Saturday, August 20, 2011

Pulau Pinang Maju - Pakatan Tidak Adil Ambil Kredit

Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menegaskan kejayaan ekonomi Pulau Pinang sekarang seharusnya dikaitkan dengan pentadbirannya sehingga Mac 2008 sambil mendakwa Ketua Menteri Pakatan Rakyat Lim Guan Eng secara tidak adil menerima kredit yang seharusnya disalurkan kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga Mac 2008 itu membidas, “asas kukuh” pelbagai projek pembangunan yang disusun oleh pentadbirannya diserahkan kepada Lim, yang kemudiannya menggunakan media untuk mendakwa kejayaan adalah kerana kebolehan beliau.

“Untuk berlaku adil, kita kena atribut kerja keras oleh banyak pihak dan dipandu oleh kerajaan negeri BN di bawah kepimpinan saya ketika itu.

“Kerja keras yang kami lakukan selama 12 tahun, ketika Lim Guan Eng mengambil alih pembangunan, projek-projek itu sudah pun berada di tahap maju,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kami menjalankan kerja-kerja keras. Saya boleh kata, kesemuanya. Tetapi, apa sahaja yang baik bagi Pulau Pinang, kita gembira dengan perkembangan itu.

“Tetapi beliau mahu mengambil kredit berkaitan (perkara) itu, ia adalah tidak adil,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Menurut perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida), Pulau Pinang berada di kedudukan teratas dari segi kemasukan pelaburan dalam projek-projek pengeluaran, menarik RM12.24 bilion, lima kali ganda berbanding RM2.17 bilion pada 2009.

Perangkaan Mida juga menunjukkan Pulau Pinang berada di kedudukan kedua selepas Selangor sehingga Mei 2011, menerima RM4.49 bilion dalam bentuk projek pengeluaran yang diluluskan, selepas Selangor yang memperoleh RM4.47 bilion.

Koh yang juga Presiden Gerakan berkata, perbandingan yang dibuat antara pentadbiran Lim dan beliau adalah tidak adil kerana pelaburan dan pembangunan tidak berlaku dalam semalaman dan ia merupakan kesan “akumulatif.”

“Satu contoh perdana ialah Pulau Pinang disenaraikan sebagai kawasan Warisan Dunia ... pentadbirannya saya cuba sejak 1996.
“Kami berharap untuk mendapatkan penyenaraian pada 2006 atau 2007 (tetapi) ia sangat mencabar disebabkan permohonan penyenaraian bersama dengan Melaka. Penyenaraian Unesco diluluskan pada Julai 2008, hanya empat bulan selepas Lim Guan Eng mengambil alih,” kata Koh.

Perkara yang sama, kata Koh, terpakai dalam soal berkaitan dengan pelaburan kerana ia akan mengambil masa untuk memutuskan sama ada mahu melabur di Pulau Pinang ataupun sebaliknya dan tertakluk kepada perundingan dengan Mida.

“Sehingga kini beberapa pelaburan yang diluluskan oleh Mida atau diumumkan oleh pelabur adalah kerja yang dilakukan oleh kami selama lima tahun.

“Malah, kebanyakan pelaburan semula telah dipromosikan ketika era (Tun Lim) Chong Eu, khususnya ketika 18 tahun saya menjadi Ketua Menteri,” kata Koh lagi.
Koh juga berkata, pengumuman Lim mengenai simpanan negeri mencecah RM1 bilion tahun bukan sesuatu yang hebat.

Sebaliknya kata Koh, Lim telah gagal untuk memaklumkan bahawa ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang pada 2008, simpanan negeri itu sudah pun mencapai RM850 juta.

Dakwa Koh, pengumuman Lim itu seolah-olah menunjukkan bahawa BN meninggalkan negeri itu dengan sifar simpanan dan ia satu andaian yang mengelirukan orang ramai.

Sejak beberapa hari lalu Koh berhadapan dengan tekanan agar melepaskan jawatan presiden Gerakan jika BN mahu merampas balik Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat.

Beliau dilihat sebagai pemimpin yang tidak boleh membuat keputusan tegas dan simbol kepimpinan BN yang telah ditolak oleh pengundi pada Mac 2008.