"Sebagai pemimpin Islam, mereka (pemimpin Islam dalam kerajaan DAP Pulau Pinang) sewajarnya tidak lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat. Dia (Guan Eng) bukan tuhan, dia manusia biasa. Kenapa orang Melayu dan Islam perlu takut kepada dia? Kita hanya taat dan takut kepada Allah SWT. Kita nak takut kepada 'tuhan lain' kenapa?" - Zainal Abidin Osman.
Umno Pulau Pinang memberi tempoh dua minggu kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk memberikan jawapan tepat berhubung isu penjualan tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya akan menimbang tindakan injunksi mahkamah atau langkah lain bagi menghalang pembangunan di tanah itu jika Guan Eng gagal memberi jawapan yang konkrit dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata Ketua Menteri itu hanya perlu memberi jawapan berdasarkan fakta tanpa sebarang putar belit, iaitu sama ada kerajaan negeri telah menjual ataupun tidak tapak masjid dan sekolah tersebut.
"Senang saja (Guan Eng) beritahu kata tapak masjid Bayan Mutiara kekal. Luasnya lima ekar... akan dibina bila. Akan diserahkan kepada MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang), akan dikategorikan sebagai wakaf. Senang saja, tidak payah susah-susah. Rakyat cuma nak tahu ada atau tidak... tapak masjid sudah hilang, belum. Kalau ada (tapak masjid) syukur alhamdulillah. Tapi, kalau tidak ada, Umno Pulau Pinang tidak akan kompromi," katanya.
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya Komuniti 1Malaysia di Nibong Tebal semalam.
Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri seharusnya menitikberatkan kehendak rakyat dalam melaksanakan sesuatu pembangunan selain mengambil kira keseimbangan kerohanian dan riadah.
"Kita kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Kalau mandat oleh rakyat kita kena seimbang semua agama, semua kaum. Kalau ada masjid dulu lima ekar, sekarang ini lima ekar untuk masjid, 97 ekar lagi binalah pembangunan dan perumahan. Tapak sekolah untuk penduduk di situ juga perlu disediakan," katanya.
Mengulas hasrat Guan Eng untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Umno negeri Shaik Hussein Mydin berhubung isu itu, beliau berkata, langkah itu tidak menggambarkan demokrasi.
Zainal Abidin berkata, sebagai pemimpin sebuah parti yang memperjuangkan demokrasi, Guan Eng seharusnya bersifat terbuka dengan menjawab segala persoalan secara profesional sebagai Ketua Menteri, dan bukan melihat perkara itu sebagai serangan peribadi.
Kontroversi Bayan Mutiara timbul selepas kerajaan negeri bersetuju menjual tanah seluas 41.5 hektar kepada pemaju persendirian, Ivory Properties, dengan harga RM1.07 bilion.
Tanah itu dianggap amat bernilai dan lokasinya adalah strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Sebelum ini pada Rabu lali ( 28 Mac ), Zainal Abidin menyelar pemimpin Islam dalam kerajaan DAP kerana mengambil sikap berdiam diri terhadap isu hak serta kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.
Zainal berkata, tindakan sedemikian menunjukkan mereka seolah-olah 'takut' dan tunduk kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Menurutnya, sebagai pemimpin Islam, mereka sewajarnya tidak lari daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.
"Dia (Guan Eng) bukan tuhan, dia manusia biasa. Kenapa orang Melayu dan Islam perlu takut kepada dia? Kita hanya taat dan takut kepada Allah SWT. Kita nak takut kepada 'tuhan lain' kenapa?" katanya.
Beliau diminta mengulas sikap membisu pemimpin-pemimpin Islam dalam kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu penjualan tapak masjid yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pemaju swasta.
Antara mereka ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim serta Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man.
Zainal Abidin turut menyelar sikap Guan Eng yang menyalahkan UMNO dalam perkara itu.
Jelasnya, sebagai pembangkang, UMNO mempunyai hak untuk menegur pentadbiran kerajaan negeri demi membela kepentingan rakyat.
"Kami membangkang dengan fakta dan kebenaran yang dikutip daripada rakyat. Sebagai pemerintah, Guan Eng kena jawab bukan hentam kita balik," tegasnya.