Wednesday, May 17, 2017

Rasuah Pusat Judi Haram, Rumah Urut - 3 Lagi Pegawai Polis Dicekup


Kegiatan mengutip wang rasuah dan perlindungan daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa negeri sudah diperkatakan sejak lama.

Malah ia bukan suatu perkara rahsia lagi. Malah antara punca masyarakat memandang serong kepada polis ialah gara-gara perbuatan ini.

Namun ia sukar dibuktikan, apalagi kegiatan ini sangat licik dilakukan oleh mereka yang terlibat.

Namun semalam, di Melaka tiga pegawai polis lelaki ditahan pada 10 pagi itu terdiri daripada dua berpangkat Asisten Superintendan dan seorang Inspektor kerana kegiatan mengutip wang rasuah..

Orang awam pula dipercayai merupakan orang tengah kepada ketiga-tiga pegawai polis tersebut untuk mengutip wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha  pusat judi haram dan rumah urut tersebut.

Manakala seorang lagi merupakan pengusaha pusat judi haram yang telah dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa bulan yang lalu.

Hari ini, dilaporkan tiga lagi pegawai kanan polis Melaka termasuk dua berpangkat ketua polis daerah, akan direman atas kesalahan rasuah.

Antara suspek yang ditahan adalah ketua polis daerah Melaka Tengah yang berpangkat Asisten Komisioner dan ketua polis daerah Jasin yang berpangkat Timbalan Supritenden.

Kedua-dua pegawai kanan polis itu ditahan di rumah masing-masing awal hari ini,

Seorang lagi anggota berpangkat inspektor, turut ditahan dalam operasi awal pagi yang sama.

Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke mahkamah di Putrajaya pada 2.30 petang ini untuk mendapatkan perintah reman.

Mereka dipercayai menerima suapan dan memberi perlindungan kepada sindiket perjudian dan rumah urut di negeri itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan tiga pegawai polis itu.

Tiga pegawai polis lelaki yang ditahan pada 10 pagi itu terdiri daripada dua berpangkat asisten superintendan dan seorang inspektor.

Ketiga-tiga mereka direman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, wang rasuah itu dibayar sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan-kegiatan haram yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha tersebut.

Menurut sumber, operasi yang dilancarkan itu adalah hasil daripada maklumat yang diperolehi SPRM daripada orang ramai berhubung paksaan oleh beberapa pegawai polis  untuk membayar wang rasuah.

SPRM dikatakan masih sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan itu termasuk pegawai-pegawai polis di Melaka.

Menurut sumber, SPRM turut menyiasat hubungan dua orang awam yang ditangkap dengan pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia.

Ini adalah kerana, jika terdapat pegawai polis yang enggan bersekongkol dengan aktiviti tersebut, mereka akan ditukarkan dengan serta-merta.

SPRM juga dikatakan sedang menyiasat seorang Ketua Polis Daerah di Negeri Melaka yang pernah ditukarkan sebelum ini kerana keengganannya bersekongkol dengan aktiviti-aktiviti tersebut ini.

Azam berkata kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti  Haram 2001.