Monday, May 18, 2009

KEJOR ANWAR YOB KEJOR!

Maulana Arrif malaysiaaktif.com (17 Mei 2009)

Bayangkan jika berlaku senario ini. Tarikhnya 16 September 2008. Latar belakangnya semua orang tahu. Pelakon utamanya Anwar Ibrahim.

Anwar memujuk sebilangan Ahli Parlimen BN supaya berpaling tadah dan menyertai pakatan pembangkang. Apabila cukup angka yang dikehendaki bagi membolehkan `pakatan Anwar' membentuk kerajaan persekutuan, maka dibentuklah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Andainya ia berlaku, apakah reaksi para pemimpin BN ketika itu? Pastilah mereka riuh rendah di seluruh negara. Anwar dan pakatannya akan dituduh merampas kuasa dengan cara tidak bermoral. Malah BN akan mencabar `pakatan Anwar' supaya membubarkan Parlimen dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa yang sebenarnya layak memimpin negara.

Tidakkah senario itu sama sahaja dengan apa yang berlaku di Perak sekarang?

Cuma perbezaannya BN yang berada di tempat `pakatan Anwar'. Malangnya ramai orang yang sudah buta mata dan buta hati walaupun pada hakikatnya mata mereka celik dan tidak sedikit pun mengalami kekaburan. Mereka percaya kepada temberang Anwar dan suku-sakatnya.

Anwar memang cekap memutarbelit fakta dan amat pakar dalam mengabui mata dan hati manusia. Maka ramailah anak Adam sama ada di Perak dan lain-lain negeri yang sudah kena silap mata. Bukan setakat kena silap mata, malah ada yang kena pukau sehingga kelihatan seperti orang yang kena rasuk.

Salah seorang ialah Nizar Jamaluddin yang sekarang cukup ligat menonjolkan dan menguar-uarkan dirinya sebagai `wira rakyat'. Dialah yang paling ke depan dan paling lantang bersuara menyerang dan memburuk-burukkan BN dari segenap sudut. Pada hal partinya Pas hanya menang 6 kerusi DUN Perak dalam pilihan raya umum lalu, berbanding UMNO yang menang 28 kerusi.

Bagi saya, Nizar sudah hilang malu. Dia merasakan dirinya sudah cukup hebat, walaupun sebenarnya dia hanya berdiri tegak di atas platform DAP, parti yang sejak lama dulu amat memusuhi dan mencurigai Pas. Hanya sekarang sahaja Pas dan DAP berbaik-baik setelah termakan kelentong Anwar.

Pada masa yang sama, ada desas-desus dalam Pas yang mahukan Nizar bertanding jawatan Naib Presiden parti itu. Akhirnya beliau pun dicalonkan untuk bertanding jawatan tersebut dalam Muktamar Pas pada awal Jun ini. Kenapa tidak calonkan Nizar ke jawatan Timbalan Presiden? Melihat gelagatnya sekarang dan tindak-tanduknya dalam isu Perak, beliau memang layak bertanding Timbalan Presiden. Lebih layak daripada Husam Musa yang juga rapat dengan Anwar, sama seperti Nizar.

Setelah menyimpang sedikit ke hal Nizar, mari kita kembali ke isu sebenar di Perak. Apa yang UMNO dan BN lakukan di Perak sebenarnya tidak salah dari segi moral, lunas demokrasi dan undang-undang. Anwar sendiri cuba melakukannya di peringkat pusat, tapi gagal. Jadi apa salahnya UMNO dan BN `menampar' muka Anwar dengan taktik yang sama di Perak.

Sayang seribu kali sayang, terlalu banyak manusia di Malaysia yang dipukau oleh Anwar dengan tutur kata manisnya.

Nasib baik sebilangan besar Ahli Parlimen BN yang dipujuknya dulu tidak makan suap.

Salah seorang ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman yang kelmarin mendedahkan bahawa Anwar telah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri jika beliau sanggup meninggalkan BN. Takdirnya Anwar berjaya mendapatkan angka yang dikehendakki, benarkah Anifah akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Di mana pula beliau mahu campakkan Lim Kit Siang dan pemimpin Pas? Atau jika Anwar jadi Perdana Menteri akan wujud tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sebenarnya, jika berlaku angan-angan Mat Jenin pada 16 September 2008, Anifah tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri sebagaimana yang Anwar janjikan padanya. Beliau akan memberikan pelbagai alasan yang molok-molok dan gula-gula (sebagaimana yang diberikan kepada Fairus `Penanti' agar meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang) supaya melupakan jawatan tersebut buat sementara waktu. Anifah pun tahu Anwar kaki temberang, sebab itulah beliau tidak makan bujukan Anwar.

Kesimpulannya...yang kesimpulannya, apa salahnya BN mengambilalih kuasa pemerintahan negeri Perak dengan cara yang sama yang telah Anwar lakukan tapi gagal di peringkat pusat? Anehnya Anwar adalah orang pertama yang mengutuk Najib Tun Razak dan UMNO. Apa jenis manusia bernama Anwar bin Ibrahim ini? Dia boleh buat apa yang dia mahu buat, tapi bila orang lain buat apa yang dia buat, dia tidak suka dan marah ke sana sini. Macam inikah orang yang mahu jadi Perdana Menteri?

Sayang seribu kali sayang...ya sayang seribu kali sayang...masih ramai rakyat di Malaysia ini terutama orang Melayu yang masih percayakan Anwar. Kepada mereka saya katakan bahawa jika Allah s.w.t mahukan Anwar jadi PM Malaysia, sudah lama beliau berada di jawatan tersebut.