Thursday, June 30, 2016

Guan Eng Dibenar Ikat Jamin RM1 Juta, Li Khoon Rm200,000

Guan Eng dibawa ke Mahkamah Sesyen, Georgetown pagi ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Khoon didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini atas tuduhan rasuah sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Georgetown di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta  pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Pasukan Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh dan Ramkarpal Singh.

Apandi kemudian memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Hakim Mahkamah Tinggi George Town, Datuk Azmi Ariffin membenarkan Guan Eng diikat jamin RM1 juta.

Beliau dibenarkan menyimpan pasport tetapi perlu memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Tinggi dua hari sebelum keluar negara.

Manakala Li Koon dibenarkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Pengurusan kes ditetapkan pada 22 September bagi menetapkan tarikh perbicaraan bersama kedua-dua tertuduh.


Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Guan Eng juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid – satu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah.

Bagi pertuduhan pertama Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

Bagi pertuduhan kedua itu Lim didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.