Monday, October 27, 2008

PENAGIH DADAH - CABARAN UNTUK KERAJAAN PKR

Kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat – Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak dan Kelantan pastinya menghadapi cabaran dalam menangani isu penagih dadah.

Ini kerana penagih baru di negeri-negeri berkenaan turut bertambah. Bolehkah mereka menggendalikannya?

Dan jika sukar, apakah mereka akan menuding kerajaan Pusat atau kerana mewarisinya daripada Kerajaan Barisan Nasional?

Ujian menggendalikan penagih dadah ini suatu cabaran hebat, namun sejauh ini Kelantan umpamanya, tetap gagal menyekat gejala ini.
Biarpun Kelantan dikatakan ‘kuat Islamnya’ namun pengaruh dadah terhadap belia dan golongan muda sukar ditahan.

Ramai berharap akan ada formula tertentu dari Kelantan untuk dijadikan rujukan kerana dengan dasar Islam dalam pemerintahan kerajaan selain Kota Bharu adalah ‘bandaraya Islam’ diharapkan masalah ini dapat dibendung.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor juga berdepan dengan isu ini pada ketika sebelum ini ketika menjadi pembangkang – Pas, DAP dan Keadilan – sering menuding jari mengatakan dasar dan cara mengatasi masalah ini oleh kerajaan BN lemah.

Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Arzmi Abdullah semalam berkata bilangan penagih paling ramai ialah di Pulau Pinang seramai 3,433 orang diikuti Johor (2,329) Kuala Lumpur (1,756), Kedah (1,604) dan Selangor (1,409).
Perak pula mencatat bilangan penagih seramai 1,194 orang dan Kelantan (884)
Sementara di negeri lain seperti berikut: Negeri Sembilan (826), Pahang (378), Melaka (313), Sabah (217), Sarawak (184), Perlis (147), Putrajaya (7) dan Labuan (6).

Terengganu mencatat bilangan penagih dadah yang kedua terendah selepas Labuan dengan 127 orang daripada keseluruhan 14,489 penagih yang dikesan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, penurunan bilangan penagih ini adalah kerana pelbagai kaedah digunakan dan juga kempen-kempen giat dijalankan.

Bilangan penagih dadah di Terengganu menurun sepanjang Januari lalu hasil penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.

"Jika tahun lalu, bilangan penagih dadah yang dikesan di negeri itu adalah yang tinggi, namun pada Januari lalu, bilangan penagih dikesan di sini telah menurun," katanya.
Katanya, seramai 1,717 penagih dikesan di seluruh negara sepanjang Januari lalu dengan Pulau Pinang kekal mencatatkan bilangan penagih tertinggi iaitu 350 orang, Selangor (221), Kuala Lumpur (217) dan Johor (203).

Tambahnya, ia diikuti Kedah seramai 150 orang, Perak (115), Kelantan (115) dan Pahang (110), Negeri Sembilan (84) Melaka (54), Sabah (45),Sarawak (10), Perlis (8) dan Labuan (5).
Yang penting di sini ialah walaupun negeri-negeri seperti Terengganu dan beberapa yang lain mencatatkan angka yang tidak tinggi namun AADK akan terus menggiatkan kempen-kempen pencegahan dadah di semua peringkat.

AADK juga turut menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan pihak swasta bagi melaksanakan program serta bengkel kesedaran membasmi penyalahgunaan dadah.
Usaha untuk mengurangkan jumlah penagih baru juga akan dijalankan menerusi langkah pencegahan serta pendidikan, terutamanya di peringkat sekolah.