Tuesday, May 11, 2010

WAHAI ORANG CINA, APA LAGI YANG KORANG MAHU?


Oleh Zaini Hassan



SUDAH banyak kali saya menulis mengenai sikap sahabat kita, orang Cina Malays terhadap kerajaan yang ada sekarang. Saya juga sering mengaitkan cita-cita DAP yang mahu ‘pulun’ semua sekali pengaruh Cina di negara ini.

Seperti mana yang saya tulis sebelum ini, DAP sejak akhir-akhir ini sungguh senyap dalam pergerakannya. Di Selangor pun ia senyap, di Pulau Pinang pun ia mulai senyap, di Perak pun begitu. Senyap-senyap DAP sebenarnya diam-diam berisi.

Gerakan halus mereka bergerak kencang. Harus diingat arus bawah lebih bahaya berbanding ombak di atas. Tapi apakah BN sedar dengan strategi DAP itu. Jika kira-kira 30 tahun dulu, malah 20 tahun dulu, orang Melayu generasi saya amat cuak dengan DAP atas sikap cauvinisnya, kini generasi Melayu sekarang tidak tahu itu semua. Mereka sudah tidak peduli.

Mereka tidak membaca pun buku 13 Mei yang ditulis oleh Tunku Abdul Rahman dan mereka tidak pernah tahu pun wujudnya perarakan penyapu oleh DAP yang mahu menyapu orang Melayu pada masa itu.

Bukan tujuan saya mahu membangkitkan rasa benci kepada parti itu atau kepada sesiapa, tapi ia adalah sejarah yang semua orang anak-anak Melayu, Cina, India, Orang Asli malah sesiapa sahaja harus dan berhak tahu mengenainya.

Saya pernah menyarankan supaya buku 13 Mei itu dijadikan teks di sekolah.

Matapelajaran sejarah yang sesetengah daripada orang Melayu sendiri amat membencinya, harus diperkuatkan semula. Aspek kenegaraan, soal-soal realiti kemalaysiaan harus diterapkan.

Masukkan juga satu subjek mengenai konsep 1Malaysia yang sudah mulai disukai ramai itu. Sejarah silam dan aspek kontemporari harus disatukan menjadi satu subjek wajib, yang harus diikuti oleh semua pelajar, bukan sahaja pelajar Sastera, malah juga pelajar Sains.

Tujuan saya membangkitkan semula perkara ini bukanlah bermakna saya ini ultra-Melayu, tetapi untuk menyatakan mengenai realiti politik yang berlaku di sekeliling kita sekarang.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor amat unik. Dalam sains politik, ia amat menarik untuk dikaji bagaimana orang Cina (bukan semua, tapi rata-rata) masih tidak mahu kembali kepada parti kerajaan.

Apa lagi yang mereka mahu? Apakah mereka masih merasakan merekalah penentu kepada sesuatu keputusan pilihan raya di negara ini?

Perlulah diingat pilihan raya umum 2008 bukanlah satu ujian sebenar bagi proses demokrasi di negara ini. Ia terlalu artifial. Tsunami yang berlaku adalah akibat kemarahan rakyat kepada kerajaan ketika itu dan kecelaruan fikiran orang Melayu ketika itu.

Akibatnya, DAP telah berjaya mencuri peluang itu. Orang Cina ramai-ramai memihak kepada mereka dan berlakulah tsunami politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Tapi jika diambil Hulu Selangor sebagai model pilihan raya umum ke-13 kelak, orang Cina bukanlah (lagi) penentu kepada keputusannya. Orang Melayu masih lagi menjadi faktor mutlak bagi menentukan kepada keputusan itu, dengan syarat – mereka bersatu.

Bersatupun, mereka haruslah secara majoriti menyokong kerajaan dan orang India pun turut serta memberi undi kepada parti kerajaan, maka ketika itu orang Cina bukanlah penentunya. Kecualilah jika orang India dan Cina solid lari daripada BN, maka BN akan tersungkur.

Namun, hakikatnya angka majoriti undi BN di Hulu Selangor bukan lagi satu gambaran kepada kemenangan sebenar. Itu pilihan raya kecil. Semua jentera tertumpu di sini. Dalam pilihan raya umum situasinya adalah jauh berbeza.’

