Wednesday, June 15, 2016

Apa yang tidak BERSIH di PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar


Gabungan reformasi sistem pilihan raya BERSIH semalam  mengeluarkan senarai dakwaan rasuah pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kebetulan, tiga daripadanya selari dengan dakwaan portal pro-BN MYKMU yang menyenaraikan dakwaan rasuah pilihan raya pembangkang.

Contoh yang diberikan oleh portal berkenaan ialah:

Minyak hitam motor percuma (Amanah/PKR)
Jual gula tanpa GST RM2/kg (PAS)
Bas percuma untuk penduduk Sungai Besar (PKR)
Bubur Lambuk - edar jam 1 tengahari (Amanah/PAS/PKR)
Cucian kereta percuma (Amanah)


Perkara itu, yang diedarkan bersama kenyataan medianya semalam,  termasuk pemberian sayur sawi oleh Pakatan Harapan (DAP dan sayur sawi) di Kuala Kangsar selain servis motosikal percuma oleh PKR dan PAS di Sungai Besar.

Bagaimanapun daripada 14 dakwaan yang disenaraikan oleh BERSIH, hanya lima melibatkan pembangkang, manakala selebihnya melibatkan BN.

BERSIH antaranya mendakwa BN, melalui parti komponen dan agensi kerajaan, memberi pelbagai perkara daripada makan malam, cabutan bertuah, arak, beras, baja, peralatan bertani, sehinggalah kepada bola dan bulu tangkis.

Kesemua kesalahan didakwa melanggar Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyebut pemberian dan tawaran wang atau balasan yang bernilai untuk mendorong pengundi adalah kesalahan rasuah.

Badan itu sekali gus menolak penjelasan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) yang dibuat oleh seorang anggotanya Datuk Abdul Aziz Khalidin semalam.

Aziz berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melihat sebarang masalah dalam pengumuman bantuan khas RM500 kepada 388,111 pekebun kecil getah seluruh negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Razak semasa kempen di Kuala Kangsar.

Begitu juga dengan parti dalam komponen lain seperti MCA dan Gerakan yang mengagihkan beras kepada pengundi serta pembangkang memberi penyokongnya sawi dilihat masih tidak melanggar peraturan.

“Itu perlu lihat daripada aspek kempen pilihan raya masing-masing. SPR menjalankan pilihan raya mengikut peraturan yang sedia ada.

“Terpulang kepada tafsiran ahli politik masing-masing. Kita tidak nampak apa-apa masalah pun setakat ini. Tak nampak apa-apa yang melanggar peraturan pun,” katanya ketika ditemui di Kuaters polis di Kuala Kangsar.

BERSIH berkata kenyataan itu dilihat mengesahkan pemberian habuan dan imbuhan serta memberi gambaran bahawa bahawa “undang-undang pilihan raya tidak memberikan apa-apa makna”.

“Sebagai seorang bekas Hakim dan peguam, beliau seharusnya lebih arif dalam mentafsir peraturan-peraturan pilihan raya,” kata BERSIH.

BERSIH juga menuntut penjelasan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohamad Hashim Abdullah mengenai segala dakwaan-dakwaan kesalahan itu.

“Jika SPR masih gagal untuk memahami akta-akta atau peraturan-peraturan pilihan raya yang telah dilakukan, adalah lebih baik mereka meletakkan jawatan kerana gagal bertindak mengikut lunas undang-undang untuk melaksanakan pilihan raya bersih,bebas dan adil,” katanya.