Friday, September 30, 2016

Pengarah JKR Melaka Didakwa Kes Rasuah Pengubahan Wang Haram

Datuk Khalid Omar (tengah) diiringi pegawai SPRM di pekarangan Mahkamah Sesyen Melaka semalam.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen di Melaka  semalam atas 16 pertuduhan menerima suapan  dan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.28 juta.

Tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam itu didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1,088,332.08 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). 

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram itu atau mana yang lebih tinggi. 

Bagi pertuduhan empat hingga 16, Khalid didakwa menerima suapan sebanyak RM196,200 sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.


Mahkamah membenarkan Khalid diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.  

Kes itu disebut semula pada 4 November depan.

Di KUALA LUMPUR, kelmarin, seorang bekas pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dihukum penjara tiga tahun dan denda RM9.25 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kelmarin  atas tujuh pertuduhan meminta dan memperoleh suapan bagi projek kemasyarakatan kerajaan melibatkan RM18.6 juta.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Samsudin, 41, yang bertugas sebagai penolong pegawai di unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian berkenaan ketika kejadian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Walau bagaimanapun mah­kamah membenarkan permohonan Hazmi yang diwakili peguam, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dibenarkan dengan syarat jumlah jaminan terhadap Hazmi dinaikkan daripada RM70,000 kepada RM80,000.

Allaudeen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah­nya 21 tahun dan denda berjumlah RM9,248,554 bagi kesemua pertuduhan atau penjara empat tahun enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Dia hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas mahkamah memerintahkan ke­semua hukuman penjara tersebut berjalan serentak.

Hazmi hanya menundukkan kepala sewaktu di kandang tertuduh selepas mendengar keputusan itu manakala ibu dan bapanya yang hadir ke mahkamah kelmarin dilihat mengalirkan air mata.

Bagi pertuduhan pertama, Hazmi didakwa meminta suapan bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek bernilai RM18 juta daripada empat individu Zainal Arifin Lahuri, Zamzuri Abdullah, Fadzil Anuar Ahmad dan Mohd. Khairil Isma Abdullah Bacha.

Dia didakwa melakukan kesa­lahan itu di No. 1, Jalan PH 2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor, pada hujung tahun 2010.

Menurut pertuduhan kedua hingga ketujuh, Hazmi didakwa memperoleh rasuah 10 peratus bagi setiap enam projek kerajaan di Manjung, Perak termasuk menaik taraf dan membaik pulih dewan yang keseluruhannya bernilai RM596,628 melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang individu bernama Zainal Arifin.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Dato Onn, di sini antara Mei dan Jun 2011.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib.

Utusan Online

Wednesday, September 28, 2016

Tiada Tindakan Terhadap Penjenayah Menembak Jatuh MH17?


Laporan siasatan kejadian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014,  akan diumumkan petang ini (waktu Malaysia) di Belanda..

Namun, dijangka tiada dakwaan dikemukakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tragedi itu. Ini ekoran kekangan politik dan perundangan.

Pasukan penyiasat yang melibatkan dengan siasatan itu termasuk pendakwa raya dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

Di Berlin semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan,  Malaysia komited untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 ke muka pengadilan dan hanya itu sahaja caranya.


"Kami adalah sebahagian daripada pasukan siasatan bersama antarabangsa dan kami telahpun menyatakan komitmen bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 akan dibawa ke muka pengadilan. Itu sememangnya merupakan pendirian kami," katanya.

Justeru, Malaysia terlebih dahulu akan menunggu laporan berkaitan insiden itu yang akan dibentang hari ini oleh Pasukan Siasatan Bersama yang diketuai Belanda dan seterusnya negara-negara terlibat akan membincangkan langkah berikutnya.

Laporan akan mendedahkan senjata yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 dan lokasi sebenar senjata berkenaan ditempatkan ketika hari kejadian.

