Thursday, May 19, 2016

Nazir Razak Telus, Berwibawa, Abangnya Najib Pula Bagaimana?


Sebelum ini ada cadangan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bercuti dalam tempoh tertentu supaya siasatan terhadap diri beliau dan keluarganya dapat dijalankan secara telus dalam isu berkaitan dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Developent Berhad (1MDB).

Dengan bercuti, Pedana Menteri akan dilihat telus dan berani untuk disiasat. Malah, pihak yang menjalankan tugas pula boleh menjalankan tugas dengan tidak teragak-agak.

Persoalannya, apakah dengan ketiadaan Najib, Malaysia akan jadi huru hara?

Najib boleh melepaskan sementara ‘kuasa’ serta mandatnya kepada sesiapa yang dirasakannya mempu mmerintah Malaysia untuk seketika.

Sudah psti mengikut adat, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih sementara, tampuk kepimpinan negara.

‘Pemergian seketika’ Najib tidak akan membawa kesan buruk kepada negara kerana pembangkang akan menyambut baik keputusan itu.

Dengan kata lain, sama-samalah mereka – Barisan Nasional dan pembangkang, selain pentadbir, polis dan tentera menjaga kestabilan negara. Tiada pemimpin atau rakyat yang tidak sayangkan Malaysia.

Terbukti sudah langkah yang dibuat oleh adiknya, iaitu Datuk Seri Nazir Razak untuk bercuti selama sebulan daripada jawatannya sebagai Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd bukan sekadar mendatangkan kekuatan baru kepada dirinya tetapi juga kumpulan CIMB itu sendiri.

Laporan Bernama hari ini menyebut selepas menamatkan cuti secara sukarela selama 30 hari bagi membolehkan inkuiri bebas dijalankan terhadapnya, Nazir kini kembali menggalas tanggungjawabnya dengan lebih berwibawa.

Banyak pihak melihat tindakan Naazir itu bukan sekadar menaikkan reputasinya yang kekal utuh, tetapi turut disambut nada positif kalangan pakar ekonomi.

Mereka memujinya sebagai individu contoh serta miliki komitmen tinggi dalam aspek ketelusan serta berwibawa.

Ketua Pakar Ekonomi International Quality Investments, Shan Saeed menyifatkan keputusan Nazir mengambil cuti secara sukarela dan keputusan Lembaga Pengarah CIMB, sebagai langkah yang baik dan sewajarnya.

"Nazir adalah seorang ahli perbankan dengan kredibiliti yang kukuh di pasaran kewangan. Beliau ada kelayakan yang mantap dan dihormati ramai ahli perbankan lainnya. Malah, ulasannya juga relevan dengan pasaran manakala pemikirannya mengenai aspek global juga lazimnya tepat," kata Saeed kepada Bernama, hari ini.

Sambil menyifatkan keputusan Nazir bercuti dan menggalas semula tugasnya di kumpulan CIMB sebagai bertepatan, Shan berkata beliau sendiri sebagai seorang warga asing serta mungkin juga yang lain, pasti akan memandang tinggi terhadap sebuah institusi bank CIMB yang dikemudi individu seperti Nazir.


"Dari sudut pandang seorang warga asing, saya berpendapat yang beliau memiliki kewibawaan yang tinggi. Pasaran juga tahu bahawa beliau adalah individu yang ada nilainya. Kehadirannya semula turut menyuntik petanda positif kepada pasaran," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, CIMB Group dan CIMB bank berkata kehadiran Nazir untuk menyambung semula tugasan dan tanggungjawabnya turut menandakan berakhirnya semakan dalaman secara terperinci oleh Lembaga Pengarah yang bermula pada 5 April lepas.

Nazir turut meneruskan semula jawatannya sebagai Pengarah CIMB Bank mulai hari ini, berikutan keputusan atau hasil semakan itu yang membuktikan bahawa beliau tidak menyalahgunakan kedudukan atau berlaku sebarang penyelewengan sumber-sumber bank itu ketika bergelar Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu.

