Sunday, March 12, 2017

Dua 'Tan Sri', Seorang 'Datuk Seri' Ditahan Beri Rasuah, Elak Cukai


Dua ahli perniagaan terkenal bergelar 'Tan Sri' dan seorang  'Datuk Seri' sedang disiasat disiasat oleh pihak berkuasa atas dakwaan rasuah dan cuba mengelak cukai.

Pihak berkuasa membekukan akaun dan aset bernilai ratusan juta ringgit daripada ketiga-tiga ahli perniagaan itu.

Serbuan tersebut telah diadakan di Pulau Pinang dan Johor, dan dijangka lebih banyak pendedahan akan  diumumkan tidak lama lagi.

Kedua-dua 'Tan Sri' berasal dari Pulau Pinang dan Kedah, manakala 'Datuk Seri' pula dari Johor.

Turut dilaporkan  bahawa salah seorang ahli perniagaan tersebut menjalani sindiket perjudian haram di seluruh negara dan memiliki kelab malam yang beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada beliau dikaitkan dengan aktiviti kongsi gelap serta mencari jawapan  menyiasat bagaimana kegiatannya berselindung.

Disyaki Datuk Seri tersebut mempunyai sekurang-kurangnya empat kelab malam dan 23 premis hiburan, dan telah disiasat sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber, baru-baru ini beliau telah dipanggil pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Ahli perniagaan itu didakwa memberi rasuah melebih RM1 juta setiap bulan kepada pegawai dari pelbagai agensi penguatkuasaan.

Semua pegawai kanan pasukan penyiasatan enggan mengesahkan atau menafikan maklumat mengenai kes berprofil tinggi ini.

Seorang lagi ahli perniagaan itu didakwa menipu kerajaan dengan menggunakan proksi untuk membeli tanah rizab Melayu pada harga yang murah kemudian menjualnya kepada kerajaan dengan harga lebih tinggi.

Bulan lalu, ahli perniagaan Datuk Seri Ng Chian Sia didakwa bersama-sama dengan 21 yang lain di Mahkamah Sesyen George Town kerana disyaki terlibat dengan 'Gang 24'.

Ng, 55, dipercayai antara ketua tertinggi geng tersebut dan menerima gelaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, pada tahun 2015.

Baru-baru ini, bekas pemimpin Pemuda MIC Datuk M. Kalai Arasu  antara 29 lelaki dipercayai anggota 'Gang 360 Devan' yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kajang yang terlibat dengan  jenayah terancang.


mStar