Saturday, October 18, 2008

NAJIB KENA BELASAH DEPAN BELAKANG

Selepas Najib dibelasah cukup-cukup dengan pelbagai isu, kini Rosmah pula yang dijadikan sasaran.

Bukan sekadar tuduhan rasuah dan kaitannya dengan kes Altantuya tetapi Datin Seri Rosmah Mansor ini ‘ditelanjangkan’ sepuas-puasnya peribadinya untuk memperkecil dan menjejaskan imej Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dengan kata lain, isu Rosmah kini semakin geger dan menjadi isu nasional kalaupun tidak antarabangsa.

Saya turut terbaca dalam satu tulisan oleh Bekas Budak Tingkat 37 PWTC pada blog http://ohsedapnya.blogspot.com bertajuk “PAK LAH TERPAKSA & DIPAKSA” ada menyebut;

“Ketika bermesyuarat dengan Dr Mahathir sekitar 1999 yang turut disertai Tun Daim Zainuddin, apabila nama Najib diajukan, Dr Mahathir berkata “kalau beri pada Najib, Rosmah yang memerintah!”

Apa pun ikuti dua rencana berikut bagaimana Rosmah digambarkan sebagai wanita ‘hodoh’ yang akan menjadi Wanita No.1 Negara.

1. Menjejaki Diari Rosmah,
Yang Bakal Ditabalkan Wanita Nombor Satu Negara !
( pahangdaily (17 Oktober 2008)

Rakyat Malaysia kini semakin ternanti-nanti seorang manusia yang bakal ditabalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru. Jika dulu ayahandanya Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-2 selepas Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj dan bergelar "Bapa Pembangunan", maka tidak lama lagi anakandanya iaitu Najib Tun Razak bakal menjadi orang nombor satu negara.

Biarpun pedih di hati, namun hakikatnya perlu ditanggung juga. Najib bakal mengambil alih kepimpinan negara menerusi agenda "peralihan kuasa" Pak Lah yang dijangka bermula Mac 2009 ini. Maka itu, hebohlah rakyat Pahang memperkatakan hal ini. Ada yang seronok dan berbangga dengan kenyataan ini, malahan ada pula yang mencemuh dan tidak tergamak menerima Najib sebagai seorang Perdana Menteri Malaysia yang baru. Namun begitu, dalam ramai-ramai rakyat Malaysia yang menantikan detik bersejarah ini namun terdapat seorang manusia yang khabarnya sudah tidak dapat tidur lena.

Siapa lagi kalau bukan Rosmah Mansor, wanita yang senantiasa mendampingi Najib walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jarang benar kita melihat Rosmah, meninggalkan Najib hatta dalam majlis-majlis rasmi sekalipun. Malahan kita juga selalu melihat kelibat beliau ketika majlis sidang media ataupun ketika Najib menyampaikan hadiah dan cenderahati di atas pentas. Rosmah seolah-olah menbayangi Najib.

Beliau seakan takut Najib tersilap langkah, maka buruk padahnya. Umum mengetahui bahawa Rosmah terlalu "boros berbelanja", bahkan ada yang menyamakan beliau dengan bekas Presiden Filipina Imelda Marcos. Sikap beliau yang senantiasa disisi Najib membuatkan ramai yang mengganggap bahawa beliau "queen control". Apapun hanya Najib sahaja yang tahu sikap sebenar isteri kesayangannya itu.

Ramai yang tidak tahu kisah sebenarnya bagaimana Rosmah berjaya mendapatkan Najib dari bekas isterinya Tengku Puteri Zawiah iaitu seorang kerabat raja sebuah negeri di Pantai Timur. Ketika itu Najib adalah MB Pahang pada usia mudanya. Menurut maklumat Rosmah sentiasa berkunjung ke pejabat MB untuk bertemu Najib. Beliau dibawa oleh rakan karibnya iaitu Maznah Mazlan yang kini menjadi Timbalan Menteri dan ADUN Muadzam Shah.

