Monday, July 13, 2009

AZMIN ‘PUKUL ANAK SINDIR MENANTU’

Oleh Zainal Yusof (citra _bangsa@yahoo.com)

APABILA Naib Presiden PKR, Azmin Ali mencadangkan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor, DAP mula terkejut. Namun Pas hanya berdiam diri tetapi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim khabarnya tidak dapat lena dibuatnya.

Sebenarnya, orang PKR semua tahu bahawa Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa adalah orang yang paling berkuasa dalam PKR selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biasanya apabila Azmin bercakap, ia adalah suara Anwar Ibrahim. Disebabkan Anwar kini sedang sibuk untuk ‘melarikan diri’ dari pendakwaan tuduhan kes liwat terhadapnya, menyebabkan Azmin kedepan dalam hal seperti ini.

Azmin tentunya nampak kelemahan Khalid sebagai Menteri Besar. Azmin memang disebut-sebut bakal Menteri Besar Selangor bagi mengantikan Khalid tetapi Khalid menafikannya. Orang PKR tentunya tahu, Azmin lebih awal berada di dalam PKR jika dibandingkan dengan Khalid.

Namun Khalid diperlukan kerana Khalid antara jutawan yang banyak membantu Anwar dan PKR ketika Anwar dalam kesengsaraan sewaktu awal-awal dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

Siapa juga yang membantu Anwar, Azmin tahu. Azmin adalah SUSK Anwar ketika Anwar menjadi Menteri dan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Hubungan Azmin yang rapat dengan Anwar menyebabkan apa yang Azmin cakap biasanya ‘itulah yang Anwar setuju’.

Tidak hairanlah kalau ramai yang meninggalkan PKR kerana mereka tidak ‘dapat menerima’ Azmin sebagai orang paling berkuasa dalam PKR.

Cubalah bertanya dengan Datuk Nallakaruppan, Mohd Ezam Md Nor dan Abdul Rahman Othman. Mereka tentunya boleh menceritakan ‘siapakah Azmin’ dalam PKR. Kalau menentang cakap Azmin, ibarat menentang cakap Anwar, cerita mereka.

Jadi, ada yang mengatakan jika Azmin mendesak supaya barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor dirombak, ia bukan satu kenyataan ‘diangin lalu’ sahaja. Desakan itu tentulah sudah dibincang terlebih dahulu dengan Anwar. Mustahil Anwar tidak tahu apa yang mahu Azmin perkatakan dan jika Anwar tidak tahu, belum pasti beliau tidak bersetuju dengan desakan itu kerana ia datangnya dari Azmin.

Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah tidak perlu terkejut. Jika Azmin lakukan ini, mungkin kerana Azmin mahu memberitahu Dap di Selangor, keberanian Azmin melebihi keberanian DAP di Kedah yang hanya bertindak keluar dari Pakatan Pembangkang sehanya seminggu.
Lagipun, jika DAP terasa dengan kenyataan Azmin, ia mudah diselesaikan yang mustahak mesej yang mahu Azmin sampaikan ialah kepimpinan Menteri Besar Selangor tidak bermaya, walaupun desakan merombak barisan Exco itu hanyalah dilihat sebagai ‘pukul anak sindir menantu’.

Azmin sebenarnya mendesak Khalid. Sama ada Khalid faham atau tidak, khabarnya lena Khalid kini sudah terganggu. Maklumlah, yang menegur kepimpinan ini bukan calang-calang orang.

Khalid tidak pernah gentar. Malahan, sergahan SPRM terhadapnya sudah dilawannya sampai saman-menyaman. Tetapi apabila Azmin yang menegur, Khalid sudah terbayang dia bakal ‘makan pencen’ dalam politik, serentak dengan desas-desus yang mengatakan dia bakal mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak bagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim bertanding di situ.

