Wednesday, November 25, 2015

ADUN DAP Sokong Usul UMNO Letak Jawatan Dalam Parti…

Daripada LawiAyam

Kontroversi dalam politik Pulau Pinang belum berkesudahan.
Hari ini parti pemerintah negeri itu, DAP dikejutkan dengan perletakan jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu.

Letak jawatan secara sukarela atau dipaksa?

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan ADUN mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.
Dia berbuat demikian  selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Teh sebelum ini memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media selepas persidangan DUN.

Dalam surat peletakan jawatannya, Teh  memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul UMNO tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 ADUN daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 ADUN  tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka.

Semalam Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Pulau Pinang membenarkan ADUN memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu berkuatkuasa 23 November.

Semalam, Lim berkata lima ADUN PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat BN dalam isu tebus guna tanah pada persidangan DUN Jumaat lepas tetap kekal sebagai ADUN kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau berkata walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terjejasnya keyakinan kerajaan negeri terhadap lima ADUN berkenaan dan seorang wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu yang menyokong usul itu, namun tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan di kawasan masing-masing.

"Kerajaan negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Lim semalam ketika mengulas usul Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, semasa persidangan itu, menegaskan  perkara itu memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang kerajaan persekutuan.

"Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini," katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata tindakan menyokong atau mengambil sikap berkecuali terhadap usul yang dibentangkan itu akan menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang boleh membawa kepada bankrap.

"Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan kerajaan negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya?," katanya.