Friday, April 7, 2017

Rasuah Geotube - 'Pesara Politik' Bergelar Tan Sri, Anak Kena Reman

 

Seorang ahli perniagaan yang juga ‘pesara politik’ bergelar Tan Sri bersama anaknya direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu pembekalan geotube (penggalian) kerja-kerja pemulihan Sungai Melaka sejak 2012.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret A.Akhiruddin Acho selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman kedua-dua suspek tersebut.
Selain itu, mahkamah sama mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap tiga pegawai dan seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas dakwaan bersubahat bersama Tan Sri berkenaan.


Terdahulu, keenam-enam suspek terbabit tiba di mahkamah di Putrajaya pada pukul 9.30 pagi.


Semalam, Tan Sri berkenaan ditahan SPRM di kediamannya di Johor pada pukul 10.30 pagi semalam manakala anaknya ditahan di pejabatnya pada pukul 11 malam.


Tiga pegawai dan seorang bekas pesara JPS itu pula ditahan berasingan di Johor, Melaka dan Seremban.


Difahamkan, tuntutan palsu itu dilakukan di bawah kerja-kerja pemulihan sungai menggunakan kaedah penggalian JPS.


Suspek dipercayai mengemukakan invois pembayaran berjumlah hampir RM13 juta bagi membekalkan 358 unit geotube.
Hakikatnya, hanya 89 unit yang dibekalkan bernilai kira-kira RM4 juta dan akibatnya, kerajaan kerugian hampir RM9 juta.

Kelmarin media melaporkan seorang  individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu pembekalan geotube Sungai Melaka, Melaka.


Suspek yang berkhidmat sebagai juruukur bahan di syarikat milik suspek bergelar Tan Sri ditahan di rumahnya di Johor Bahru, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Suspek berusia 48 tahun difahamkan sudah berhenti bekerja dengan syarikat itu pada 2014 namun berkemungkinan terlibat dalam salah laku itu pada 2012.

Semalam juga, sehari selepas SPRM  menahan seorang “Tan Sri” berkenaan di Johor kerana disyaki terbabit kes penipuan, anak lelaki suspek pula turut ditahan.

Lelaki berusia 31 tahun yang ditahan berhubung kes itu, dibawa ke mahkamah bersama bapanya di Putrajaya jam 9 pagi semlam untuk direman.

Lelaki itu ditangkap di Johor Bahru dan siasatan awal menunjukkan dia turut terlibat dalam kes penipuan itu.