Sebelum ini, pendakwa raya dari Belanda, Fred Westerbeke berkata, pihaknya memiliki senarai panjang individu yang berkait rapat dengan kes itu dan telah menjalankan analisis terhadap serpihan pesawat serta senjata yang ditemukan di lokasi tragedi.

Malah kumpulan penyiasat itu membayangkan untuk mengemukakan jenis dakwaan, sebagai contoh jenayah kecuaian, tetapi masalah perundangan mungkin menjadi halangan.

Apakah kita akan hanya diberitahu siapa, kenapa dan bagaimana kejadian terlibat tetapi tindakan sewajarnya tidak dapat diambil kerana sebab-sebab tertentu?

Apakah masyarakat antarabangsa, khususnya keluarga mangsa dan syarikat penerbangan terbabit akan berpuas hati?


Ahli keluarga dan waris mangsa tragedi MH17 sudah meminta bantuan Kesatuan Eropah (EU) bagi menggesa Rusia, Ukraine dan Amerika Syarikat) untuk menyerahkan semua maklumat risikan dan radar kepada pasukan penyiasat.

Menurut laporan portal Voice of America, satu pasukan penyiasat antarabangsa sedia memfailkan dakwaan jenayah terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut tetapi waris mangsa bimbang proses siasatan tersebut terjejas akibat kurang kerjasama antara ketiga-tiga negara terbabit.

Rayuan itu dikemukakan oleh waris mangsa menerusi sepucuk surat kepada Diplomat Tertinggi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan EU, Federica Mogherini, baru-baru ini.

Najib berkata semalam, terdapat beberapa pilihan yang ada tetapi berdasarkan laporan dan dapatan dalam laporan itu, Malaysia akan membincangkan tindakan berikutnya. “Kami tetap komited untuk mencari keadilan atau lebih tepat, membawa mereka ke muka pengadilan," katanya dalam sidang akhbar bersama dengan Canselor Jerman Angela Merkel.


MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Tahun lepas, Pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine.

Laporan itu diumumkan selepas siasatan selama 15 bulan yang dijalankan oleh pasukan siasatan bersama dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.

Laporan dari Amsterdam menyebut, pasukan penyiasat antarabangsa berhubung kejadian pesawat MAS itu akan menyiarkan laporan kes itu pukul 11 pagi waktu tempatan (7 petang waktu Malaysia) hari ini.

laporan itu menyebut bagaimanapun dijangka tiada dakwaan dikemukakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tragedi itu ekoran kekangan politik dan perundangan.

Pada 2015, Belanda mencadangkan tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengendalikan kes itu tetapi Rusia menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi membatalkan usul tersebut.

Ukraine dan kerajaan barat menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia atas kejadian tersebut, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari kepada Kiev yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, kebanyakannya rakyat Belanda.

Nahas terbabit berlaku di kawasan konflik antara tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-Rusia, menyebabkan dua pihak bertelagah itu saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian itu.


Wednesday, September 21, 2016

SPRM Kenal Pasti 67 Kereta Klon Didaftarkan, 17 Sudah DiRampas


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam berjaya mengesan 67 kereta dipercayai diklon ekoran penahanan empat suspek termasuk seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Alor Setar semalam.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (gambar kiri) berkata, setakat ini pihaknya merampas 17 kenderaan berkenaan sementara baki 46 lagi sedang dikesan termasuk empat lagi dalam siasatan.

Berikutan itu, SPRM menggesa agar pemilik kenderaan berkenaan segera menyerahkan kenderaan itu dalam tempoh seminggu sebelum notis dihantar atau mereka berdepan dengan tindakan undang-undang.

SPRM sudah mengenalpasti pemilik kereta berkenaan dan akan mengesan mereka.

Bercakap pada sidang media di Alor Setar semalam, Ahmad Khusairi berkata ekoran penahanan membabitkan kakitangan JPJ itu pihaknya turut mengenalpasti modus operandi sindiket kereta klon itu.

“Ini adalah modus operandi baharu apabila kereta berkenaan didaftarkan dengan mengunakan dokumen palsu oleh suspek,” katanya.

