Mingguan Malaysia (24 Mei 2009)
AKHIRNYA Dr. Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, kelmarin.
Berdasarkan keputusan sebulat suara panel tiga hakim iaitu Mohd. Raus Shariff, Zainun Ali dan Ahmad Maarop, pelantikan Zambry bagi menggantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu adalah betul.
Awang dan ramai lagi sejak dari awal yakin bahawa keputusan yang diambil oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah tepat dan bijaksana setelah Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Baginda yang berpengalaman luas sebagai hakim dan mahir dalam aspek perlembagaan, begitu objektif dalam pertimbangannya yang berpaksikan undang-undang.
Keputusan Sultan Azlan Shah melantik Zambry lebih ditafsir oleh pembangkang memihak kepada BN. Tetapi bagaimana pula keputusan baginda ketika menolak permohonan penubuhan kerajaan BN di Perak selepas pilihan raya umum lalu walaupun UMNO adalah parti yang mendapat kerusi terbanyak?
Ini kerana Sultan Azlan merasakan UMNO tidak mendapat sokongan majoriti jika DAP, PKR dan Pas membentuk pakatan dalam DUN. Keputusan baginda ketika itu dilihat memihak kepada pembangkang tetapi diterima baik oleh BN.
Apa pun Awang berharap semua pihak menghormati dan akur keputusan Mahkamah Rayuan. Kedua-dua pihak telah diberi peluang berhujah. Inilah masa rakyat menilai tingkah laku parti-parti politik. Mereka sudah bosan dengan politiking yang keterlaluan.
Keadilan bukan hanya milik pembangkang. Janganlah apabila hanya menang kes maka menyifatkannya sebagai kemenangan untuk rakyat dan apabila tewas, memperlekehkan mahkamah dan pihak yang menang.
Awang geleng kepala apabila Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang bakal hadapi satu lagi kes tuduhan liwat, mendakwa badan kehakiman kita sudah hancur sementara Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat menuduh BN tidak bermoral dan tak bertamadun. Pertanyaan Awang, bertamadunkah pihak yang tidak menerima keputusan mahkamah? Dalam kita berpolitik, janganlah sampai menjadi riak.
Pada Awang, keputusan mahkamah Jumaat lalu juga adalah tanda kejayaan kepada demokrasi. Tidak timbul soal membubarkan DUN kerana punca berlaku semua ini adalah atas masalah dalaman parti pembangkang sehingga tiga ADUN mereka keluar parti menjadi wakil bebas menyebabkan BN mendapat sokongan majoriti. Jika itu berlaku kepada kerajaan parti pembangkang, apakah mereka akan membubarkan DUN, yang jawapannya sudah tentu tidak.
Malah Anwar pernah menggerakkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi lompat parti bagi menguasai majoriti Dewan Rakyat (sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong) tanpa pun mahu pembubaran Parlimen. Nampaknya strategi makan tuan.
Kepada Nizar dan parti pembangkang Perak, segala-galanya belum berakhir, mereka boleh memberi tumpuan kepada PRU 13, yang tidaklah begitu lama lagi.
Jika mereka boleh berperanan secara tertib dan memenangi hati rakyat, peluang mereka tetap ada. Dengan kata lain, BN juga belum tentu selamat kedudukannya nanti.