Sunday, May 29, 2016

Bagaimana Orang Yang Ada Kaitan Dengan Siasatan Boleh Kata Tiada Rasuah???


"SPRM sepatutnya mengumumkan kajian...Biar kerajaan dan Dr Ahmad Zahid dilihat bertanggungjawab dan telus...yang membuat janji untuk menyiasat perlulah mengotakan janjinya agar kenyataan memerangi rasuahnya berwibawa."  

Bagaimana Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor boleh menjawab bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu banjir kilat di Kuala Lumpur dan Putrajaya?

Apakah kerana dia menteri maka tugas SPRM pun di bawah seliaan beliau?

Bukankah secara automatik apabila disebut siasatan terhadap banjir kilat di Kuala Lumpur, ia melibatkan keseluruhan struktur, termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan, menterinya, timbalan menterinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pihak-pihak berkepentingan lain?

Bukankah ini bermakna Tengku Adnan boleh dianggap sebagai orang yang ada kaitan dengan siasatan? Apakah Menteri dan kementeriannya terkecuali?

Aneh apabila Tengku Adnan berkata pada 25 Mei lalu, SPRM tidak menemui sebarang elemen rasuah yang boleh dikaitkan dengan kejadian banjir kilat di ibu kota baru-baru ini.


Mengenai isu banjir kilat ini, Transparency InternationalMalaysia (TI-M) turut membuat ulasan bahawa banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu kota itu  membuka mata pelbagai pihak mengenai natijah daripada kepincangan aspek pelaksanaan andai benar ia terpalit dengan rasuah.

Pegangan bahawa wang berkuasa membuatkan segelintir pihak 'tutup sebelah mata' meskipun segala kekurangan seperti spesifikasi pembinaan, kualiti dan ketahanan terpampang ketika pemeriksaan akhir terbukti mengundang padah apabila ratusan rakyat terkandas dalam banjir.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai perlunya kajian hendaklah dilaksana dengan membawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengenal pangkat dan darjat kerana mengambil rasuah ke muka pengadilan.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam itu sebagai semboyan memerangi kepincangan mencatur pembangunan dek rasuah hingga menyusahkan rakyat.
 Dr Ahmad Zahid mengumumkan, kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara. Ini termasuk projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilatpada 7 dan 13 Mei lalu.

Bukan sahaja di ibu negara, Kuala Lumpur. Di Putrajaya seminggu sebelum itu, iaitu pada Sabtu 7 Mei, juga berlaku banjir kilat.

Dalam kejadian banjir kilat 12 Mei lepas, hampir 100 kenderaan ditenggelami air di Jalan Tuanku Abdul Halim (dulunya dikenali Jalan Duta) dan Jalan Bangsar.

Apakah kenyataan Tengku Adnan  itu hanya berasaskan kajian DBKL semata-mata yang mendapati banjir kilat di Jalan Tuanku Abdul Halim adalah kesan daripada kerja pembangunan di kawasan itu.

Bagi Jalan Pantai Baharu berhampiran Universiti Malaya (UM), Tengku Adnan berkata kolam pembendungan di UM didapati penuh dengan lumpur akibat kerja pembangunan di universiti itu, sekali gus tidak mampu menampung kadar air hujan yang banyak.

Persoalannya apakah SPRM tidak bebas membuat kenyataan sendiri, sebaliknya mesti menteri yang membuatnya?


Juga aneh, sehari sebelum itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk J.Loga Bala Mohan berkata, SPRM telah membuat lawatan di kawasan terlibat dengan banjir kilat yang melanda ibu negara pada 12 Mei lepas.

Katanya, siasatan terperinci perlu dibuat (saya ulangi PERLU DIBUAT) sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam elemen rasuah sehingga mengakibatkan banjir kilat. (apakah ini bermaksud belum siap?)

Loga menjawab celahan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mengenai kemungkinan banjir kilat itu berlaku kerana terdapat elemen korupsi seperti yang Dr Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul khas kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur di  Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, 24 Mei lalu.

Usul berkenaan dibawa oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang antaranya menggesa DBKL  bertanggungjawab atas kemusnahan harta benda terutamanya kenderaan selain mahu langkah efektif diambil bagi menjamin keselamatan orang ramai ketika banjir kilat.

Aneh, hanya sehari Timbalan Menteri berkenaan menjawab di Dewan Rakyat yang menggambarkan siasatan sedang dijalankan, Tengku Adnan mengatakan tiada unsur rasuah pada keesokan harinya.


Kenapa SPRM sendiri tidak mengeluarkan hasil siasatan?

Apakah secepat itu kajian atau siasatan SPRM mengenai isu banjir ini?

Apakah ini caranya kajian atau siasatan yang dimahukan oleh Timbalan Perdana Menteri?

Sedangkan laporan Bernama pada 14 Mei, menyebut bahawa Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib perlu menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

Amat nyata, Timbalan Perdana Menteri mahukan laporan lengkap dan apakah Tengku Adnan bercakap selepas laporan lengkap dibuat dan penilaian ke atasnya dilakukan secara menyeluruh?

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu,  SPRM juga mendapati tiada elemen rasuah terbabit dalam pemberian kontrak bagikerja saliran dan pembersihan sungai yang mengakibatkan banjir kilat itu.

“Perkara pertama adalah tiada sebarang eleman rasuah…kami beri kontrak kepada kontraktor berdasarkan keperluan. Jika kontraktor itu tidak mencapai piawaian, kami akan tamatkan kontrak,” katanya.

Ditanya sama ada siasatan lanjut akan dilakukan mengenai insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata: “Tak ada apa lagi yang nak disiasat.”

Kita menyanjung tinggi pendapat TI-M agar penilaian menyeluruh perlu digerakkan mencakupi setiap rantaian pembinaan iaitu daripada peringkat pemberian tender kontrak sehingga sesebuah projek menerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan, kata TI-M lagi.

Dengan kenyataan Tengku Adnan itu apakah kerajaan sudah  memperkemas aspek ketelusan dalam pembinaan dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan berkala?

Selain itu apakah penilaian projek bukan sekadar dilakukan selepas ia siap kerana ketika itu luarannya tampak cantik, tetapi sistem saliran di bawah tanah caca marba?

Kita berharap sangat SPRM sendiri mengumumkan kajian atau siasatannya agar keresahan dan kemarahan rakyat dapat diredakan. Biar kerajaan dan Dr Ahmad Zahid dilihat bertanggungjawab dan telus.

Kenyataan oleh Tengku Adnan itu bagaikan ‘melepaskan batuk ditangga’ dan banyak perkara boleh dipersoalkan.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri yang membuat janji untuk nmenyiasat perlulah mengotakan janjinya agar kenyataan memerangi rasuahnya berwibawa!!!