Utusan Malaysia melaporkan semalam (20 September 2016), kegiatan licik seorang wa­nita yang mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan sistem pendaftaran dokumen JPJ terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas SPRM.

Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi.


Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari Singa­pura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim.

Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 ken­deraan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.

Suspek dikatakan meneri­ma komisen RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap kenderaan yang dijual.

Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang berkenaan.

Lelaki itu yang merupakan peniaga dalam talian berperanan sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan ken­deraan kepada pasangan suami isteri terbabit.

Suspek kini ditahan di pejabat SPRM Pahang.

SPRM juga akan memeriksa kediaman suspek ketiga yang terletak di Selangor untuk mendapatkan bahan bukti.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, ekoran penahanan ketiga-tiga suspek tersebut, beberapa individu lain akan ditangkap bagi melumpuhkan sindiket kereta klon yang aktif beroperasi di nege­ri ini.

SPRM masih menyiasat peranan mereka dalam sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan me­reka sejak tujuh bulan lalu itu.

“Wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala suaminya dan seorang lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) akta sama. Ketiga-tiga mereka akan direman esok pagi di Kedah dan Pahang,” ujarnya.

Tambah sumber, setakat ini sudah lebih 20 buah kenderaan mewah antaranya Mini Cooper, Toyota Wish, Toyota Vellfire dan Toyota Estima yang dipercayai dijual sindiket berkenaan berjaya dirampas dari seluruh Semenanjung menerusi Op Piang.

Akhbar hari ini melapor­kan, seorang kakitangan agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan bersekongkol dengan sindiket kereta klon bagi mendapat keuntungan berganda.


Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).


Hasil perbuatannya yang me­nyalahgunakan sistem pendafta­ran kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja menyebabkan pembeli yang membuat pinjaman rugi se­lepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.

Bekas Pengurus Besar, Pemilik Syarikat Didakwa Pecah Amanah RM9 Juta

Juaari Majid (dua, kiri) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu. Hakim Abu Bakar Abd Manat menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin.
Bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) dan pemilik sebuah syarikat kelapa sawit masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu. semalam atas kesalahan pecah amanah (CBT) dan bersubahat melakukan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM8,999,999.30.

Bekas Pengurus Besar SLDB George@Juaari Majid, 63, dituduh meluluskan wang sejumlah itu melalui empat transaksi kepada seorang pemilik syarikat kelapa sawit, How Kim San, 55, tanpa pengetahuan dan kelulusan Anggota Lembaga Pengarah SLDB serta Menteri Kewangan Sabah.

George mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

How juga mengaku tidak bersalah selepas dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana bersubahat bersama George melakukan kesalahan pecah amanah itu.

Bagi pertuduhan itu, How berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, George didakwa membuat bayaran kepada How sebanyak RM8,999,999.30 sebagai bayaran pampasan terhadap tanah dan tanaman di Kampung Babason, Sook, Keningau, Sabah sedangkan tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) merupakan milik Kerajaan Negeri Sabah.

How pula dituduh bersubahat menerima bayaran pampasan terhadap tanah berkenaan daripada George sedangkan George menyedari bahawa tanah seluas 165.921 hektar (410 ekar) tersebut merupakan milik kerajaan Negeri Sabah.

George dan How didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Sabah Land Development Board di antara 22 Mac 2013 hingga 14 Ogos 2013.

Hakim Abu Bakar menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin bagi George dan How serta mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 27 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.

Pendakwaan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala George dan How masing-masing diwakili peguam Erwina Ansari dan Sugumar Balakrishnan.

Kelmarin, Bernama melaporkan SPRM akan menahan semula seorang bekas pengurus besar sebuah agensi kerajaan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM9 juta.

Menurut sumber, ia susulan daripada siasatan sebelum ini yang mana suspek pernah disiasat selepas SPRM menerima maklumat daripada orang awam pada 2014.

