Saturday, August 20, 2011

Pulau Pinang Maju - Pakatan Tidak Adil Ambil Kredit

Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menegaskan kejayaan ekonomi Pulau Pinang sekarang seharusnya dikaitkan dengan pentadbirannya sehingga Mac 2008 sambil mendakwa Ketua Menteri Pakatan Rakyat Lim Guan Eng secara tidak adil menerima kredit yang seharusnya disalurkan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga Mac 2008 itu membidas, “asas kukuh” pelbagai projek pembangunan yang disusun oleh pentadbirannya diserahkan kepada Lim, yang kemudiannya menggunakan media untuk mendakwa kejayaan adalah kerana kebolehan beliau.

“Untuk berlaku adil, kita kena atribut kerja keras oleh banyak pihak dan dipandu oleh kerajaan negeri BN di bawah kepimpinan saya ketika itu.

“Kerja keras yang kami lakukan selama 12 tahun, ketika Lim Guan Eng mengambil alih pembangunan, projek-projek itu sudah pun berada di tahap maju,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kami menjalankan kerja-kerja keras. Saya boleh kata, kesemuanya. Tetapi, apa sahaja yang baik bagi Pulau Pinang, kita gembira dengan perkembangan itu.

“Tetapi beliau mahu mengambil kredit berkaitan (perkara) itu, ia adalah tidak adil,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Menurut perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida), Pulau Pinang berada di kedudukan teratas dari segi kemasukan pelaburan dalam projek-projek pengeluaran, menarik RM12.24 bilion, lima kali ganda berbanding RM2.17 bilion pada 2009.

Perangkaan Mida juga menunjukkan Pulau Pinang berada di kedudukan kedua selepas Selangor sehingga Mei 2011, menerima RM4.49 bilion dalam bentuk projek pengeluaran yang diluluskan, selepas Selangor yang memperoleh RM4.47 bilion.

Koh yang juga Presiden Gerakan berkata, perbandingan yang dibuat antara pentadbiran Lim dan beliau adalah tidak adil kerana pelaburan dan pembangunan tidak berlaku dalam semalaman dan ia merupakan kesan “akumulatif.”

“Satu contoh perdana ialah Pulau Pinang disenaraikan sebagai kawasan Warisan Dunia ... pentadbirannya saya cuba sejak 1996.
“Kami berharap untuk mendapatkan penyenaraian pada 2006 atau 2007 (tetapi) ia sangat mencabar disebabkan permohonan penyenaraian bersama dengan Melaka. Penyenaraian Unesco diluluskan pada Julai 2008, hanya empat bulan selepas Lim Guan Eng mengambil alih,” kata Koh.

Perkara yang sama, kata Koh, terpakai dalam soal berkaitan dengan pelaburan kerana ia akan mengambil masa untuk memutuskan sama ada mahu melabur di Pulau Pinang ataupun sebaliknya dan tertakluk kepada perundingan dengan Mida.

“Sehingga kini beberapa pelaburan yang diluluskan oleh Mida atau diumumkan oleh pelabur adalah kerja yang dilakukan oleh kami selama lima tahun.

“Malah, kebanyakan pelaburan semula telah dipromosikan ketika era (Tun Lim) Chong Eu, khususnya ketika 18 tahun saya menjadi Ketua Menteri,” kata Koh lagi.
Koh juga berkata, pengumuman Lim mengenai simpanan negeri mencecah RM1 bilion tahun bukan sesuatu yang hebat.

Sebaliknya kata Koh, Lim telah gagal untuk memaklumkan bahawa ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, simpanan negeri itu sudah pun mencapai RM850 juta.

Dakwa Koh, pengumuman Lim itu seolah-olah menunjukkan bahawa BN meninggalkan negeri itu dengan sifar simpanan dan ia satu andaian yang mengelirukan orang ramai.

Sejak beberapa hari lalu Koh berhadapan dengan tekanan agar melepaskan jawatan presiden Gerakan jika BN mahu merampas balik Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Beliau dilihat sebagai pemimpin yang tidak boleh membuat keputusan tegas dan simbol kepimpinan BN yang telah ditolak oleh pengundi pada Mac 2008.

Wednesday, August 10, 2011

Guan Eng Perlu Jawab Tiga Soalan Berkenaan Rumah Kos Rendah

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman mendesak agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menamakan tempat di mana perumahan kos rendah dan sederhana yang kononnya telah dibina oleh kerajaan negeri sejak mengambil alih tampuk pimpinan di negeri tersebut.

“Sekiranya benar kerajaan negeri ada membina rumah kos rendah dan sederhana seperti yang didakwa, war-warkan di manakah tempat perumahan tersebut dibina dan agensi kerajaan manakah yang bertanggungjawab membina perumahan tersebut.”

Sebelum ini, Guan Eng menafikan bahawa kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal membina rumah kos rendah dan sederhana sejak mengambil teraju pemerintahan negeri pada tahun 2008.

Guan Eng mendakwa telah membina 11,596 rumah berharga kos rendah dan sederhana berharga antara RM42 ribu hingga ke RM72 ribu dan daripada jumlah tersebut, 3,421 buah rumah telah dibina oleh kerajaan dan selebihnya oleh pihak swasta.

Namun begitu Guan Eng tidak menyatakan di manakah perumahan terbabit dibina dan ianya menjadi persoalan yang harus dijawab.

“Sekiranya benar dia telah membina rumah kos rendah dan sederhana, di manakah ianya di bina. Itu yang menjadi persoalan saya. Apa yang saya pertikaikan ialah 3,421 buah rumah yang didakwa dibina itu. Adakah jumlah tersebut dibina oleh kerajaan negeri ataupun jumlah tersebut dicampur dengan 1,500 buah rumah yang dibina oleh kerajaan persekutuan?

“Tiga persoalan yang harus dijawab oleh Guan Eng adalah satu, adakah rumah kos rendah sederhana itu dibina oleh kerajaan negeri atau kerajaan pusat; dua, di manakah ianya dibina dan tiga, siapa pembelinya? Perkara inilah yang perlu Guan Eng dedahkan. Bukan hanya mengaku sudah membina tetapi tidak memaklumkan di mana ianya dibina.

“Setahu saya, tiada sebuah pun rumah yang kerajaan negeri bina. Saya tidak mahu mempersoalkan mengenai dakwaan ianya dibina oleh swasta. Apa yang saya mahu Guan Eng dedahkan adalah jumlah yang kononnya dibina oleh kerajaan negeri sejak memerintah Pulau Pinang,” ujarnya.

Menurut Zainal Abidin, Guan Eng perlu mendedahkan perkara ini sekiranya benar Kerajaan Pulau Pinang telus dan tidak menyembunyikan sebarang agenda.

“Terangkan kepada rakyat, mengenai tiga persoalan tersebut. Itu sahaja pinta saya. Apa yang saya nampak, Kerajaan Pulau Pinang hanya taksub membina rumah mewah dan menyebabkan mereka yang tidak mampu terutamanya orang Melayu berhijrah ke negeri lain.

“Ini menyebabkan orang Melayu semakin ‘pupus’ dari Pulau Pinang. Adakah ini antara agenda DAP untuk menghalau orang Melayu keluar dari Pulau Pinang?,” ujarnya.

MediaUMNO

Tuesday, August 9, 2011

Medan Perang Politik Malaysia Beralih Ke Internet

Oleh Alan Ting Bernama ( 7 Ogos 2011)

Sejajar dengan perkembangan global dan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT), medan perang politik di Malaysia turut berubah dan kini telah beralih ke Internet.

Perkembangan ini mendorong pelbagai pihak menggunakan Internet untuk menyebarkan maklumat berkaitan politik, seolah-olah tiada apa yang boleh menyekat mereka daripada berbuat demikian.

Benarkah keadaan ini tidak boleh dikawal? Sesetengah pemerhati media berpendapat ia memang tidak boleh disekat atau dikawal.

"Tiada siapa boleh menapis maklumat yang dihantar melalui Twitter, Facebook atau YouTube," kata anggota Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Ti Lian Ker.

Mesej boleh dihantar kepada pembaca di seluruh dunia hanya dengan satu klik dan tiada siapa yang boleh mengawal kandungannya, kata beliau.

"Perkara inilah yang memeningkan kepala para pengawal selia dan kerajaan kerana pengguna dan penghantar sesuatu mesej boleh menyembunyikan identiti masing-masing," kata beliau.