Khabarnya, boleh dikatakan setiap hari Rosmah mengadap Najib, dan setiap kali itulah hanya Rosmah yang dibenarkan naik ke Pejabat MB, lain-lain orang tidak dibenarkan. Kejadian itu berlaku agak lama, hinggakan MB Najib ketika itu terpaksa mengarahkan pihak-pihak tertentu mengalihkan kenderaan MB untuk membuktikan beliau tiada di pejabat setiap kali Rosmah datang. Peliknya, Maznah hanya menunggu di lobi Wisma Sri Pahang tempat kejadian ini berlaku.

Hubungan pelik Rosmah yang datang ke Pejabat ini berlarutan agak lama, hinggalah ditemui isteri Najib dikatakan terkena penyakit misteri yang sukar diubati. Maka itu akhirnya, Najib menceraikan isterinya dan sanggup berkahwin dengan Rosmah setelah membayar sekian harga kepada pemilik Rosmah ketika itu (seorang selebriti terkenal). Entah berapa harga yang dibayar kita pun tidak pasti, mungkin ratus ribu atau juta agaknya. Akhirnya berjayalah Rosmah memiliki Najib, dan menurut maklumat maka bermulalah agenda Rosmah untuk menjadi orang nombor satu. Ini didedahkan kepada rakan-rakan rapatnya dan juga Maznah Mazlan. Berbanggalah Rosmah kerana memiliki lelaki seperti Najib Razak, seorang anak bekas Perdana Menteri yang amat disayangi rakyat dulu.

Hasratnya menjadi nombor satu tercapai seketika tatkala isteri Perdana Menteri Pak Lah, iaitu Hindon meninggal dunia akibat penyakit barahnya. Namun, perjalanan Rosmah sedikit terhalang selepas Pak Lah berkahwin kali kedua dengan Jeane Abdullah. Akhirnya hajat itu terbantut, namun usahanya tetap berjalan. Beliau terus melangkah dan melangkah, segala yang menghalang Najib pasti akan diketepikan. Maka wujudlah berbagai skandal yang mengaitkan namanya seperti kes Altantunya, isu pembelian kapal selam dan jet sukhoi, isu pakaian seragam pelatih PLKN dan banyak lagi. Perjalanan Rosmah sedikit terencat dengan isu-isu ini. Namun, baginya perjalanan semakin hampir cuma masanya belum tiba.

Akhirnya kini, Rosmah sudah hampir berada dikemuncaknya. Kelibat beliau lebih hebat dari mana-mana isteri raja-raja Melayu atau Perdana Menteri sebelum ini. Kemana Najib pergi, maka beliau tetap akan mengekorinya. Beliau terlalu marah jika wajahnya tidak dipaparkan dimedia ketika beliau berada bersama Najib dalam mana-mana acara rasmi. Pernah terjadi sebuah stesyen televisyen swasta di beri surat "tunjuk sebab", gara-gara mengambil gambar Najib dengan ternampak hanya tangannya sahaja di kaca TV. Rosmah tidak suka ini terjadi, beliau memberi amaran "tunggulah beliau jadi wanita nombor satu negara nanti".

Katanya itu masih terpahat dikalangan wartawan media terbabit. Mereka takut dengan amaran Rosmah. Beliau kini sedang mengatur strategi agar tidak ada orang yang menggagalkan rancangannya itu. Jika ada pasti "dipastikan" mereka akan gagal termasuklah Pak Lah, Anwar dan lain-lain lagi. Masa semakin tipis dan beliau harus berwaspada. Khabarnya beliau sudah mula berangan-angan untuk berada di Pejabat Perdana Menteri, bukannya Najib.

Bagi memastikan semua pihak berbuat baik dengannya, maka itulah beliau telah membelikan jam-jam tangan yang nilainya jutaan ringgit untuk diberikan kepada isteri-isteri pembesar negara dan raja-raja Melayu. Beliau sanggup lakukan semua ini demi mendapat sokongan dan yakin Najib akan menjadi orang nombor satu negara dan beliau bakal ditabalkan sebagai "wanita nombor satu".