Laporan itu menyebut, SPRM mendapati wujudnya unsur rasuah yang menjurus kepada pengubahan wang haram melibatkan lebih kurang RM9 juta setelah menjalankan siasatan secara berterusan dan terperinci.

Berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai meluluskan pembayaran tersebut kepada sebuah syarikat kelapa sawit kononnya sebagai pampasan selepas kerajaan negeri meluluskan tanah tersebut kepada sebuah agensi kerajaan untuk tujuan pembangunan komersial.

Menurut sumber, selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tanah tersebut kepada agensi kerajaan berkenaan, pemilik syarikat berkenaan mengemukakan permohonan pampasan bernilai RM9 juta merangkumi kos tanaman sawit dan nilai tanah yang dimiliki kerajaan negeri Sabah daripada bekas pengurus itu, sedangkan tanah ladang kelapa sawit milik kerajaan itu diusahakan tanpa kelulusan.

SPRM akan turut menahan pemilik syarikat kelapa sawit tersebut atas kesalahan bersubahat dengan bekas pengurus terbabit untuk membuat tuntutan palsu.


Saturday, September 10, 2016

Mantapkan Sistem, Prosedur - SPRM, DBKL Tubuh Pasukan Petugas Khas


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi meneliti secara khusus isu kelemahan sistem dan prosedur bagi tujuan penambahbaikan dalam usaha memantapkan proses kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu ditubuhkan bagi menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam pelaksanaan projek-projek di DBKL dengan meneliti punca-punca kelemahan yang wujud dan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasinya.

Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki itu turut dianggotai pegawai-pegawai daripada Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Bahagian Siasatan SPRM dan Jabatan Integriti DBKL.
     
"Pembentukan pasukan tersebut merupakan satu usahasama yang diambil selepas beberapa pegawai kerajaan disiasat baru-baru ini atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Sebagai permulaan, pasukan ini telah mengenal pasti lima isu berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja yang melibatkan lima jabatan di DBKL," jelas kenyataan itu.

Antara isu yang dikenal pasti ialah pengurusan projek perumahan penswastaan, garis panduan pembelian hartanah oleh pegawai dan kakitangan, pemilikan dan pengisytiharan harta, pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta pemantauan pembangunan tanah di ibu negara.

Menurut kenyataan itu, pasukan berkenaan bertanggungjawab merangka beberapa cadangan kepada pihak DBKL untuk mengukuhkan lagi tatacara kerja pegawai dan kakitangan serta sistem dan prosedur organisasi tersebut.

SPRM berharap kerjasama antara dua pihak itu akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam sektor awam.


Semalam, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali didakwa di Mahkamah Sesyen  atas sembilan pertuduhan rasuah dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM4.4 juta.  

Bagaimanapun, Syed Afendy Ali, 54, yang memakai sut lengkap, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 18 pertuduhan itu di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu Timbalan Pengarah Jabatan Kewangan (Ketua Bahagian Pembangunan dan Penswastaan) DBKL, didakwa secara rasuah memperoleh suapan seorang individu, Rodziah Abd Samad, 54, iaitu satu unit lot kedai tiga tingkat di alamat 11, 11-1 & 11-2, Pusat Perdagangan Danau Lumayan, Jalan Danau Lumayan, Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu mengesahkan semakan tuntutan bayaran kemajuan oleh syarikat Danau Lumayan berkaitan projek usaha sama dengan DBKL.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Bahagian (Pembangunan dan Penswastaan) Jabatan Kewangan DBKL, di Kuala Lumpur, pada 2 Mac 2009 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan, Syed Afendy Ali, yang ketika itu seorang Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menerima benda berharga empat individu dengan tiada balasan iaitu lapan unit kondominium di Suasana Lumayan Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak, yang masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan. 


Lapan kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh dalam meluluskan tuntutan bayaran kemajuan oleh syarikat Danau Lumayan berkaitan projek usaha sama dengan DBKL.





Tertuduh dituduh melakukan lapan kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPPDBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 Sept 2013 dan 16 okt 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda ataukedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua sembilan pertuduhan rasuah itu berjumlah RM2.9juta.