Secara angka, Melayu Hulu Selangor pun masih tidak solid. Kita tidak pasti apa lagi yang mereka mahu. Semua yang mereka mahu sudah diberi. UMNO pun sudah tunjuk perubahan. Seorang rakan memberitahu ”mungkin kita perlu pendekatan radikal untuk menyelesaikan masalah yang tenat.”

Namun, keputusan Hulu Selangor amat disenangi oleh Lim Kit Siang. Beliau dalam ucapannya di rapat umum penutup selepas keputusan kekalahan mereka diumumkan, memberitahu para hadirian yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, keputusan itu sebenarnya ialah kejayaan kepada ‘rakyat’ Hulu Selangor.

Tanpa mahu menyentuh perasaan orang Melayu di situ, beliau sebenarnya merujuk ‘rakyat’ itu sebagai orang Cina Hulu Selangor yang rata-rata tidak memberi undi kepada BN, tapi sebaliknya memihak kepada DAP.

Kit Siang ternyata amat gembira, sebaliknya Dr. Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon yang gagal.

Ironisnya, apa pula maksud Soi Lek apabila beliau berkata ”MCA kena vokal”? Saya pun tak tau?

Orang Cina Malaysia, apa lagi yang anda mahu?TAJUK di atas penuh bermakna. Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Kita tolak dulu sebab-musabab mereka tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang. Kita kaji dulu apa lagi yang mereka mahu?

Ikut sejarahnya orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu ini untuk mencari peluang. Mereka hidup susah di tanah besar China ratusan tahun dulu. Seperti mana orang putih berhijrah ke benua Amerika untuk mencari peluang, begitu jugalah orang Cina yang kini menghuni di negara bertuah Malaysia ini.

Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini.

Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia. Cuba bezanya, Singapura berjaya dikuasai sepenuhnya, dan Malaysia tidak.

Di Malaysia, orang Cina hidup aman damai bersama-sama orang Melayu, Pribumi dan India. Berbeza dengan di Singapura, di sana orang Cina yang menguasai politik dan sekaligus pemerintahan negara itu. Di Malaysia, politik dan kerajaannya masih lagi dikuasai oleh orang Melayu.

Sistem kedua-dua negara itu sama, cuma ia terbalik sahaja. Orang Melayu di sini, orang Cina di sebelah tambak itu.

Bezanya orang Melayu di Singapura dan orang Cina di Malaysia amat berlainan sekali. Orang Melayu di Singapura hidup biasa-biasa sahaja. Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa.’

Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberi gambaran sekiranya semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur diangkat dari peta, yang tinggal hanyalah Kampung Baru itu sahaja. Semua yang lain ialah kepunyaan orang Cina Malaysia.
Orang Cina Malaysia amat hebat. Kesemua pekan-pekan besar dan bandar-bandar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak dikuasai mereka.

Mereka juga berjaya melahirkan para profesional yang paling ramai dan berjaya. Sistem sekolah Cina mereka adalah antara yang terbaik di mana-mana sahaja di dunia ini (jika ada).

Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama. Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina.

Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh di bilang jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya.

Akhir sekali, orang paling terkaya di Malaysia yang banciannya dijalankan saban tahun oleh sebuah majalah busines di Malaysia mendapati lapan orang Cina yang berada di 10 ke atas. Berikut adalah senarai 10 orang terkaya di Malaysia.

1.Robert Kuok Hock Nien 2. Tatparanandam Ananda Krishnan 3. Tan Sri Lee Shin Cheng 4. Tan Sri Teh Hong Piow 5. Tan Sri Lim Kok Thay 6. Tan Sri Quek Leng Chan 7. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhry 8. Puan Seri Lee Kim Hua 9. Tan Sri Tiong Hiew King 10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun. (Sumber: Malaysian Business, Feb 2010).

Itulah hakikatnya Malaysia tanah airku yang tercinta ini. Apakah kerajaan sekarang yang sudah memerintah 52 tahun ini terlalu zalim, kejam dan kuku besi?

Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Tapi saya tahu, anda tahu jawapannya.