Friday, November 11, 2016

SPRM Tahan Pengarah GLC, Temui Aset Lebih RM10j

\

Benarkan beberapa projek kerajaan yang gagal disiapkan kontraktor dalam tempoh ditetapkan dapat dite­rus­kan selepas terima suapan?

Itu antara salah guna kuasa yang dipercayai dilakukan seorang pengurus besar sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) sehingga mampu hidup mewah luar biasa.

Menurut sumber, demi wang, pengurus besar itu juga diperca­yai sanggup memecat pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengannya.

“Bagaimanapun, salah laku le­laki itu berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil maklumat awam.
  
“Siasatan awal mendapati dia yang telah memegang jawatan berkenaan sejak beberapa tahun memang hidup mewah di luar kemampuan,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.


“Inilah bahaya apabila seseorang yang mengamalkan rasuah sehingga sanggup mengenepikan mereka yang berintegriti asalkan matlamat menghalalkan cara.

“Mereka yang berintegriti sudah tentu tidak akan berkompromi dengan pegawai sedemikian ru­pa,” katanya ketika dihubungi di sini.

SPRM memandang serius perkara seperti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat.

Berikutan itu SPRM meminta pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting untuk tidak menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.
 
Datuk Azam sahkan penahanan pengarah urusan GLC di Seremban.
Sementara itu mStar melaporkan dalam kes yang dilihatberkaitan, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan SPRM kerana salah guna kuasa dan rasuah.


Menurut sumber, pasukan siasatan SPRM menahan suspek berusia 56 tahun itu di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 9.35 pagi Khamis.

"SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga kenderaan iaitu dua kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya.

"SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah," kata sumber itu.

Suspek mempunyai tiga anak.

Suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2010 juga disyaki bertindak menamatkan perkhidmatan kira-kira 20 pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengan perbuatannya.

"Pegawai tersebut juga dipercayai telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan," kata sumber itu lagi.

Selain itu suspek turut memiliki sembilan rumah yang dipercayai dibeli secara tunai.

"Kesemua rumah itu dibeli di Putrajaya (3), pusat bandar Kuala Lumpur (1), Cyberjaya (1) dan Negeri Sembilan (4) bernilai lebih kurang RM 8 juta," katanya.

Difahamkan suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Penahanan pegawai kanan GLC itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Beliau tidak menolak beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat terhadap mereka yang memegang jawatan penting yang dipercayai menerima wang suapan dengan menyalahgunakan kuasa mereka.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dipercayai telah menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.

Semalam, ketika mengulas berhubung kes ini kepada media Azam berkata, ia merupakan satu perkara yang bahaya apabila seseorang yang mengamalkan rasuah sehingga sanggup mengenepikan mereka yang berintegriti asalkan matlamat menghalalkan cara.