Syed Afendy Ali turut menghadapi sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 (Akta 613) melibatkan RM1.5 juta.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa menerima wang berjumlah RM1,650,000 melalui enam keping cek yang dimasukkan ke dalam akaun milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor dan akaun miliknya bersama Rodziah iaitu hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Taman Mutiara Cheras dan Maybank Cawangan Raja Laut, di sini di antara 27 Mac 2012 dan 6 Dis 2012.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Syed Afendy Ali didakwa menggunakan wang sebanyak RM582,500 melalui tiga keping cek milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor yang merupakan hasil daripada aktiviti haram bagi tujuan pembayaran pembelian tiga unit kondominium Astana Lumayan, Bandar Sri Permasisuri di CIMB Bank Berhad, Taman Mutiara Cheras di sini pada 14 Mac 2013.

Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, dia didakwa menggunakan wang sebanyak RM767,500 melalui tiga keping cek milik Tetuan Wong-Choi & Mohd Nor iaitu hasil aktiviti haram bagi tujuan pembayaran komisyen kepada Goh Wai Shim, pembelian lot kedai dan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia ditempat sama di antara 4 Feb dan 14 Mac 2013.

Bagi sembilan pertuduhan itu, Syed Afendy Ali dituduh mengikut Seksyen4(1)(a) AMLATFA 2001 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar menawarkan wang jaminan RM1.5 juta bagi pertuduhan rasuah dan RM500,000 bagi AMLATFA dengan seorang penjamin.

Peguam M. Athimulan yang mewakili Syed Afendy Ali merayu supaya jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan tertuduh tidak mampu mengumpul wang jaminan itu kerana akaun tertuduh dan keluarganya telah dibekukan selain sentiasa memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Allaudeen membenarkan Syed Afendy Ali diikat jamin RM1 juta bagi kesemua pertuduhan itu dengan seorang penjamin serta memerintahnya menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.


Bagaimanapun, Syed Afendy Ali kemudian merayu kepada Allaudeen supaya wang jaminan itu dikurangkan lagi kerana RM1 juta adalah terlalu besar buatnya.

"Saya bertugas sebagai penjawat awam selama 30 tahun, saya tidak mungkin melarikan diri. Saya pun tiada apa lagi, geran tanah pun tiada, saya anak tunggal...sejak ditangkap, saya turut kehilangan rakan-rakan terdekat.

"Dua anak saya masih belajar, seorang akan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia dan seorang lagi pelajar tahun pertama di sebuah universiti tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) namun, tajaan itu pun dibekukan," katanya.

Selepas mempertimbang rayuan tertuduh, Allaudeen menjelaskan bahawa kesalahannya merupakan jenayah serius melibatkan kepentingan awam yang tidak boleh diikat jamin.

Beliau mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta itu tetapi mengarahkan Syed Affendy Ali membayar RM400,000 hari ini manakala selebihnya perlu dijelaskan sebelum Rabu depan (14 Sept) dan menetapkan 13 Oktober untuk sebutan semula kes.

Friday, September 9, 2016

‘Datuk Seri DBKL’ Didakwa 18 Pertuduhan Rasuah RM2.9 Juta


Seorang pengarah eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 18 pertuduhan kerana menerima rasuah dan aset berjumlah RM2.9 juta.

Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Kanun Keseksaan.

Syed Afendy mengaku tidak bersalah atas 18 tuduhan rasuah itu.  Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Syed Afendy, 54, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana pertuduhan rasuah membabitkan RM2.9 juta dan pengubahan wang haram.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM, Syed Afendy dituduh menerima rasuah untuk isterinya dalam bentuk rumah kedai bernilai lebih RM900,000.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Syed Afendy juga didakwa dengan 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana mengambil aset bernilai dalam bentuk 8 unit kondominium.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun atau denda.

Syed Afendy, yang diwakili peguam M Athimulan, tiba di mahkamah ditemani isterinya yang berbaju kurung dan tudung berwarna biru.