Apakah hasratnya itu akan tercapai?. Rakyat dapat membayangkan, apakah akan terjadi jika beliau berjaya dengan impiannya ini?. Ada yang gusar dan takut apakah yang akan berlaku kepada rakyat terutamanya musuh Najib dalam pakatan pembangkang. Semua ini bakal terjawab dalam masa terdekat ini. Apapun, tidurnya sedikit "tidak lena" bila melihat mahkamah membicarakan Kes Hasutan Raja Petra yang kini ditahan ISA. Apakah ini maknanya Rosmah dan Najib akan dipanggil sebagai saksi selepas ini?.

Terdapat juga khabar angin, Mahathir ada memberi "kata dua" kepada Najib, jika beliau ingin mengejar impiannya itu beliau harus "lepaskan Rosmah". Ini kerana Mahathir tahu siapa Rosmah dan apakah kaitannya dengan skandal-sakandal yang dimaksudkan. Apapun, sama-samalah kita nantikan perjalanan Rosmah sebagai "wanita nombor satu" selepas ini.
Terkadang kita naik hairan dan pening melihat kelibat Rosmah yang senantiasa disisi Najib. Beliau seolah-olah takut najib akan meninggalkannya atau melakukan sesuatu yang akan menggagalkan hasratnya itu.

Sama-samalah kita berdoa agar Rosmah akan diberikan kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan dan mengenali dirinya sebelum beliau menjaga perasaan rakyat. Bagaimana harus Najib dan Rosmah menjadi "nombor satu" sedangkan dalam masa yang sama rakyat diseluruh pelusuk negara baik di kampung, di bandar dan di desa mula sangsi akan penglibatannya dalam kes-kes berkenaan. Beliau tidak mahu ke mahkamah, hanya ahli parlimen BN sahaja yang mempertahankan bahawa Najib sudah mengaku tidak bersalah maka kenapa lagi mahu dituduh !. Punyalah bangangnya ahli parlimen BN ini. Jika begitu Anwar pun kata dia tak bersalah, kenapa pula mahkamah mendakwanya? Bezanya rakyat tak percaya kes Anwar tetapi yakin dan percaya kes Najib

2. Antara Tengku Puan Pahang Dan Rosmah,
Siapa Lebih Islamik?
(pahangdaily 18 Oktober 2008)@

Rakyat Pahang ternanti dua wanita yang bakal menjadi nombor satu, satunya Rosmah Mansor yan bakal menjadi isteri Perdana Menteri dan satu lagi ialah KDYMM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang bakal menjadi Permaisuri Sultan Pahang suatu hari nanti. Kedua-duanya bakal bertemu di Pekan dan dimana-mana jua dalam majlis-majlis rasmi. Namun, masa untuk Rosmah lebih jelas dari Tengku Puan Pahang. Cuma apa yang membezakan kedua-dua wanita ini ialah sifat dan sikapnya. Rosmah dilihat cukup boros dan suka bergaya yang mewah-mewah.


Beliau tidak suka ada orang lain lebih bergaya darinya biarpun orang itu lebih cantik dan seksi darinya.
Pernah berlaku salah seorang isteri pembesar Angkatan Malaysia, diajak bershoping dengan Rosmah diluar negara. Khabarnya isteri pembesar terbabit terlihat sepasang baju yang cukup cantik dan amat sesuai dengan potongan badannya yang seksi itu. Namun, belum sempat beliau ingin membeli baju tersebut, begitu pantas Rosmah membelinya dulu. Peliknya, beliau bukan beli untuk dipakai. Tetapi beli atas dasar sakit hati jika melihat isteri pembesar terbabit bergaya anggun dengan memakai baju tersebut.

