Susan Loone (Malaysiakini, 4 April, 2012)
Berdasarkan persepsi popular, DAP Pulau Pinang akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi sumber dalaman berkata parti itu mengenalpasti 12 kerusi "kritikal" yang memerlukan kerja keras untuk mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.
Ini mungkin mengejutkan sesetengah pihak kerana hanya baru-baru ini, parti itu berjaya mengumpul RM500,000 dalam majlis makan malam untuk kutipan dana yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 penyokong di Pulau Pinang, di mana Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata "Biarkan BN makan telur" (dapatkan kerusi sifar) .
Tetapi penilaian ini, kata sumber yang boleh dipercayai, berdasarkan kepada prestasi penyandang sekarang, kualiti calon pembangkang, dan sentimen rakyat yang boleh mengubah keadaan pada saat-saat terakhir.
Kerusi DUN terbabit ialah Jawi (Tan Beng Huat), Padang Lalang (Tan Cheong Heng), Bagan Jermal (Lim Hock Seng), Bagan Dalam (A Tanasekran), Tanjung Bungah (Teh Yee Cheu), Pulau Tikus (Koay Teng Hai), Sungai Pinang (Koid Teng Guan), Pengkalan Kota (Lau Keng Ee), Seri Delima (RSN Rayer), Batu Lanchang (Danny Law Heng Kiang), Berapit (Lydia Ong Kok Fooi) and Paya Terubong (Yeoh Soon Hin).
Hock Seng, Danny Law dan Lydia Ong adalah exco kerajaand negeri yang dianggap sebagai "penyokong setia parti".
"Daripada 12 kerusi itu, empat - Jawi, Tanjung Bungah, Sungai Pinang dan Seri Delima - berada di paras bahaya," kata sumber yang mengetahui.
Hanya tujuh kerusi 'selamat'
Tan (Jawi) mengugut untuk keluar DAP pada tahun 2009 berhubung isu bayaran letak kereta awam, Koid (Sungai Pinang) dan Yeoh (Paya Terubong ) dilaporkan "lemah berprestasi" manakala Rayer baru-baru ini terlibat dalam perang mulut antara Pengerusi DAP Karpal Singh dan Timbalan Ketua Menteri P.Ramasamy.
Teh (kiri) dianggap lebih bersikap NGO dalam pendekatannya dan agak lantang mempersoalkan dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri di cerun bukit di kawasannya - yang menjadi tumpuan pelancong - dengan sokongan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah.
Tanasekran walaupun dilihat sebagai seorang wakil "lemah" tetapi masih boleh mempertahankan kerusinya kerana bakal lawannya yang lemah dari MIC, yang kini terbabit perebutan kuasa dalaman, kata sumber itu lagi.
"Daripada 19 kerusi DUN yang dipertandingkan dan dimenangi DAP pada 2008, hanya tujuh kerusi selamat - Komtar (Wei Aik), Padang Kota (Chow Kon Yeow), Air Itam (Wong Hon Wai), Sungai Puyu (Phee Boon Poh), Dato Keramat (Jagdeep Singh Deo), Prai (P Ramasamy) dan Air Putih (Guan Eng)," tambah sumber itu.
Lima ADUN - Chow, Wong, Phee, Ramasamy dan Guan Eng - adalah ahli exco kerajaan negeri.
Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri II, yang baru-baru ini terbabit dalam perang mulut dengan Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, dikatakan masih mendapat sokongan Guan Eng dan bapanya yang juga penasihat parti Lim Kit Siang.
Ramasamy (kanan) dijangka mengekalkan kerusi Parlimen Batu Kawan tetapi tidak pasti sama ada beliau mampu mempertahankan DUN Prai, terutamanya selepas Karpal begitu berkeras dengan dasar "satu orang tanding satu kerusi", kecuali KM yang kini mewakili dua kerusi.