Tuesday, December 16, 2008

JERIT – APA PULA SELEPAS INI...

Apakah yang dimahukan oleh Jerit?

Mahu apakah kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Jerit ini? Siapa yang tertindas?
Benarkah ada masyarakat di Malaysia yang tertindas?

Maaflah, Jerit tidak dianggotai oleh pelbagai kaum dan apabila gambar-gambar yang disiarkan hanya menunjukkan satu kaum sahaja, persepsi terhadap Jerit akan pelbagai.

Dalam konteks ini, Jerit ini mahu tunjuk kekuatan atau mendapat simpati?

Lebih menyerlah, yang menaja dan menganjurkan kempen berbasikal ini, apakah mereka ada permit?

Jerit mengatakan mereka mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen dijadualkan Khamis ini.

Apakah ibu bapa membenarkan anak mereka yang beusia di bawah 18 tahun?
Semalam Polis Kajang membenarkan 28 penunggang basikal yang berusia di bawah 18 tahun, untuk meneruskan kayuhan kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan".

Laporan Malaysiakini, menyebut pada awalnya, pihak polis mengarahkan mereka - yang memulakan kayuhan di Johor - supaya melaporkan diri di balai polis Bangi.

Menurut penganjurnya - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) - pihak polis mahu menyemak butiran diri mereka dan memastikan sekiranya penyertaan mereka dibenarkan oleh ibu bapa masing-masing.

Sebahagian pengayuh terbabit berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Kumpulan dari arah Selatan, telah memulakan pengayuhan mereka dari estet Denudin menuju ke estet Bangi Lama pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam perjalanan, mereka disekat oleh pihak polis di estet Bangi Lama pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Suaram mengutuk tindakan polis itu dan menuntut supaya kumpulan itu dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Ahli sekretariat Jerit, K Bawani, ketika dihubungi berkata, pihak polis menunggu di pintu masuk estet tersebut, kerana mereka tidak boleh masuk ke kawasan persendirian.

Katanya, sebuah van polis mengekori penunggang basikal berkenaan sepanjang jalan dari Johor, manakala 14 kenderaan polis "mengiringi" mereka apabila mereka tiba di Semenyih semalam.

"Mereka (polis) mengekori kami sepanjang jalan tetapi mereka tidak membuat sebarang tangkapan hingga sekarang... kami sedang berunding dengan pihak polis dan telah meminta mereka supaya membenarkan penunggang basikal makan tengahari sebelum pergi ke balai polis," katanya pada kira-kira jam 1 tengahari.

Penyelaras Jerit, S Arutchelvan berkata pihak polis kemudiannya berlembut dan membenarkan penunggang basikal itu makan tengahari, sementara menunggu ketibaan ibubapa mereka.
Jerit telah menghantar beberapa peguam ke estet Bangi Lama.

Pada jam 3 petang, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mengesyaki pihak berkuasa merancang untuk mendakwa mereka yang terbabit dalam kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" di bawah Akta Kanak-kanak, kerana membabitkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Bon juga berkata, pihak polis bertegas bahawa mereka tidak menahan penunggang basikal tersebut.

Sementara di RAWANG, seramai 57 individu termasuk 28 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana menyertai kempen 'Rakyat Pengayuh Perubahan' anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) di sekitar Sungai Choh di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Turut ditahan adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR)dan anggota Parlimen Sungai Siput, Dr D. Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bernama yang memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, penahanan kumpulan berbasikal tersebut terpaksa dibuat bagi menghentikan dan mengelakkan kanak-kanak daripada dieksplotasi oleh pihak tertentu.

"Polis bertindak demikian bagi menyelamatkan kanak-kanak ini daripada dianiya dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan ketika kanak-kanak tersebut memberi keterangan, mereka memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengapa disuruh ikut serta dalam perarakan berbasikal tersebut," katanya di Balai Polis Rawang malam tadi.

Beliau berkata polis akan menghubungi ibu bapa kesemua kanak-kanak dan remaja berkenaan supaya meminta mereka membawa pulang anak masing-masing sekaligus menyiasat sama ada kesemua mereka telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing atau tidak.

Katanya pada sesi soal siasat itu juga, Dr. Jeyakumar mengaku sebagai penganjur kempen itu.
Khalid berkata mereka ditahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak dan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana membuat perhimpunan haram.