Saturday, June 20, 2009

KAMU TELAH SESAT WAHAI NIK AZIZ

oleh Megat Pisau

Setelah sekian lama memendam rasa kurang senang atas beberapa tindakan dan perilaku orang yang digelar TOK GURU oleh para pengikut fanatiknya, maka pada hari ini, penulis sebagai cicit kepada Tok Khurasan, salah seorang guru agama kepada Nik Aziz ketika dia masih remaja, ingin menyampaikan ekspresi KEKESALAN ke atas orang yang telah menyalah-gunakan statusnya sebagai ULAMA demi kepentingan politik DEMOKRASI.
Sampai hati kamu SENYUM MESRA sambil memberi tanda BAGUS kepada salah seorang tokoh Harbi TERBESAR di Asia Tenggara ini. Tidakkah kamu tahu bahawa dia baik dengan kapitalis Thaksin Shinawatra yang sanggup menjual satelit telekomunikasi (SinCorp) negaranya sendiri kepada Temasek Holding? Dan Thaksin itu adalah provokator yang membunuh Melayu-Islam di Selatan Thailand yang secara tidak langsung merupakan saudara Kelantanmu wahai Nik Aziz?

1) Kepada rakan-rakan yang selama ini MEMUJA Nik Aziz bagaikan maksum, penulis minta maaf kerana tidak dapat lagi berselindung untuk menjaga hati kalian dalam posting kali ini yang melibatkan NIK AZIZ. Teguran keras perlu dibuat kepada seseorang yang sudah merasakan dirinya amat tinggi ilmu dan amalnya sehingga tidak sedar lagi di manakah KEPENTINGAN yang patut diutamakan sebagai Melayu-Islam di Malaysia ini.

2) Seperti penulis pernah tegur secara terbuka seorang bekas PEMIMPIN TERTINGGI dalam kerajaan yang pincang sebelum ini (cucu ulama besar juga), maka tidak ada bezanya dengan Nik Aziz ini. Sedangkan Saidina Umar R.A sebagai seorang sahabat Nabi, pejuang fisabilillah dan Khalifah kedua Dunia Islam pun meminta dirinya ditegur, inikan pula Nik Aziz seorang bangsawan Melayu dari keturunan RAJA BERSIONG (moyang Raja Jembal).

Tidak kira ASAS ILMU apa yang kamu ada wahai Nik Aziz tetapi jika banyak tindak-tanduk kamu memberi FITNAH kepada Islam itu sendiri, maka sia-sia jualah ASAS KEILMUAN kamu itu. Apabila Islam terfitnah, maka golongan yang kecewa dan keliru dengan Islam ini akan cenderung membentuk golongan LIBERAL-SEKULAR yang menjauhi retorik agama mainan PAS kamu ini. Lagi jahanamlah generasi Melayu-Islam kita di Malaysia.

Tidak salah mahu main snooker. Tetapi bayangkan jika gambar seperti ini tokohnya orang UMNO, sudah tentu dicerca tokoh itu suka berfoya-foya bermain mainan orang muda. Tapi jika "Tok Guru" yang memainkannya, maka tidak mengapa kot.

3) Kenapa Nik Aziz menentang PERPADUAN Melayu-Islam di saat-saat kita kian berpecah di bumi bertuah ini? Kenapa masih berdendam? Sedangkan dia arif bahawa dalam Islam tiada konsep dosa warisan/asal, maka bukankah itu bermakna Islam selalu membuka pintu kemaafan?

Perbuatan individu-individu UMNO masa lampau tiada kaitan dengan MAJORITI orang UMNO masa kini yang mahu melihat perubahan. Tapi kenapakah Nik Aziz tidak mahu menyahut, berdamai dan mungkin berdakwah secara lebih dekat sesama Melayu-Islam dari parti UMNO?

Kenapa begitu angkuh mempertahankan PAKATAN dengan golongan MUNAFIK-HARBI yang secara terang-terangan menolak segala unsur-unsur KETUANAN MELAYU yang mendukung KEDAULATAN ISLAM di Malaysia selama ini?

4) Kenapa rela kamu menafikan nasihat dan pujuk rayu mufti Perak, Dato Seri Dr Haji Harussani bin Haji Zakaria untuk berdamai dengan UMNO Perak demi kesejahteraan orang Melayu-Islam di Perak? Kenapa kamu ingkar hasrat Sultan Perak yang mahu melihat Melayu-Islam yang berkuasa memimpin negeri?