Ahmad Akram Gharib dan Aida Adhha mengendalikan pendakwaan bagi pihak SPRM.

Hakim menetapkan perbicaraan bermula Januari tahun depan dan pihak pendakwaan akan memanggil 25 saksi.

Syed Afendy, kini boleh disahkan sebagai “Datuk Seri” yang ditahan SPRM pada 16 Ogos bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Dilaporkan, beliau kemudian digantung daripada tugas sehingga siasatan agensi pencegahan rasuah itu selesai.

Syed Afendy mengambil alih jawatan pengarah eksekutif tahun ini, menggantikan Datuk Tan Keng Chok yang bersara.

Beliau berpengalaman dalam bidang akaun dan kewangan.


Sumber - mStar & FMT

Tujuh Kakitangan, Seorang Bekas Pegawai Bank Rakyat Ditahan Di Sabah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kakitangan Bank Rakyat dan seorang bekas pekerja bank itu kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen pinjaman bank.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, tujuh suspek yang bertugas di Bank Rakyat cawangan Likas dan Kota Kinabalu itu ditahan di beberapa lokasi manakala seorang lagi ditangkap di kediamannya pada Selasa dan Rabu lalu.

Tiga suspek lelaki berusia antara 25 dan 27 tahun ditahan antara jam 10.35 malam dan 10.47 malam, di Starbucks, 1Borneo Hypermall di Kota Kinabalu,  Selasa lepas.

Katanya, penahanan tiga individu berkenaan dibuat selepas SPRM menerima laporan daripada pengadu, seorang penjawat awam berusia 33 tahun, pada 2 September lepas bahawa dua pegawai bank berkenaan meminta RM7,000 untuk memudahkan permohonan pinjamannya.

Susulan penahanan itu, katanya, pihaknya menyerbu cawangan bank berkenaan di sini dan di Likas dan rumah seorang kakitangan bank di Kota Kinabalu.


"Hasil serbuan, sejumlah barang telah disita seperti sebuah komputer riba, sebuah komputer peribadi, enam buah telefon bimbit, sejumlah cap getah yang disyaki palsu dan dokumen-dokumen pinjaman peribadi di bank (berkenaan)," katanya dalam kenyataan ,malam semalam.

Menurut Shaharom Nizam, serbuan ke tiga premis serta rampasan pelbagai barangan berkenaan membawa kepada penahanan lima lagi pegawai bank itu yang berumur antara 26 hingga 29 tahun, semalam.

Katanya kelima-lima lelaki berkenaan ditahan antara jam 7.47 malam hingga jam 11.35 malam di pejabat SPRM Sabah.

Katanya tiga individu yang ditahan Selasa lepas telah ditahan reman selama enam hari bermula semalam manakala lima lagi suspek yang ditahan semalam telah ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.

"Dimaklumkan bahawa hasil risikan selama beberapa minggu melalui Op Money oleh SPRM Sabah, tiga tangkapan dibuat terhadap tiga individu yang merupakan pekerja serta bekas kakitangan Bank Rakyat.

"Susulan itu, lima lagi kakitangan Bank Rakyat ditangkap kerana dipercayai menerima suapan selepas pinjaman diluluskan dan memalsukan dokumen," katakenyataan itu.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Seleweng RM15 Juta - Pengarah Syarikat Buku Bebas Daripada Reman

Azam Baki...ada lagi individu akan didakwa.
Mahkamah Majistret di Putrajaya semalam  membebaskan seorang pengarah urusan syarikat penerbitan daripada tahanan reman berhubung siasatan penyelewengan dana bernilai hampir RM15 juta membabitkan projek penerbitan buku.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 40 tahun itu dibebaskan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengemukakan permohonan melanjutkan reman.

Menurut jurucakap SPRM, pengarah urusan syarikat berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan perintah reman ke atas lelaki itu bagi tempoh tujuh hari bermula 28 Ogos lepas dan disambung lima hari lagi sehingga semalam.

