Seorang individu bergelar Datuk Seri dan anaknya yang
berstatus Datuk ditahan di Pualupinang berhubung siasatan skandal tanah
membabitkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.
Kedua-dua suspek dari syarikat pemaju hartanah terkemuka
di negeri itu yang disenaraikan di Bursa Malaysia ditahan pada kira-kira pukul
7 malam semalam ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Datuk Seri berusia 74 tahun itu yang juga penasihat
syarikat pemaju tersebut ditahan di Pejabat :Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.
Manakala anaknya yang merupakan pengarah
urusan syarikat berusia 47 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan
kedudukan mereka dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan tanpa melalui
proses dan tatacara yang ditetapkan pada harga yang jauh lebih rendah daripada
harga asal.
Menurut sumber, syarikat pemaju hartanah yang berpengkalan
di Georgetown itu didapati membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau
Pinang termasuk di Bandar Kepala Batas dan Tanjung Bungah.
Perbuatan mereka dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan
ringgit kepada anak syarikat milik yayasan sejak beberapa tahun lalu.
Penahanan kedua beranak itu susulan SPRM menahan seorang
pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lalu kerana
disyaki salah guna kuasa.
Sebelum ini, seorang pemegang amanah yayasan bergelar
'Datuk' direman bagi membantu siasatan SPRM selepas dipercayai menjual tanah
milik anak syarikat yayasan berkenaan di negeri ini, selain membuat keputusan
sendiri tanpa melalui persetujuan ahli lembaga pengarah.
Datuk yang direman dan dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000. |
Menurut laporan media pada 3 April lalu, beliau,
seorang pemegang amanah di Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad, bergelar
‘Datuk’ yang direman hujung bulan lalu oleh SPRM, dibebaskan dengan jaminan
RM100 000 hari ini.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftaran Tertinggi
Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zain yang turut menetapkan dua penjamin bagi
kes berkenaan.
Lelaki berusia 70 tahun itu yang juga Pengerusi Penang
Port Sdn. Bhd. menyerah diri di ibu pejabat SPRM negeri dan disiasat mengikt
Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk
mendapatkan suapan.
Menurut jurucakap SPRM, suspek dipercayai menjual tanah
milik anak syarikat berkenaan di negeri ini termasuk membuat keputusan sendiri
tanpa melalui persetujuan Ahli Lembaga Pengarah lain.
Sementara kedua-dua suspek itu dipercayai menjual tanah
milik anak syarikat yayasan tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan
serta harga yang jauh lebih rendah daripada harga asal.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam
Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, sambil menambah
kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pagi ini untuk
direman.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009
dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20
tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut
mana yang lebih tinggi.