Thursday, May 11, 2017

SPRM Tahan Datuk Suspek Kes Rasuah RM20 Juta Bantu Siasatan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua lagi suspek termasuk seorang bergelar ''Datuk'' bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM20 juta membabitkan permit kerja ekspatriat dan profesional warga asing.

Sumber memaklumkan, kontraktor bergelar Datuk berusia 53 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam manakala seorang lagi berusia 37 tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya pada pukul 9.30 malam, Selasa.

Kedua-dua suspek adalah kontraktor pembinaan serta pemilik pusat cuci kereta di Pulau Pinang dan Kedah yang dipercayai berperanan sebagai penjaga aset kepada suspek utama yang juga seorang pegawai kanan Imigresen Padang Besar berusia 37 tahun yang ditahan Isnin lalu.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

SPRM memperoleh kebenaran tahanan reman ke atas ke­dua-dua suspek tersebut selama seminggu bermula semalam. Pe­rintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Naziah Mohd. Alias di Mahkamah Majistret di Putrajaya semalam.
.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
.
Mohd. Fauzi menjlaskan, siasatan lanjut mendapati dalang utama kes itu menggunakan proksi atau penjaga aset dalam kalangan rakannya untuk menyimpan sejumlah wang rasuah yang diperoleh secara tunai bagi mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa.


“SPRM menjalankan risikan ke atas suspek sejak setahun lalu sebelum membuat tangkapan terhadap semua suspek. Sejumlah wang tunai bernilai jutaan ringgit ditemukan di rumah salah seorang suspek yang ditahan dipercayai milik suspek utama,” katanya.

Tambah Mohd. Fauzi, kes ini bermula dengan maklumat perisikan yang diperolehi SPRM dan tiada kaitan dengan maklumat daripada Jabatan Imigresen.

“Kita juga ada menerima maklumat lain berhubung kehidupan mewah pegawai-pegawai penguat kuasa sempadan termasuk imigresen dan memohon agar ketua-ketua jabatan memainkan peranan dalam memantau pegawai-pegawai mereka agar tidak terus terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya.

Berikutan penahanan terbaharu itu, suspek yang ditangkap setakat ini berjumlah lima orang.

Isnin lalu, tiga lelaki termasuk dua pegawai kanan Imigresen Padang Besar ditahan ya SPRM  Kedah bagi kesalahan rasuah membabitkan lebih RM20 juta.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan di dua lokasi di sekitar Alor Setar dan di Perlis pada kira-kira 10 hingga 11 pagi Isnin hasil risikan pihaknya.


Mereka yang ditahan adalah seorang pegawai kanan Imigresen Padang Besar yang berusia 37 tahun, seorang pegawai penguat kuasa Imigresen Padang Besar berusia 34 tahun dan seorang kontraktor berusia 48 tahun.

"Kedua-dua pegawai kanan itu ditahan kerana menerima rasuah daripada kontraktor berkenaan bagi meluluskan pas ekspatriat pengambilan pekerja mahir dan profesional. Setakat ini, sebanyak 339 permohonan yang melibatkan 18,626 pas telah diluluskan.

"Setiap individu membayar kira-kira RM1,500 seorang untuk mendapat kelulusan pas berkenaan," katanya.


SPRM Kedah turut merampas barangan dan wang bernilai RM1.9 juta yang merangkumi lima kenderaan mewah dan sebuah motosikal berkuasa tinggi, jam tangan dan beg tangan wanita berjenama serta deposit tetap hampir RM1 juta.