Tuesday, November 4, 2008

ABDULLAH TIDAK WAJAR TANGGUH PEMBELIAN EC725

Di mana rasionalnya kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar, sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia?

Yang nyata menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam merumuskan bahawa pihaknya mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009.

Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Jelas bahawa penangguhannya tidak wajar dan dengan memberikan alasan berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia untuk menangguhkan pembeliannya sebagai alasan tidak kena pada tempatnya.

Ini bermakna bahawa pembelian ini adalah bagi tujuan operasi TUDM dan sesuatu yang ada kaitan dengan soal keselamatan negara.

Apakah kita mahu memperjudikan keselamatan negara dengan bersandarkan alasan untuk berjimat cermat?

Benarlah kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 21 Oktober lalu bahawa kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan.

''Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

''Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima).

Malah, dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, beliau menegaskan: "Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.”

Kenyataan Najib pada 19 September di Pekan mengatakan, kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ternyata peringatan Najib itu mendapat perhatian PAC dan semalam badan itu mengatakan tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter
Menurut PAC penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Azmi menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

No comments: