Thursday, April 4, 2013

Video Hina Hindu - Berapa Kali Nak Zulkifli Nordin Minta Maaf?


Permohonan maaf oleh Datuk Zulkifli Nordin yang didakwa sebagai tidak serius oleh sesetengah pihak menyebabkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu membuat permohonan maaf kali kedua.

Zulkifli berkata, beliau secara terbuka mengakui kesilapannya buat kali kedua apabila terdapat penganut beragama Hindu tidak puas hati dengan permohonan maafnya sebelum ini.

Bagaimanapun beliau pada masa yang sama menyatakan kekesalannya apabila terdapat pihak yang mengaitkan ceramah tersebut dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

"Saya diberitahu saya tak serius mohon maaf sebab melakukannya dalam ceramah, sebab itu saya buat sidang media sekali lagi. Kita kena berani.

"Memang saya buat silap tapi jangan diputar belit atau dipolitikkan," katanya pada sidang media, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, ceramahnya 10 tahun lalu ketika bersama PAS dan disunting dengan meletakkan label 'Zul Nordin Perkasa' dipercayai dilakukan oleh pembangkang untuk mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu yang dihadapi mereka.

Beliau menjelaskan, pembangkang berdepan isu-isu yang boleh membawa kebencian dan kemarahan rakyat termasuklah isu penggunaan kalimah Allah, klip video didakwa pemimpin pembangkang dan keceluparan mendakwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara.

Katanya, konflik dalaman pembangkang seperti pembahagian kerusi dan penolakan secara terbuka pemimpin akar umbi terhadap Anwar sebagai perdana menteri turut menyebabkan pembangkang terdesak melakukan perkara ini.

Menurut Zulkifli, beliau percaya taktik ini digunakan pembangkang setelah melihat sokongan rakyat terhadap Perkasa yang semakin meningkat.

"Saya yakin pembangkang berusaha mengalihkan isu dengan merekacipta dan mengolah rakaman tersebut dengan mengaitkan Perkasa, seolah-olah Perkasa sebuah pertubuhan ekstremis, komunis, pelampau, jumud dan rasis.

"Walhal mereka yang sebenarnya cuba menyembunyikan fakta bahawa program itu dibuat semasa saya masih lagi di dalam PAS, (juga sebagai) peguam Anwar Ibrahim di hadapan ahli dan penyokong PAS, di tempat PAS," katanya.

Pada Isnin Zulkifli mengakui pernah membuat ucapan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap agama Hindu tetapi menjelaskan ucapan itu dibuat 10 tahun lalu ketika beliau berada dalam parti PAS.

Ucapan maaf dibuat kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Penggerak PRU-13 Kawasan Parlimen Baling.