Kelmarin, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan me­lakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran berjumlah hampir RM15 juta, Mac lalu.

Pengerusi bank tersebut, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, 65, turut membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Mustafha, 48, untuk me­lakukan pecah amanah terhadap harta yang sama.

Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda sementara Abdul Aziz menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 109 akta sama dibaca dengan Seksyen 409 akta tersebut yang membawa hukuman serupa.

Hakim Madihah Harullah mem­benarkan setiap tertuduh diikat jamin RM400,000 de­ngan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 Oktober ini bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Pendakwaan SPRM, Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwa Raya agensi tersebut, Anas Mahadzir.

Mustafha diwakili peguam, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Abdul Aziz yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16 diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Masri mencadangkan ikat jamin RM2 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin kerana kes itu membabitkan kesalahan serius dan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap penyera­han pasport, Kamarul Hisham ba­gai­ma­napun membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana disifatkan sebagai keterlaluan.

“Anak guam saya tidak mampu untuk mengemukakan wang ikat jamin sebegitu tinggi meman­dang­kan kesemua akaun simpanannya di ASB (Amanah Saham Bumiputera), ASN (Amanah Saham Nasional), Bank Rakyat dan CIMB telah dibekukan, malah akaun milik isterinya di Bank Rakyat juga telah dibekukan.
 
“Tertuduh telah menerima pelbagai anugerah atas pencapaiannya sepanjang kerjayanya dan ini me­nunjukkan anak guam saya adalah seorang yang sangat profesional, mempunyai latar belakang yang baik dan tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri,” katanya.

Atas tujuan sama, Muhammad Shafee turut menyenaraikan pelbagai penghargaan dan peng­anugerahan yang diterima oleh Abdul Aziz (kanan)sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Darat selain menyatakan bahawa jawatan anak guamnya sebagai Pengerusi Bank Rakyat telah digantung sejak ditahan untuk siasatan sehingga kini.

Membalas hujah tersebut, Masri menyatakan, latar belakang yang baik, pelbagai penganugerahan dan penghargaan yang dite­ri­ma tidak boleh dijadikan asas untuk mengenakan kadar jamin yang rendah atau dijadikan jaminan bahawa kedua-dua tertuduh tidak akan melarikan diri atau akan terus hadir pada setiap kali kes dibicarakan.

Sebaik sahaja mahkamah menetapkan jumlah jaminan itu, Muhammad Shafee bangkit sekali lagi dan memohon mahkamah merekodkan bahawa pada sesi soal jawab oleh tiga pegawai SPRM dengan dua daripadanya dikenali dengan nama Azrul dan Buya, anak guamnya telah ‘dipujuk’ untuk memberikan ketera­ngan yang tidak wajar.

Peguam itu juga secara tiba-tiba memohon agar Abdul Aziz diberikan pelepasan sehingga pukul 3 petang semalam  untuk membuat bayaran wang jaminan menyebabkan Masri membantah keras permohonan ad hoc tersebut dan menyatakan bekas Duta Malaysia ke Perancis itu perlu ditahan sehingga wang ikat jamin dilunaskan.

Madihah bagaimanapun membenarkan penangguhan pembayaran jaminan bagi Abdul Aziz tetapi memerintahkan agar segala urusan jamin diselesaikan sebelum pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, SPRM tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan didakwa berhubung kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata kesemua butiran pihak yang terlibat telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada lagi pihak yang akan dituduh dalam tempoh terdekat tetapi saya tidak boleh mendedahkan butiran mengenai bila dan siapa individu terbabit," katanya semalam.

Azam berkata individu yang akan dikenakan tuduhan itu bergantung kepada pertimbangan timbalan pendakwa raya.

Beliau berkata pihaknya telah mengumpulkan bukti-bukti sedia ada dan hanya menunggu keputusan dibuat oleh timbalan pendakwa raya.


Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak bagi membantu siasatan kes itu, manakala Pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan pada 29 Ogos, ketika tampil memberi keterangan di pejabat SPRM.