Baginya, biar dua-dua kempunan, asalkan beliau bahagia. Sikapnya ini jauh sekali berbeza dengan imej, ketrampilan dan gaya yang ditonjolkan oleh Tengku Puan Pahang yang nampak lebih lembut, berkhemah dan manis dengan senyuman. Jika dibezakan antara Rosmah dengan Tengku Puan Pahang, jauh pangang dari api. Bagi rakyat Pahang yang senantiasa mendampingi Tengku Puan Pahang pasti akan yakin dan bersetuju dengan kenyataan ini. Rosmah nampak agak sombong dan kurang senyuman jika berbanding dengan Tengku Puan yang lebih ayu, ceria dan penyayang.


Penampilan Tengku Puan Pahang tampak lebih anggun dan Islamik sejak akhir-akhir ini iaitu sejak beliau kembali dari menunaikan fardhu haji beberapa tahun lalu. Beliau kini sudah bertudung dan cukup menarik mata memandang berbeza dengan Rosmah yang masih "rambut terburai" dan tidak menutup aurat.

Jika insan yang berstatus darah raja pun tahu kewajipan menutup "aurat", mengapakah Rosmah tidak mahu mencontohinya walhal Malaysia adalah negara Islam hadhari. Senario ini samalah dengan apa yang berlaku antara isteri Agong dan dua-dua isteri Pak Lah Hadhari. Apakah ini melambangkan imej negara Islam yang dicanang-canangkannya selama ini. Terkadang kita lihat isteri PM dengan TPM langsung tidak mencerminkan Islam Hadhari. Namun itulah hakikatnya mereka ini. Rosmah juga dilihat berlebihan dari segi gaya dan penampilan, hingga mengalahkan kerabat raja. Justeru itu sama-samalah kita fikirkan apakah beliau layak menjadi wanita nombor satu negara?


Hairan dengan sikap jabatan-jabatan kerajaan di Pahang yang masih memaparkan wajah Tengku Puan yang lama walhal beliau kini sudah bertudung. Justeru itu diharapkan agar pihak terbabit menukar semua gambar-gambar rasmi yang tergantung di pejabat dan jabatan masing-masing untuk memberi penghormatan kepada Tengku Puan Pahang. Sesungguhnya Tengku Mahkota Pahang dan Tengku Puan Pahang adalah raja yang lebih berjiwa rakyat daripada Najib dan Rosmah. Sikap keterbukaaan mereka amat disenangi dan disayangi oleh rakyat Pahang. Daulat Tuanku !! ]

PEMBELIAN EUROCOPTER EC725 IKUT PERATURAN

Geger memperkatakan sama ada proses perolehan helikopter Eurocopter EC725 mengikut peraturan atau sebaliknya.

Ada pihak mendedahkan surat, dokumen dan sebagainya mempertikaikan keputusan proses perolehan berkenaan.

Namun semuanya terjawab semalam. Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa proses perolehan helikopter Eurocopter EC725 dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Penjelasan ini sudah pasti mengundang pelbagai pertanyaan baru, selain menyatakan fakta sebenar mengenai pembeliannya.

Abu Bakar menjelaskan: “Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sememangnya mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter yang berada di pasaran pada masa kini.
“Oleh itu, penilaian fizikal berhubung ciri-ciri pengendalian helikopter tidak perlu dilaksanakan di kawasan kemudahan (fasilitas) yang ditetapkan penender dalam masa tarikh tutup tender (12 Februari 2008) sehingga dibawa kepada pertimbangan Mesyuarat Lembaga Tender A (pada 22 Julai 2008).

Utusan Online yang memetik Abu Bakar melaporkan: “Ini adalah bagi menjamin ketelusan proses dan integriti Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada enam pegawai tidak dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kontroversi berlaku apabila dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Abu Bakar berkata keputusan perolehan Eurocopter berdasarkan tawaran lengkap oleh syarikat berkenaan dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal dan ofset pada harga munasabah.

"Eurocopter juga menawarkan sistem yang terbukti dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.

"Adalah menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini berhubung perkembangan teknologi semasa helikopter yang memenuhi keperluan operasi ketenteraan di pasaran," katanya.

"Penilaian juga mengambil kira kesesuaian penggunaan dan persekitaran operasi di Malaysia dan kawasan konflik di serata dunia. TUDM memang mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter terkini yang berada di pasaran."

Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, tender antarabangsa dibuka 6 Disember lepas ketika LIMA 2007 dan TUDM memberi penjelasan mengenai aspek teknikal dan operasi pesawat.

"Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Feb tahun ini dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian," kata Abu Bakar.

Daripada tujuh tawaran yang diterima dan senarai harga
(termasuk penghantaran), Eurocopter menawarkan Euro 233,345,390.

"Dokumen-dokumen ini seterusnya dibahagikan kepada tiga kumpulan dan disenaraikan untuk penilaian Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaiaan Offset dan Jawatankuasa Penilaian Harga," katanya dalam kenyataan itu.

Rumusan ketiga-ketiga jawatankuasa dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Tender A pada 22 Julai lalu dan seterusnya diperakukan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Ogos lepas, tambahnya.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

Tambahnya, LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 Sept.

Pembelian helikopter baru ini diputuskan oleh kabinet Julai tahun lepas bagi menggantikan pesawat Nuri, setelah prestasi pesawat itu mendapat rungutan ramai pihak.

Baca laporan Malaysiakini (14 Oktober 2008) untuk lebih lanjut:

Timbalan perdana menteri dikatakan berdepan dakwaan berhubung perolehan peralatan pertahanan baru selepas isu kontrak pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi yang menjadi isu politik besar tahun lepas.

Datuk Seri Najib Razak, sewaktu menjadi menteri pertahanan, didakwa mengendalikan usaha mendapatkan helikopter Cougar EC 275 (lihat jadual) yang dibekalkan oleh syarikat Eurocopter dalam "keadaan meragukan".

Dalam suratnya kepada Najib, sebuah syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian itu yang didakwanya "tanpa menemui wakil penjualnya dan (tanpa) melakukan ujian penerbangan."

"Lazimnya, seseorang yang ingin membeli kereta berharga satu juta ringgit pun akan bertanya berbagai soalan kepada jurujual dan membuat pemanduan uji dua atau tiga jenama kereta sebelum memilih kereta yang paling sesuai," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Menurutnya lagi dalam surat 7 Oktober, proses mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata Zahar lagi, yang juga ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan.

"LOI tersebut ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dan bertarikh 15 September iaitu dua hari sebelum Datuk Seri (Najib) berpindah dari Kementerian Pertahanan ke Kementerian Kewangan."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Zahar berkata tindakannya itu "tidak bermotifkan politik."

Dalam surat tersebut, Najib juga didakwa "menyampaikan laporan yang kurang tepat kepada Yang Amat Berhormat (perdana menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."

Selain Mentari Services yang bertindak bagi pihak satu daripada empat penender Kelowna Flightcraft Ltd, kontrak pembekalan helikopter itu turut disertai Sikorsky dan Agusta Westland, selain Eurocopter.

Menurut Zahar dalam surat keduanya kepada Najib pada 9 Oktober lalu, Kelowna menawarkan 12 model Kazan MI-172 KF dengan harga RM898 juta, Sikorsky (RM1.45 bilion) dan Eurocopter (RM2.32 bilion).

Pembelian helikopter baru ini bertujuan menggantikan perkhidmatan Nuri, yang dibekalkan oleh Sikorsky, yang sering mengalami kemalangan.

Saranan menggantikan Nuri bermula selepas kemalangan di Genting Sempah, dekat Genting Highlands, pada Julai tahun lalu.

Dalam pilihanraya kecil Ijok, Selangor tahun lepas, isu pembelian Scorpene dan Sukhoi SU30MKM menjadi begitu hangat sehingga memaksa kementerian mengeluarkan kenyataan menjelaskannya.

Kementerian berkata semua perolehan peralatan berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak membazir.

Ia juga menafikan dakwaan kerajaan membayar komisen RM540 juta kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda, seorang kenalan Najib yang kini menghadapi tuduhan bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Najib berkata perkara itu akan dijelaskan secara terperinci di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.