Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (Bersara) Tan Sri Abdul
Aziz Zainal dikenakan perintah reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu
siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai RM15 juta.
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan
permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah
Majistret Putrajaya untuk menahan reman lelaki berusia 65 itu, sehingga 5
September.
Abdul Aziz dikatakan tampil memberi keterangan di ibu pejabat
SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 3
petang semalam.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata semalam akaun
bank Tan Sri itu mengandungi wang hampir RM1 juta telah dibekukan.
Tan Sri berkenaan adalah orang ketiga daripada bank itu
ditahan SPRM berhubung kes yang sama.
Sementara itu, empat lelaki termasuk pengarah urusan bank
yang sama bergelar Datuk, bekas pengarah perolehan bank dan dua pemilik
syarikat penerbitan yang tamat tempoh reman hari ini dibebaskan SPRM
setelah siasatan selesai, hari ini .
Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu dan
empat daripada mereka dibebaskan hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Media melaporkan, Khamis lalu, Pengarah Urusan bank itu,
Datuk Mustafha Abd Razak (kanan) ditahan dan dikenakan tahanan reman.
Azam semalam mengesahkan tindakan suruhanjaya itu terhadap kesemua mereka.
Azam semalam mengesahkan tindakan suruhanjaya itu terhadap kesemua mereka.
"Saya mengesahkan penahanan itu. Ia adalah untuk
memudahkan siasatan yang sedang berjalan , " katanya yang enggan mengulas
lanjut.
"Wang tunai hampir RM1 juta dalam akaun banknya telah dibekukan sementara menunggu siasatan. Kami ke pejabatnya untuk menahan beliau," katanya.
Sumber itu berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan untuk membekukan aset-aset lain yang dimiliki suspek berusia 65 tahun itu jika ia ada kaitan dengan kes.
Selain Abdul Aziz dan Mustafha, seorang lagi pegawai turut ditahan sebelum ini berhubung dakwaan rasuah melibatkan tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku mengenai tokoh pemimpin negara.