DAP pula beranggapan Azmin menyerang Ronnie Liu Tian Khiew yang bertanggungjawab terhadap PBT di seluruh Selangor. Apa yang Azmin bangkitkan ada hubungan kaitnya dengan perlantikan Ahli Majlis yang menimbulkan rasa tidak puashati PKR. Namun, DAP menyifatkan kesilapan PKR sendiri yang menyebabkan wakil PKR tidak dapat diisi sebagai Ahli Majlis.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berpendapat desakan merombak barisan Exco tidak terhad kepada Exco sahaja sebaliknya menukarkan Khalid dari jawatan Menteri Besar kepada orang lain kerana Khalid dianggapnya sebagai gagal melaksanakan tugasnya mentadbir negeri.

UIGHUR TENAT DIKEKANG HAN

Oleh Hafizahril Hamid (Mingguan Malaysia)

NASIB umat Islam sering saja tertindas terutama di kawasan yang mereka menjadi minoriti. Tidak kira di ceruk rantau mana mereka berada, ada saja konflik dan penindasan yang tercetus.

Kita boleh saksikan juga perkara sebegini berlaku di negara seperti Thailand dan Filipina yang mana umat Islam merupakan minoriti.

Begitu juga nasib umat Islam di negara-negara Barat seperti Perancis. Mereka ini dilayan seperti penduduk kelas kedua kerana mereka ini merupakan pendatang dari negara bekas jajahan seperti Maghribi dan Algeria. Maka tidak hairanlah berita kejadian rusuhan pada 2005 pernah menjadi sisi gelap bagi negara itu.

Namun semua kejadian ini tidak dinilai dengan bijak dan terbuka oleh China, sebuah negara yang bakal mendominasi landskap ekonomi dan politik dunia. Jika mereka mengkaji dan menilai apa yang berlaku di Palestin, selatan Thailand malah di Perancis pastinya nasib penduduk minoriti Uighur akan lebih baik dan terjamin memandangkan mereka ini juga sebahagian dari penduduk negara itu.

Mereka ini adalah penduduk asal dan menguasai wilayah Xinjiang namun kini mereka dipandang sebagai penduduk kelas kedua. Mereka ini bukan sahaja ditindas kerana agama tetapi lebih terarah kepada cubaan asimilasi dan dominasi oleh China.

Dalam kejadian terbaru di Urumqi dalam wilayah Xinjiang, dianggarkan 1,000 hingga 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Rakyat. Mereka membantah kematian beberapa pekerja kilang alat permainan akibat perkelahian antara kaum Uighur dengan kaum Han China pada 25 Jun lalu.

Pada awalnya pertembungan pada Ahad lalu tercetus akibat kegagalan kerajaan mengendalikan pertikaian tersebut dengan adil hingga bertukar menjadi ganas. Maka tercetuslah pertempuran antara kaum Han dan etnik Uighur yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 156 orang terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera.

Tindakan ini dilihat sebagai yang paling berdarah selepas kejadian di Medan Tiananmen lebih 20 tahun lalu. China menuduh puak pemisah Islam Uighur menggunakan senjata pisau dan kayu belantan ketika mengadakan rusuhan.

Ratusan penunjuk perasaan dari kaum Han, kumpulan etnik utama di China, dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, paip besi dan batang kayu bertindak menyerang kedai-kedai milik kaum Uighur.

"Mereka menyerang kami, kini giliran kami untuk menyerang mereka," kata seorang lelaki Han.
Sebelum itu, sekumpulan wanita Islam Uighur yang bertudung bergelut dengan anggota polis bersenjata dalam protes berasingan di ibu kota itu.

Kira-kira 200 wanita menyekat sebatang jalan sambil menjerit bahawa suami dan anak-anak mereka telah ditangkap dalam operasi besar-besaran yang dijalankan oleh pihak berkuasa China ke atas kaum minoriti Islam itu.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, polis telah menangkap 1,434 suspek kerana disyaki terlibat dalam rusuhan tersebut.

Bagaimanapun di sebalik semua insiden ini pastinya kita tertanya-tanya kenapa peristiwa ini berlaku. Secara umumnya diskriminasi dan polarisasi kaum menjadi kata kunci kepada rusuhan ditambah pula rasa tidak puas hati akibat penindasan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap kaum Uighur.

Wilayah Xinjiang yang mempunyai keluasan 1.6 juta kaki persegi dengan kepadatan penduduk 20 juta merupakan sebuah wilayah yang asalnya dikuasai oleh kaum Uighur. Nama wilayah Xinjiang yang bermaksud wilayah baru dalam bahasa Mandarin dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum Uighur. Mereka lebih suka jika nama yang membayangkan etnik mereka seperti Uyghurstan digunakan.

