Friday, July 29, 2016

Isteri Pelakon Terkenal DiTahan Polis Disyaki Terbabit Penyeludupan Manusia


Isteri kepada seorang pelakon terkenal merupakan antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang ditahan polis dalam operasi khas Selasa lalu di Putrajaya, kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka termasuk wanita berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen dan memberi laluan segera kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa melalui prosedur yang sah," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Noor Rashid berkata polis tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai kanan imigresen yang terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Sebelum itu polis belum mendapat maklumat berhubung dakwaan isteri pelakon yang dikatakan itu adalah isteri kedua pelakon Adi Putra, Nor Shahida Zolkifly antara 15 
kakitangan Jabatan Imigresen yang ditahan  petang semalam di Putrajaya seperti laporan sebuah portal hiburan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan, beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan itu.

“Mana awak tahu? Saya pun tidak tahu lagi,” katanya pendek pada sidang media selepas merasmikan merasmikan majlis penutup Persidangan Polis ASEAN (ASEANAPOL) ke-36 di sini petang semalam.

Khalid diminta mengulas laporan portal hiburan semalam yang mendakwa isteri pelakon tersebut ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam di pejabatnya dalam operasi khas.


Ketua Pesuruhjaya SPRM - Dzulkifli Ganti Abu Kassim


Pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad bakal menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Difahamkan pelantikan Dzulkifli yang juga Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara telah dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, kelmarin.

Sumber memberitahu mStar Online, pelantikan Dzulkifli yang ditawarkan perkhidmatan secara kontrak itu berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.

Menurut sumber itu, peguam berusia awal 50-an itu adalah antara calon yang dinamakan sejak beberapa bulan lalu untuk menggantikan Abu Kassim.

"Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga dikatakan calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan tetapi beliau telah menolak perkara itu.

"Jadi, seorang lagi calon adalah Datuk Dzulkifli dan tentunya beliau layak," kata sumber itu lagi.

Pada Rabu malam, berlangsungnya majlis perpisahan terakhir buat Abu Kassim yang dihadiri pegawai tertinggi SPRM.

Seterusnya pada petang Jumaat pula, akan diadakan majlis paluan berundur buat Abu Kassim, juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mengikut jejak ketuanya menamatkan perkhidmatan di suruhanjaya itu.

Abu Kassim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010 dan memohon untuk tidak meneruskan perkhidmatannya mulai 1 Ogos ini.

Selaras subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim, 55, untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Bagaimanapun, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.

Sepanjang tempoh Abu Kassim menerajui SPRM, suruhanjaya itu telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.