Polis mengingatkan
orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan
penipuan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Mereka yang berminat untuk melabur perlu membuat semakan dengan agensi kerajaan sekiranya ditawarkan
pelaburan.
Ia berikutan kes penipuan pelaburan jual beli minyak
sawit mentah yang menyebabkan 248 orang mengalami kerugian lebih RM31 juta.
Polis hari ini menyifatkan siasatan kes penipuan
pelaburan jual beli minyak sawit mentah itu sudah selesai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata hari
ini polis telah mengenal pasti dua lagi suspek yang tangkapan serta
rampasan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.
"Kita sudah tangkap suspek utama dan dua lagi
dicari. Kita telah kenal pasti siapa yang terlibat. Pada saya kes ini
selesai," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.
Khalid menyaksikan majlis serah terima tugas antara Datuk
Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara wajib sebagai Ketua Polis Pahang dan
penggantinya Datuk Rosli Ab Rahman, di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat kajian dan
mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum menyertai sesuatu pelaburan.
Buat kajian, jangan ada duit terus dilaburkan dan
akhirnya ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab," kata Khalid.
Pada 20 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah mengesahkan penahanan
suspek utama kes itu di Pulau Pinang yang berusia lingkungan 50-an yang turut
didapati menggunakan gelaran Datuk palsu.
Anak suspek yang berusia 35 tahun ditahan beberapa hari
sebelum itu. Kedua-dua mereka disyaki terlibat menipu 248 pelabur dengan
menjanjikan pulangan sehingga 30 peratus.
Berita Harian melaporkan pada 17 April lalu JSJK
Bukit Aman menahan seorang ahli sindiket skim pelaburan minyak sawit yang
memperdaya orang ramai membabitkan kerugian RM31 juta.
Tangkapan ke atas lelaki berusia 35 tahun yang juga
individu penting dalam skim dikenali sebagai 'Crude Palm Oil (CPO)', dilakukan
di Lembah Klang, semalam hasil maklumat dan risikan selepas menerima 248
laporan daripada orang awam yang menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.
Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai
didalangi seorang lelaki bergelar 'Datuk', menawarkan pelaburan berasaskan jual
beli minyak sawit dengan menjanjikan pulangan dividen sehingga 30 peratus,
berdasarkan pakej yang diambil.
Dalam serbuan berakhir jam 7 pagi tadi, pihaknya merampas
tiga buah kereta mewah jenis Nissan GTR, Lamborghini Avantado dan Porsche
Panamera serta dua motosikal jenis BMW GS R1200 dan Harley Davidson Fatboy.
Turut dirampas adalah wang tunai RM53,035 dan mata wang
rupiah 18.8 juta (RM6,230) selain geran kenderaan dan tanah.
Lelaki yang
ditahan itu adalah anak kepada suspek utama dan berperanan mengendalikan wang
syarikat pelaburan terbabit.
Terdapat empat pakej ditawarkan kepada pelabur, iaitu
satu tan metrik; dua tan metrik; lima tan metrik dan 10 tan metrik dengan
jumlah bayaran antara RM1,855 hingga RM16,422.
Pembayaran dividen pula dijanjikan setiap 12 hari bekerja
setiap bulan.
Pada peringkat permulaan, sindiket membayar jumlah dividen
dijanjikan bagi meyakinkan pelabur namun, sebaik pelaburan itu berkembang dan
jumlah yang dilaburkan juga meningkat sindiket bertindak menutup operasi
syarikat dan melarikan diri.
Suspek direman sehingga Khamis minggu lalu bagi membantu
siasatan mengikut Seksyen 420 kerana menipu.
Selain itu, tindakan akan turut diambil mengikut Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
daripada Aktiviti Haram 2001.