Tuesday, September 17, 2013

Politik Kontroversi 'Ustaz' Mat Sabu' Memakan Diri


Oleh Juhaidi Yean Abdullah

Sekitar Ogos tahun lalu, Mohamad Sabu (Mat Sabu) masih mempertahankan matlamat asal parti mengenai pelaksanaan hudud di negara ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan satu akhbar Cina, beliau menegaskan hasrat PAS mendapatkan mandat dua pertiga Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Andainya DAP, MCA atau ahli Dewan Rakyat bukan Islam membantah, itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Namun, PAS tetap dengan pendiriannya.


Anehnya, tiga bulan sebelum itu, Mat Sabu memberi pandangan berbeza. Ketika diwawancara oleh Radio BFM pada 16 Mei 2012, beliau berkata agenda utama PAS ialah Buku Jingga dan dasar bersama pakatan pembangkang yang dipersetujui pada November 2011.

Tidak disebut pasal hukum hudud. Apabila ditanya apakah objektif PAS yang sebenar dan sama ada membentuk negara Islam masih menjadi matlamat partinya, Mat Sabu berkata, ia boleh menjadi realiti jika dipersetujui oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Andainya rakan sekutu pakatan pembangkang itu tidak bersetuju dengan hudud, ia tidak boleh dilaksanakan. Apabila dibangkitkan kenyataan pemimpin ulama PAS yang tetap mahu melaksanakan hudud di Malaysia, Mat Sabu menjawab itu pandangan peribadi mereka, bukan pendirian rasmi pakatan pembangkang itu.

Patutlah kenyataan Timbalan Presiden PAS ini mendapat kecaman ahli PAS sendiri. Mereka tahu tidak ada hukum hudud atau negara Islam dalam Buku Jingga. Satu reaksi yang boleh dibaca di laman web ialah:

“Ramai kita masuk PAS sebab hudud dan undang-undang Islam. Jangan main politik pak sanggup. Kejap ke tengah, kejap ke tepi, kejap ke depan, kejap ke belakang. Sejak bila pula kita ada timbalan presiden kaki kencing?

Ini tidak betul. Kalau PAS pun kencing macam ini, siapa nak percaya parti Islam?” (penyokongpas.wordpress.com)

Sejak memegang jawatan ini dua tahun lalu, Mat Sabu sering memerangkap dirinya dengan kenyataan kontroversi dan keadaan mengaibkan.

Beliau lebih diingatikerana bercakap daripada berbuat jasa. Rakyat masih ingat kenyataannya mengenai Mat Indera dan menganggap komunis sebagai pejuang, serta berhubung pencerobohan di Lahad Datu. Beliau mengguris hati anggota keselamatan, bekas perajurit dan keluarga mereka sehingga ditegah berceramah dan dihalau daripada memasuki beberapa kampung.

Ramai penyokong PAS juga marah dengan pendirian beliau menyokong Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengambil alih EXCO Agama daripada PAS pada 2012.

Guru pondok khususnya di Kelantan dan Kedah, tidak boleh menerima orientasi agama dan sokongannya kepada rejim Syiah di Syria, Iran dan Lubnan. Ceramahnya yang dulu menarik ribuan hadirin tetapi pada kempen PRU lalu, hadirin tidak sampai 50 orang.

Tidak lama dulu juga tersebar rakaman perbualan seks di media sosial yang dikaitkan dengannya. Justeru, kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hasan, bahawa jawatan timbalan presiden seharusnya ulama adalah mesej terang dan jelas bahawa Mat Sabu perlu diganti dalam muktamar tahunan di Shah Alam pada 22-24 November ini.

Kekalahan Mat Sabu di kerusi Parlimen Pendang dalam PRU-13 Mei lalu, ibarat kafan politik. Kerusi itu diberi kepadanya oleh penyandang jawatan dua penggal, namun beliau tewas.

Kerajaan PAS Kedah tumbang selepas hanya memerintah sepenggal, seperti nasib kerajaan PAS Terengganu sedekad sebelumnya (1999-2004).


Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Nik Amar Nik Abdullah antara ulama yang disebut bakal mencabar Mat Sabu.

Sebagai pejuang, Mat Sabu sudah pun menyatakan pendirian mempertahan jawatan timbalan presiden.

Lebih daripada itu beliau berkata, semua orang PAS adalah ulama, bezanya tahap pengetahuan agama masing-masing.

Kenyataan ini cukup menarik. Ia memberi maksud Mat Sabu menganggap dirinya juga ulama. Cuma yang perlu dia jawab, kalau sememangnya pengetahuan agama rendah atau sedikit, dikira ulama jugakah?

Kalau semua orang PAS adalah ulama, adakah mereka yang ditangkap khalwat, skandal dengan isteri orang, rasuah, penipuan, salah guna kuasa, nepotisme, gila projek, membelasah polis dan membakar kereta serta sokong peliwat termasuk kategori ulama juga?

Untuk berlaku adil, Nik Aziz pernah membuat kenyataan pada 2009 bahawa PAS juga patut tukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin bermasalah dalam kalangan jemaah.

Beliau tidak merujuk kepada Mat Sabu tetapi mereka yang terbabit dengan bersama UMNO selepas PRU 2008.

Dua daripada mereka ialah Datuk Dr Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa yang sudah dipecat serta disisihkan.

Semua orang tahu seorang lagi ialah Datuk Seri Hadi Awang.

Diberitakan sudah ada calon yang bersedia menentang beliau untuk jawatan presiden di muktamar nanti.

Sebahagian ahli PAS melihat prestasi Hadi-Mat Sabu jauh lebih hambar dan lesu berbanding prestasi Fadzil Noor-Hadi Awang.

BH Online 2013/09/16 - 03:27:59 AM