Siasatan CIMB mendapati pengerusinya Datuk Seri Nazir
Razak tidak menyalah guna kedudukan ketika mengagihkan AS$7 juta bagi pihak
abangnya Datuk Seri Mohd Najib Razak.
“Dapatan daripada semakan itu menyimpulkan bahawa Datuk
Seri Nazir Razak tidak menyalah guna kedudukannya sebagai ketua eksekutif
kumpulan pada masa itu atau bertindak tidak sesuai terhadap sumber-sumber bank.
"Bagaimanapun, butiran siasatan yang dijalankan
telah mengenal pasti kelemahan beberapa proses dan Lembaga Pengarah telah
mengarahkan pihak pengurusan untuk memperbaiki serta mengukuhkan peraturan dan
dalaman,” menurut kenyataan CIMB.
Penambah baikan ini sangat penting bagi mengelakkan
kesilapan yang sama dari terus berulang di masa depan, ujarnya.
Nazir sebelum ini mengesahkan bercuti bagi membantu
semakan dalaman berkaitan pemindahan wang AS$7 juta yang dilapor diterima
daripada perdana menteri.
Nazir, dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan
ke-59 CIMB Group, mengesahkan beliau akan bercuti untuk memudahkan semakan
dalaman itu dilakukan.
Lembaga Kumpulan CIMB Holdings Berhad dan CIMB Bank
Berhad melantik juruaudit luar Messrs Ernst & Young dan mendapatkan
penasihat undang-undang bebas bagi membantu semakan mereka.
Sebelum ini, Transparency International-Malaysia (TI-M)
memuji langkah Nazir yang mengambil cuti sementara sambil menunggu semakan
dalaman bagi membolehkan proses tersebut berjalan dengan bebas dan baik.
Menyifatkanya sebagai satu langkah yang betul, TI-M
berkata, rakyat Malaysia yang lain sepatutnya mengikuti contoh yang baik
seperti itu.
Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu lagi, semua pihak
mengalu-alukan kepulangan semula Nazir sebagai Pengerusi yang juga Pengarah
CIMB ekoran selesainya siasatan tersebut.
"Lembaga pengarah komited untuk mengekalkan standard
tadbir urus korporat yang tinggi dalam kumpulan dan semua keputusan mengenainya
diambil kira dengan tegas untuk memenuhi tanggung jawab tersebut,"
jelasnya.