Kenapa kamu tidak menegur tindakan-tindakan Nizar secara terbuka yang terus hingga ke hari ini membuat kacau bilau dalam politik negeri Perak? Kenapa kamu tidak nasihat pengikut kamu supaya taat akan Sultan sebagai Amirul Mukminin sesebuah Kerajaan negeri itu selagi baginda bersolat dan tidak mengarahkan kegiatan maksiat? Kenapa Nik Aziz? Kenapa?

Kenapa perlu kamu MESRA dan PERCAYA kepada golongan LIBERAL-SEKULAR seperti Zaid Ibrahim dan Anwar Ibrahim ini? Kenapa rela kamu menjadi Kadi kepada perkahwinan anak Zaid Ibrahim yang terkenal menyokong BAR COUNCIL dalam membela kes murtad Lina Joy? Kenapa berpakat dengan Anwar yang telah menghentam sistem Islam dan memuja demokrasi bebas di Amerika Syarikat?

5) Kenapa Nik Aziz dahulunya pernah menghentam Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebagai golongan sosialis yang sama dengan komunis dalam Harakah, kemudiannya menerima pula Parti Keadilan Rakyat yang telah menyerapkan golongan "sosialis" PRM ini tadi?

Kenapa Nik Aziz tidak menegur Anwar apabila dia mahu Chin Peng Komunis itu kembali? Kenapa sering berubah pendirian wahai Nik Aziz? Kenapa tidak pernah ada walau satu pun ucapan dari kamu secara terbuka untuk mempertahankan badan bersenjata Malaysia (Melayu-Islam) yang menentang komunis suatu masa dahulu?

Lupakah kamu bahawa komunis juga telah ramai membunuh para imam dan ketua kampung yang alim? Lupakah Nik Aziz? Atau kamu sengaja melupakan segalanya demi undi popular dari kaum/agama lain?

6) Jika kamu tuduh UMNO buat jahat banyak lagi, habis itu kenapa pula kamu yang kononnya mengetuai PAS membiarkan PAS melakukan SEDIKIT jahat (salah)? Kenapa perlu banding dengan "kejahatan" UMNO? Tidak bolehkah kamu nasihat PAS supaya jangan buat jahat (salah) langsung?

Tidak bolehkah kamu menahan diri dari menggadai prinsip dan nama baik Islam yang tegas lagi jelas ini? Kamu mengaku kamu adalah NAKHODA PAS seluruh Malaysia, tetapi gaya pertuturan kamu seringkali tidak jelas dan mungkin hanya difahami oleh orang Kelantan sahaja, jika orang luar silap faham, kamu salahkan media kerajaan, tetapi pernahkah kamu JELASKAN dalam Bahasa Malaysia secara terperinci untuk memberi kefahaman yang jelas kepada orang Melayu luar Kelantan ini?

Dan akhirnya kamu minta orang dengar ceramah kamu secara langsung dan beli CD ceramah kamu, apakah ini suatu paksaan dalam berdakwah? Apakah ini cara berdakwah yang bijak dengan penuh sabar?

Ucapan demi Ketuanan Rakyat? Rakyat yang mana? Rakyat yang MUNAFIK-HARBI? Rakyat yang mahu kesama-rataan? Rakyat yang mengawal ekonomi? Rakyat yang mahu menghapuskan institusi Ketuanan Melayu dan Kedaulatan Islam di Malaysia? Rakyat yang mahu hidup BEBAS seperti di Amerika Syarikat? Kamu fikir Ketuanan Rakyat akan memihak kepada agenda Islam sebenar?

7) Kamu mengaku Kelantan (Kota Bharu) membangun walaupun didiskriminasi oleh kerajaan pusat, tapi sedarkah siapa yang maju di Kelantan itu? Siapa yang membangun sebenarnya? SBJ bukan?

Siapa itu Syarikat Bina Jaya (SBJ)? Melayu-Islam? Adakah benar Melayu-Islam semakin berjaya dan maju di Kota Bharu? Perasankah kamu bahawa bilangan bukan Melayu-Islam semakin bertambah di Kota Bharu? Apa sudah jadi? Adakah mereka itu sekadar datang melawat atau membeli-belah sahaja?

Kenapa semakin besar rumah ibadat bukan agama Samawi di Serambi Mekah ini? Apa sudah jadi? Ada ke contoh Serambi Mekah di tempat lain dalam dunia ini yang rumah ibadat agama bukan Samawi nya semakin membesar? Tidak hairan bagi penulis jika golongan ini begitu makmur dan suka kepada PAS sehingga menyertai KELAB PENYOKONG PAS!

