulafa' rasyidin. Ianya sekadar dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran aqal dangkal semata-mata!

Dan saya makin rasa terpanggil menulis isu ini apabila sahabat-sahabat wakil rakyat yang telah berbai'ah meminta saya membawa isu ini, apatah lagi ianya sudah pun menjadi isu umum setelah didedahkan oleh YB Ahli Parlimen tersebut. Mereka sudah tidak boleh menanggung bebanan yang dipikul, tetapi mereka tidak mampu untuk mendedahkannya kerana takut dikutuk dan dikenakan tindakan. Namun mereka meminta isu ini dibincangkan supaya tindakan segera dapat diambil dan kemungkaran yang berlaku dapat dicegah. Mereka berharap apabila isu ini terdedah, maka ada jalan keluar bagi mereka dari ikatan bai'ah dan sumpah ini.

Saya sedar bahawa bai'ah adalah sesuatu yang dibenarkan syariat. Malah Nabi sendiri pernah mengambil bai'ah daripada para sahabat.

Tetapi dalam isu ini asas bai'ah yang diangkat ialah dengan menjadikan isteri dan perkahwinan sebagai bahan tebusan. Mengapa isteri, iaitu pihak ketiga dalam hubungan diantara calun dengan partinya menjadi mangsanya. Bagaimana pula dengan anak-anak yang turut akan menjadi mangsa.

Soal samada calun tersebut benar-benar melompat parti atau tidak tidak timbul. Soal samada perceraian benar-benar berlaku atau tidak bukan isunya. Soalnya ialah mengapa kesucian, kemurniaan dan kemuliaan rumahtangga dijadikan tebusan bagi bai'ah politik ini.

Mengapa tidak dibuat bai'ah dalam bentuk lain. Contohnya bai'ah saperti sumpah la'nat; iaitu saperti:
"Wallahi, watallahi, wabillahi. Saya (polan bin polan) calun bagi kerusi (sekian sekian) dalam pilihanraya ke 12 ini dengan ini bersumpah jika saya memenangi kerusi ini dan kemudiannya keluar dan tidak lagi menjadi Ahli PAS atas apa sebab sekalipun maka saya akan mengosongkan kerusi tersebut sertai-merta, jika tidak la'nat ALLAH ke atas saya".

Saya cukup yakin mana-mana calun akan berfikir banyak kali jika ia bercadang nak melompat parti dengan bai'ah saperti ini.

Saya khuatir dengan isu saperti ini, mereka yang menyokong PAS selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka. Sudah tentu kekhuatiran ini berasas.

Bagaimana rakyat nak meletakkan harapan dan kepercayaan untuk kita memimpin dan memerintah negara jika kita sanggup menggadai dan menjadikan isteri dan perkahwinan kita sendiri sebagai gadaian politik?

Apakah kelak bila menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah maka semua pegawai dan kakitangan kerajaan akan dipaksa berbai'ah menceraikan isteri mereka jika tidak ta'at kepada Kerajaan?!

Saya lebih terkejut apabila diberitahu bahawa dasar bai'ah talaq tiga keatas isteri ini diluluskan dan direstui oleh kepimpinan sendiri. Apakah ini benar? Beberapa orang kepimpinan yang ditanya mengesahkannya. Saya masih lagi berharap maklumat ini tidak benar, tetapi jika ini benar saya sudah kehilangan ayat dan perkataan untuk menggambarkan perasaan dan pandangan saya.

Sebab itu saya berharap Majlis Syura dan Dewan Ulama' PAS segera memperjelaskan isu bai'ah talaq tiga ini. Dan saya berharap tidak muncul sindrom malaikat bisu dikalangan mereka dalam menangani kemelut ini. Biarlah kita berani menyatakan yang hak walaupun pahit. Lebih baik diperbetulkan segera kemungkaran ini dan berharap mendapat keampunan dan keredhoan ALLAH.

Saya juga menyeru Dewan Muslimat PAS menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu ini. Saya berharap Dewan Muslimat akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam.

Saya juga meminta Majlis Fatwa Kebangsaan supaya segera bermuzakarah dan membincangkan isu ini,
-apakah bai'ah saperti ini dibenarkan syara'?
-jika ia, apakah sandaran atau nas yang membenarkannya?
-jika tidak, apakah kesan bai'ah ini berkuatkuasa saperti satu ta'liq kepada perkahwninan mereka yang berbai'ah tersebut?
-bolehkah pembai'ah tersebut terikat dengan bai'ah saperti ini dan perlu mematuhinya?
-adakah cara untuk membatalkan sumpah bai'ah saperti ini? Jika ada, bagaimanakah caranya?
-apakah mereka yang membatalkan sumpah bai'ah ini perlu membayar kaffarah sumpah?

Saya juga mendesak supaya kepimpinan PAS segera membatalkan dasar bai'ah talaq tiga ini. Saya khuatir jika kepimpinan PAS lambat bertindak, sokongan rakyat kepada PAS khususnya dan kepada Pakatan Rakyat umumnya akan hilang. Kita perlu ingat pengundi wanita adalah majoriti dalam negara ini. Jangan sampai kita dibakulsampahkan oleh kaum wanita yang mutakhir ini meletakkan harapan kepada kita kita untuk membawa perubahan, bukan memutar jam kembali ke zaman jahiliah.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa saya mengambil pendirian bermufaraqah dan memisahkan diri daripada dasar ini.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan diletakkan dalam kedudukan amanah kepimpinan ini, saya akan dipertanggungjawabkan dihadapan ALLAH kelak jika saya mengambil sikap berdiam diri dan kelihatan bersekongkol dengan dasar ini. Sebab itu saya mengambil pendirian menyatakan sikap saya secara terbuka, kerana isu ini sudah menjadi isu umum. Saya tahu saya akan dihentam dan dicemuh oleh segelintir mereka yang taksub dan fanatik dan tidak berfikir menggunakan aqal; namun saya lebih takut dengan celaan dan cemuhan ALLAH.

Allahumma ya ALLAH, persaksikanlah aku telah menyatakan perkara yang haq ini, dan aku cuba memperbetulkan kemungkaran ini mengikut keupayaan dan kedudukan yang telah Engkau berikan kepadaku. Kau berilah keampunan kepada ku, dan ma'afkanlah dan perbetulkanlah kesilapan dan kelemahanku. Berikanlah aku kekuatan iman dan taqwa dalam usaha ku untuk menyeru kepada yang ma'ruf, dan mencegah kemungkaran ini. Aku tahu aku adalah hambaMu yang paling lemah, dhoif, penuh dengan kesilapan dan kesalahan, namun aku ingin mendapat keredhoan dan maghfirahMu ya ALLAH. Ampunkanlah aku hambaMu yang lemah lagi penuh dengan dosa ini ya ALLAH. Dari Engkau kami datang, dan kepada Engkau kami akan kembali. Kabulkanlah ya ALLAH.

Amin ya robbal 'alamin.

Wassalam.