Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui tidak mengetahui syarat yang ditetapkan oleh Datuk Phahrolrazi Modh Zawawi untuk membolehkannya kembali menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Azizan berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Phahrolrazi atau dibincang dengannya sebelum ini.
"Saya tidak tahu menahu mengenai syarat yang dia tetapkan. Itu kena dialah sebab saya tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Jadi, macam mana nak bincang kalau tak tahu apa-apa," katanya menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.
Menurutnya, ada syarat yang sah dan ada yang batal, dan "kalau syarat itu mengikut undang-undang, ia boleh diterima."
"Kalau syarat itu 'void', orang tak pakai," katanya.
Menjawab pertanyaan, Azizan berkata, beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa.
"Saya sedia bincang dengan sesiapa sahaja sama ada dengan Umno, MCA, Gerakan, wartawan atau sesiapa yang nak bincang.
"Tetapi saya tidak tahu apa syarat yang dia (Phahrolrazi) tetapkan," katanya.
Ditanya mengenai perbezaan pendapat yang besar seperti didakwa Phahrolrazi, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, tidak tahu apa perbezaan pendapat yang berlaku antara mereka berdua.
"Saya tidak tahu apa perbezaan pendapat yang besar. Saya rasa biasa sahaja berlaku perbezaan pendapat dalam mesyuarat. Itu perkara biasalah.
"Kalau kita pergi restoran, seorang nak makan mi rebus, seorang makan mi goreng dan seorang lagi mungkin nak makan mi kari. Mereka ini makan makanan yang berbeza tetapi masih boleh duduk semeja. Tiada apa-apa masalah," katanya.
Menurutnya, selepas timbul isu enggan menerima semula pelantikan sebagai Exco, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah tidak pernah menghubunginya untuk memaklumkan apa-apa.
"Bagaimanapun, kita selalu berbincang dalam mesyuarat," katanya.
Ditanya sama ada kemelut itu boleh diselesaikan, Azizan berkata "Insya-Allah, kita tengoklah."
Ditanya sama ada nama Pharolrazi dan Dr Ismail Salleh, yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kedah, berada dalam senarai yang dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk mendapat perkenan, Azizan berkata: "Saya terlupa sebab banyak sangat nama yang ada dalam senarai itu."
Ditanya masih ada jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, Azizan berkata, ada banyak jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.
Mengenai perjumpaannya dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dilantik oleh Pas Pusat sebagai orang perantaraan untuk menyelesaikan masalah, Menteri Besar berkata, pemimpin itu datang bertemunya di rumah.
"Kami bincang macam-macam. Saya tanya pasal anaknya dan persekolahan anak-anak. Banyak yang kami bincang. Dia mai rumah saya dan minum kopi, habislah.
"Sebagai naib presiden dan saya pula pesuruhjaya negeri, kami juga berbincang soal parti," katanya.
Ditanya masalah itu boleh diselesaikan segera, Azizan berkata: "saya harap begitulah."
Sinar Harian