Wilayah yang bersempadan dengan Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Rusia bahagian utara serta Pakistan dan India di bahagian selatan turut menempatkan 47 etnik lain. Namun kaum Uighur yang kebanyakan bertutur dalam bahasa Turki menguasai dengan jumlah penduduk 8.3 juta.

Dari segi sejarah, wilayah ini telah banyak kali dijajah oleh China. Wilayah ini pernah muncul sebagai Turkestan Timur ketika berlakunya perang saudara namun China bertindak menyerang dan menguasai wilayah ini pada tahun 1949. Sejak itu wilayah itu diletakkan sebagai salah satu dari lima wilayah autonomi di China.

Bagaimanapun peningkatan mendadak kaum Han China di situ telah meningkatkan kemarahan kaum Uighur. Bayangkan dari hanya enam 6 peratus pada 1949 kini kaum Han telah meningkat kepada lebih 40 peratus penguasaan.

Ini jelas menunjukkan polisi yang diamalkan China bagi mengelakkan penguasaan kaum Uighur di wilayah itu selain dari mengelak sebarang kegiatan nasionalis berleluasa. Apatah lagi dengan kejayaan negara-negara bekas jajahan Rusia seperti Kazakhstan mendapat kemerdekaan pada 1990-an, China melihat usaha menempatkan kaum Han di wilayah ini sebagai satu keperluan untuk mengekang sebarang usaha-usaha berbentuk nasionalis dan kemerdekaan.

Gerakan mendapat kemerdekaan oleh puak Uighur ini telah diusahakan oleh Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) dan Parti Islam Turkestan (TIM). Kedua-dua kumpulan telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas dan didakwa pernah menerima latihan dan dana dari Al-Qaeda.

Bagi pemimpin demokrasi Uighur yang kini tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat (AS), Rebiya Kadeer beliau menganggap apa yang berlaku sekarang sebagai tindakan luahan perasaan marah penduduk asal.

"Apa yang saya lihat di sana ialah golongan muda tidak mempunyai pekerjaan, tanpa pendidikan dan tanpa harapan.

"Mereka tahu matlamat mereka tetapi pada masa yang sama mereka tahu tidak ada harapan untuk ia dipenuhi. Saya tidak menyokong tindakan ganas sebegini tetapi kemarahan seperti ini pasti ada sebabnya," kata Rebiya yang pernah menjadi antara orang terkaya di China sebelum disumbat ke dalam penjara selama enam tahun.

Kebanyakan perniagaan dikuasai oleh penduduk Han dan rumah-rumah penduduk Uighur telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada kemasukan kaum Han. Kebanyakan peluang pekerjaan turut dikuasai oleh puak Han. Lebih menyedihkan budaya kaum Uighur telah diketepikan dan mereka kini umpama golongan minoriti yang terpaksa menumpang di wilayah sendiri walaupun hakikatnya adalah sebaliknya.

Kaum Uighur mengatakan kebanyakan dasar-dasar kerajaan tidak berlaku adil kepada mereka demi memberi tempat kepada penghijrahan kaum Han Cina ke wilayah Xinjiang dan ini telah menimbulkan ketegangan etnik dan menaburkan benih-benih keganasan.

Dari segi kemanusiaan penindasan sebegini tidak seharusnya berlaku. Kaum Uighur hanya mahukan keadilan dan hak mereka dikembalikan. Namun laungan mereka ini tidak mendapat sebarang pembelaan dari kerajaan China. Sesungguhnya pihak berkuasa China tidak harus menyalahkan kaum Islam Uighur sahaja dalam setiap rusuhan yang berlaku.

Mereka perlu lebih peka dengan kehendak puak Uighur ini memandangkan mereka juga sebahagian dari penduduk negara itu. Adalah jelas, yang tertindas adalah puak Uighur kerana segala hak dan kepunyaan mereka ini dirampas hanya untuk memberi ruang untuk kaum majoriti Han yang menguasai China secara keseluruhan.