8) Andai kata jika suatu hari nanti Melayu-Islam di Kelantan ditimpa bencana seperti mana negara jiran kita, barulah kita insaf bahawa kita yang memegang status ULAMA ini sudah pun memberi FITNAH kepada perjuangan sebenar para mujahid kita.

Tidakkah kamu insaf wahai Nik Aziz melihat kesengsaraan saudaramu di Selatan Thailand, yang hidup tanpa institusi Sultan, yang hidup bawah golongan kuffar Harbi yang tidak beragama Samawi. Tapi saudaramu itu tidak seperti kamu, mereka tetap melaungkan Allahuakbar bersama dengan HIDUP MELAYU PATANI!

Mereka tidak tinggalkan identiti bangsa mereka sepertimana kamu menuduh KEMELAYUAN itu Assobiyyah, mereka tetap tidak tinggalkan istilah MELAYU pada perjuangan mereka, kerana mereka tahu sepertimana sesungguhnya kamu pun tahu, bahawa MELAYU yang dilaungkan itu adalah fitrah yang tidak bertentangan dengan Islam itu sendiri.

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah, ayat 208)

9) Memang banyak lagi kekecewaan penulis yang terpendam selama ini kepada kamu wahai Nik Aziz. Kamu tidak "makan" teguran lembut dari mereka yang sebaya, apatah lagi dari insan muda seperti diri penulis ini. Ya, kita semua tidak sempurna, seperti juga penulis yang masih menimba ilmu melengkapi diri yang semakin meniti usia ini.

Tetapi beban status sebagai ULAMA adalah berat! Kamu yang sepatutnya memberi tunjuk ajar dan contoh teladan yang baik kepada generasi muda, bukan sekadar di luar pentas politik, bukan sekadar pada poster-poster kamu yang meminta doa sambil berlinangan air mata itu, bukan modal politik seperti itu.

Tok Khurasan tidak pernah mengajar kamu ilmu untuk membuat kekeliruan dalam politik apatah lagi untuk menderhaka kepada nasihat mufti dan hasrat Sultan. Tok Khurasan sendiri pun tidak menafikan bangsa asalnya, sebab itu dia masih lagi sebut Khurasan sebagai tempat asal dan bangsanya. Bukan menafikan MELAYU seperti yang kamu selalu katakan sehingga istilah Melayu itu menjadi jijik dan diperlekehkan kerana dendam politik.

10) Walaupun KERAS segala teguran yang dibuat oleh penulis yang tidak sempurna ini, tetapi hati penulis tetap mendoakan semoga TUAN GURU NIK AZIZ BIN NIK MAT akan insaf dan kembali ke jalan ULAMA yang sebenar, ulama yang tegas dengan prinsip Islam sebenar, ulama yang berlapang dada bebas dari dendam politik, ulama yang faham akan kepentingan yang patut diutamakan dalam situasi Melayu-Islam di Malaysia dan Muslim di dunia ini yang semakin tertipu dengan mainan Munafik-Harbi yang ingin melenyapkan akidah kita semua.
Semoga Allah membuka pintu hati anak murid Tok Khurasan ini untuk menggunakan ilmu agamanya memimpin Melayu-Islam di Malaysia ke arah yang benar. Jangan malukan guru-guru kamu wahai Nik Aziz!

Jika budaya dan perayaan agama kaum lain kamu boleh turuti dan meriahkannya, mengapa budaya dan tradisi kaum sendiri kamu cerca dan anggap sebagai bertentangan dengan Islam? Kenapa Burung Petalawati untuk sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan tidak lama dahulu dianggap menganggu akidah sedangkan replika itu tidak sempurna dan hanya untuk sementara kerana diperbuat dari bunga-bunga?

Kenapa berat sebelah kepada unsur kebudayaan Melayu yang tidak pun berkaitan dengan penyembahan? Demi meraih undi popular dari kaum/agama lain? Demi politik mendendami UMNO yang dikaitkan dengan Melayu itu?

"Sungguh celakalah orang-orang yang menulis Al-Kitab dengan tangan mereka, lalu mereka katakan, "Kitab ini dari Allah", untuk mendapatkan keuntungan yang sedikit. Sungguh celakalah mereka kerana tulisan tangan-tangan mereka dan sungguh celakalah mereka kerana usaha mereka." (Surah Al-Baqarah, ayat 79).