Ti berpendapat setakat ini kebanyakan masalah berkaitan Internet tidak ditangani dengan sewajarnya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Jeniri Amir pula berpendapat begini: Langkah kerajaan mengetatkan kawalan terhadap media tradisional mendorong semakin ramai orang memburu apa yang mereka anggap sebagai "kebenaran" melalui berita dalam talian dan ini membuka ruang kepada media dalam talian minor menguasai pendapat umum."

Beliau berkata, malah, Barisan Nasional (BN) sendiri menggunakan khidmat beberapa penulis blog untuk mengimbangi keadaan berat sebelah di Internet, walaupun langkah ini tidak memberi kesan seperti yang diharapkannya kerana hujah yang dikemukakan kumpulan penentangnya lebih mendapat sokongan.

"Lagipun, penyerang kerajaan secara dalam talian ini kelihatan lebih tersusun sebagai sebuah kumpulan yang bekerja untuk parti pembangkang dan mereka memanfaatkan isu tertentu, tidak kira sama ada betul atau tidak," kata beliau.

Tindakan kumpulan itu, kata beliau, menyebabkan sesetengah golongan muda pengguna Internet menerima dengan mudah segala apa yang mereka baca secara dalam talian dan ini menutup ruang untuk berhujah secara rasional dan beradab.

"Medan perang" ini turut merebak ke kawasan pengundi Melayu di kampung kerana walaupun mereka tidak tahu menggunakan Intenet, tetapi mereka dimaklumkan oleh anak masing-masing yang cekap menggunakan kemudahan IT tentang perkara yang mereka baca dalam talian, termasuk pelbagai khabar angin, cerita separuh benar dan, malah cerita yang sengaja diada-adakan untuk memburukkan imej kerajaan.

Dr Jeniri mengambil perhimpunan haram 19 Julai di Kuala Lumpur sebagai contoh.

"Cerita dan visual tentang orang biasa yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu disebarkan dengan meluas untuk menggambarkan mereka sebagai wira, manakala klip video yang mengandungi kepalsuan pula disiarkan melalui YouTube. Ini merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi BN," katanya.

Beliau berkata walaupun Internet boleh dijadikan alat untuk menyebarkan maklumat, tetapi majoriti rakyat Malaysia perlu belajar menggunakannnya secara wajar, khususnya berkaitan penyebaran mesej politik kerana terdapat keperluan untuk mengadakan perbincangan secara rasional dan menilai sesuatu pendapat secara seimbang.

"Jika sesetengah pengguna Internet terus menyelewengkan konsep demokrasi, pihak berkuasa tidak akan mempedulikan kenyataan biadab mereka, manakala pengundi yang matang pula akan menolak mereka apabila menyedari bahawa sebelum berkuasapun, kumpulan ini sudah berperangai hodoh," kata beliau.

Ahli akademik ini berkata "medan perang" Internet juga boleh membawa seseorang ke arah yang betul atau tidak betul kerana, sebagai contoh, oleh kerana terdapat begitu banyak maklumat, kebanyakan orang akan hanya mengikut pendapat ramai apabila mereka tidak dapat membezakan sama ada sesuatu maklumat itu betul atau palsu.

"Umpama orang yang kehilangan arah di lautan, mereka akan hanya mengikut orang lain dengan harapan akhirnya mereka akan menemui daratan atau sekurang-kurangnya, tidak keseorangan ketika berenang ke pantai. Ini menunjukkan mereka tidak mampu berfikir atau membuat penghakiman sendiri," katanya.

Selain itu, kata beliau, ramai orang menganggap semua maklumat yang mereka terima sebagai ilmu yang berguna.

Beberapa ahli politik berpendapat kebanyakan orang terus mempercayai apa yang disiarkan melalui Internet tanpa usul periksa kerana menganggapnya betul serta berkongsi maklumat itu dengan rakan masing-masing pula.

Seperti kata Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, kini kebenaran semakin sukar untuk dilihat dan manusia semakin sukar menerima pendapat serta pendekatan orang lain dan tidak boleh bertolak ansur.

"Pada era maklumat ini, manusia perlu melatih diri masing-masing supaya berfikir dan membuat analisis sebelum menerima sesuatu maklumat yang dihidangkan kepada mereka.

"Sebelum mempercayai sepenuhnya, kita perlu ajukan soalan, mengenal pasti dengan jelas jenis mesej yang diterima dan, jika perlu, mendapatkan pengesahan mengenainya," kata beliau.