Wednesday, November 30, 2016

Pegawai Kerajaan Bergelar Datuk Di Melaka Kena Reman 4 Hari


Seorang pegawai kerajaan bergelar Datuk direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan di Melaka.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Syarina Shaarani@Tan mengeluarkan perintah reman ke atas lelaki berusia 55 tahun itu sehingga Jumaat ini.

Terdahulu, pegawai terbabit yang bertugas di pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 10 pagi.

Suspek ditahan sepasukan pegawai SPRM di bandar raya ini kira-kira jam 2 petang semalam.


Suspek disyaki meminta wang suapan bagi projek berkaitan PBT dan SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang bernilai jutaan ringgit.


Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, ketika mengulas penahanan pegawai berkenaan berkata, tiada siapa di 'keliling' beliau boleh mengatasi undang-undang.

Mereka tertakluk kepada pemeriksaan oleh agensi-agensi penguatkuasa termasuk suruhanjaya tersebut.

Katanya, mereka di sekeliling beliau yang bekerja dengan kerajaan atau di pejabatnya, mestilah mematuhi arahan dan larangan mengikut dasar kerajaan dan undang-undang negara.

"Mereka tidak harus menggunakan saya sebagai perisai atau pelindung jika sesuatu berlaku (kepada mereka).

"Saya seorang yang amat hati-hati dengan orang di keliling saya.

"Saya tidak mudah bergaul dengan orang yang rasuah," katanya dalam satu kenyataan lisan menerusi aplikasi Whatsapp semalam.