Wednesday, September 28, 2016

Tiada Tindakan Terhadap Penjenayah Menembak Jatuh MH17?


Laporan siasatan kejadian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014,  akan diumumkan petang ini (waktu Malaysia) di Belanda..

Namun, dijangka tiada dakwaan dikemukakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tragedi itu. Ini ekoran kekangan politik dan perundangan.

Pasukan penyiasat yang melibatkan dengan siasatan itu termasuk pendakwa raya dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

Di Berlin semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan,  Malaysia komited untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan dan hanya itu sahaja caranya.


"Kami adalah sebahagian daripada pasukan siasatan bersama antarabangsa dan kami telahpun menyatakan komitmen bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 akan dibawa ke muka pengadilan. Itu sememangnya merupakan pendirian kami," katanya.

Justeru, Malaysia terlebih dahulu akan menunggu laporan berkaitan insiden itu yang akan dibentang hari ini oleh Pasukan Siasatan Bersama yang diketuai Belanda dan seterusnya negara-negara terlibat akan membincangkan langkah berikutnya.

Laporan akan mendedahkan senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dan lokasi sebenar senjata berkenaan ditempatkan ketika hari kejadian.

Sebelum ini, pendakwa raya dari Belanda, Fred Westerbeke berkata, pihaknya memiliki senarai panjang individu yang berkait rapat dengan kes itu dan telah menjalankan analisis terhadap serpihan pesawat serta senjata yang ditemukan di lokasi tragedi.

Malah kumpulan penyiasat itu membayangkan untuk mengemukakan jenis dakwaan, sebagai contoh jenayah kecuaian, tetapi masalah perundangan mungkin menjadi halangan.

Apakah kita akan hanya diberitahu siapa, kenapa dan bagaimana kejadian terlibat tetapi tindakan sewajarnya tidak dapat diambil kerana sebab-sebab tertentu?

Apakah masyarakat antarabangsa, khususnya keluarga mangsa dan syarikat penerbangan terbabit akan berpuas hati?


Ahli keluarga dan waris mangsa tragedi MH17 sudah meminta bantuan Kesatuan Eropah (EU) bagi menggesa Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat) untuk menyerahkan semua maklumat risikan dan radar kepada pasukan penyiasat.

Menurut laporan portal Voice of America, satu pasukan penyiasat antarabangsa sedia memfailkan dakwaan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut tetapi waris mangsa bimbang proses siasatan tersebut terjejas akibat kurang kerjasama antara ketiga-tiga negara terbabit.

Rayuan itu dikemukakan oleh waris mangsa menerusi sepucuk surat kepada Diplomat Tertinggi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan EU, Federica Mogherini, baru-baru ini.

Najib berkata semalam, terdapat beberapa pilihan yang ada tetapi berdasarkan laporan dan dapatan dalam laporan itu, Malaysia akan membincangkan tindakan berikutnya. “Kami tetap komited untuk mencari keadilan atau lebih tepat, membawa mereka ke muka pengadilan," katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Canselor Jerman Angela Merkel.


MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Tahun lepas, Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine.

Laporan itu diumumkan selepas siasatan selama 15 bulan yang dijalankan oleh pasukan siasatan bersama dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.

Laporan dari Amsterdam menyebut, pasukan penyiasat antarabangsa berhubung kejadian pesawat MAS itu akan menyiarkan laporan kes itu pukul 11 pagi waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia) hari ini.

laporan itu menyebut bagaimanapun dijangka tiada dakwaan dikemukakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tragedi itu ekoran kekangan politik dan perundangan.

Pada 2015, Belanda mencadangkan tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendalikan kes itu tetapi Rusia menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi membatalkan usul tersebut.

Ukraine dan kerajaan barat menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia atas kejadian tersebut, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari kepada Kiev yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, kebanyakannya rakyat Belanda.

Nahas terbabit berlaku di kawasan konflik antara tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia, menyebabkan dua pihak bertelagah itu saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian itu.