Lembaga Pengarah CIMB juga bertindak melantik firma audit luar, Messrs Ernst & Young selain mendapatkan khidmat nasihat undang-undang secara bebas bagi membantu mereka dalam menyempurnakan lagi proses semakan berkenaan.

Nazir bercuti secara sukarela mulai 19 April lepas untuk memastikan semakan dalaman yang menyeluruh, bebas dan telus oleh lembaga pengarah membabitkan akaun peribadinya, susulan laporan oleh Wall Street Journal pada 31 Mac lepas.

Melalui catatan dalam Instagram beliau, Nazir, secara berseloroh menggambarkan dirinya sebagai "ahli perbankan yang bersara sementara serta peminat Chelsea", turut mengucapkan terima kasih kepada barisan Lembaga Pengarah CIMB Group dan CIMB Bank Bhd, firma audit luaran dan penasihat undang-undang ke atas semakan dalaman itu.

"Ia mengambil masa yang lebih lama daripada yang saya jangkakan. Biarpun sekadar menjadi pemerhati dan tidak selesa (bagi saya) tetapi ini adalah langkah yang tepat dan CIMB akan menjadi institusi yang lebih kukuh atas alasan itu - tiada siapa pun mengatasi sistem semak dan seimbang," katanya dalam catatan tersebut.

Bagi Profesor Fakulti Ekonomi Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng, Nazir telah mengotakan janjinya dan menunjukkan komitmen yang jelas terhadap isu-isu yang berkaitan dengan ketelusan dan etika.

"Beliau yang menyambung semula tugasnya selepas siasatan bebas itu adalah dialu-alukan bukan sahaja oleh organisasi tetapi juga kalangan pengamal perbankan dan masyarakat umum yang peka terhadap isu-isu integriti," kata Yeah.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan turut menegaskan bahawa Nazir perlu meneruskan kapasitinya sebagai Pengerusi CIMB memandangkan kes beliau telah dianggap selesai susulan keputusan jawatankuasa audit luaran.

"Tiada lagi isu konflik kepentingan dan kapasiti moral baginya (Nazir) untuk meneruskan tugasnya sebelum ini," katanya.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, memuji CIMB dan Nazir kerana mengambil inisiatif untuk menjalankan semakan dalaman dan kesediaannya untuk berundur ketika siasatan dijalankan.

"Ia adalah tindakan mengalukan beliau kembali. Sudah pasti, CIMB rapat dengan hatinya, di mana beliau membina kerjaya dan beliau membina CIBM di dalam kerjayanya. Beliau sangat tahu apa yang diperlukan bank itu untuk bergerak ke depan," tambahnya.

Selain integriti, kes itu telah mencetuskan keperluan untuk Malaysia mempunyai satu sistem pembiayaan politik yang lebih jelas dan telus.

Nazri berkata, industri perbankan Malaysia perlu belajar daripada negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mengenai bagaimana mereka menguruskan pembiayaan politik.

"Kita perlu mempunyai penanda aras. Ia sudah pasti jelas yang pembiayaan politik perlu diisytiharkan kepada pihak berkuasa, tanpa mengira jumlah dana," katanya.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Perundingan Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang boleh membantu pewujudan sistem pembiayaan politik yang lebih telus.

Wan Saiful juga berkata, ketelusan dalam pembiayaan politik perlu dikaji dengan serius bagi mengelak salah faham orang ramai.

"Saya berpendapat banyak kerja perlu dilakukan mengenai pembiayaan politik. Kita memerlukan sesuatu untuk mengawal selia dan kerajaan sedang melakukannya," tambah beliau.


Dengan pujian dan penghormatan sedemikian, kenapa Najib berdegil untuk tidak melakukan seperti yang dibuat oleh adiknya?

Apakah ini menggambarkan bahawa walaupun daripada keturunan darah yang sama, Nazir jauh lebih telus dan berwibawa daripada Najib.

Dan kalau sekirnya Najib juga pada hakikatnya bersedia, apa pula faktor yang menghalangnya?