Oleh CHAN KIM HOE
Walaupun pada Khamis 19 Julai yang lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak andaian bahawa pembebasan tahanan punca jenayah meningkat, tetapi masyarakat awam secara amnya masih khuatir akan keselamatan diri dan kediaman mereka ekoran daripada pembebasan 1,473 banduan baru-baru ini.
Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu sekalipun melegakan sedikit tetapi jauh disudut hati, rakyat secara umumnya khuatir akan keselamatan diri mereka, anak-anak dan juga keluarga.
Rakyat masih berasa bimbang, peningkatan kes jenayah adalah disebabkan oleh keputusan kerajaan membebaskan tahanan tersebut di seluruh negara yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011.
Pembebasan dilakukan sejak beberapa bulan lepas ekoran pengumuman pemansuhan oleh kerajaan terhadap ketiga-tiga akta tersebut tahun lepas. Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan kesemua bekas tahanan yang dibebaskan akan dikawal serta tempat tinggal mereka juga akan dipantau. Tetapi ini masih tidak meredakan perasaan gelisah orang awam mengenai jaminan keselamatan mereka.
Pada pengamatan saya, ini semua berlaku kerana masyarakat secara umum pada mulanya mengambil mudah dan memandang ringan akan kepentingan akta-akta yang telah dimansuhkan itu. Sebahagian besar termakan dengan kempen supaya akta-akta itu dihapuskan tanpa mengambil kira akan kesan yang bakal terjadi akibat daripada pemansuhannya. Mereka menyokong kerana terpengaruh dengan kempen ke arah perlunya sebuah masyarakat sivil, ketelusan dan sebagainya.
Malangnya, jenayah adalah satu perkara yang bukan sahaja rumit tetapi memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Hanya polis yang mampu membuat keputusan yang tepat apabila berhadapan dengan penjenayah, bukannya kita orang awam yang tidak tahu apa-apa tentang aktiviti jenayah. Ini kerana tidak semua orang sanggup dan bersedia tampil ke hadapan untuk menjadi saksi dalam perbicaraan kes-kes jenayah kerana khuatir akan menjadi mangsa sasaran kumpulan kongsi gelap kerana mendedahkan aktiviti mereka.
Itulah mengapa akta-akta kediaman terhad dan buang negeri diwujudkan agar para penjenayah yang diketahui oleh polis terlibat dalam kes-kes jenayah tetapi tidak dapat dibuktikan menerusi proses undang-undang, dibendung kegiatan mereka menggunakan akta-akta ini.
Kini selepas akta-akta ini dimansuhkan, barulah orang ramai sedar betapa mereka telah melakukan kesilapan dengan mendesak agar akta ini dimasuhkan. Perasaan dan rasa gelisah ini juga kini wujud di kalangan masyarakat Cina dan India yang rata-rata kononnya dahulu menentang kuat kewujudan akta ini. Mereka juga sedar kini bahawa pemansuhan akta-akta berkenaan adalah satu kesilapan yang besar. Mereka tidak lagi berasa selamat selepas ia dimansuhkan.
MStar, 11 Ogos 2012