Monday, December 29, 2008

MEMAHAMI SERANGAN ANAI-ANAI ERDOGAN II

Oleh AIDC

Istilah "Erdogan" diperkenalkan oleh blog anti-husam (antihusam.blogspot.com) yang dibina pada akhir Julai 2008. Ketika itu Husam Musa dan Anwar Ibrahim berada di Dubai. Klik di sini dan di sini

Husam Musa sendiri menafikan wujudnya "kumpulan Erdogan", sepertimana yang didakwa oleh blog itu malah turut menafikan pertemuannya di Dubai adalah dirancang bersama Anwar.

"Saya mempunyai aturcara peribadi saya sendiri, tidak ada kena-mengena dengan lawatan Anwar. Saya tidak tahu beliau (Anwar) berada di sana (Emiriyah Arab Bersatu)," katanya. Tambahnya, beliau secara kebetulan bertemu penasihat PKR dalam satu majlis yang dirancang untuknya oleh sekumpulan warga Malaysia di negara Teluk itu. "Saya berucap terlebih dahulu, dan beliau (Anwar) sampai semasa saya sedang berucap. Kemudian selepas habis ucapan, kami pulang ke hotel masing-masing. Keesokan pagi, saya berlepas ke Syria," jelasnya, sambil menambah beliau ke sana hanya separuh hari. "Jadi tidak ada masa untuk kami berbincang. Tiada perbincangan sama sekali."

Baca kenyataan lengkap Husam klik di sini

Deklarasi Dubai

Tetapi blog anti-husam mendedahkan sebaliknya. Tulis blog itu, "Maka di Dubailah berlakunya perundingan secara rahsia diantara Anwar dan Husam (yang semestinya dibuat tanpa mendapat mandat parti dan tanpa pengetahuan sesiapa). Menurut sumber dalaman yang siqah dan boleh dipercayai, di dalam perbincangan tersebut Anwar antara lain telah berjanji untuk memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Husam (setelah dilantik sebagai Senator) apabila kerajaan persekutuan yang baru dibentuk oleh PR pada 16 September nanti."

Tulisnya lagi, "Dalam perbincangan tersebut juga didedahkan bahawa pimpinan tertinggi PAS dan UMNO telah berjumpa dan mengadakan rundingan tanpa melibatkan Husam. Pertemuan itu adalah ancaman besar buat Anwar dan Husam. Maka mereka merancang supaya sebarang usaha mempertemukan PAS dan UMNO akan gagal sama sekali dimasa hadapan. Lalu Husam dengan pengaruh jawatan dan wangnya telah mula menggerakkan kerjanya sekembalinya dari Dubai"
Membaca lengkap deklarasi Dubai, klik di sini

Erdogan mula gigit kepimpinan ulama

Blog anti-husam menamakan beberapa orang tokoh PAS yang dikatakan termasuk dalam kumpulan Erdogan. Mereka adalah; Husam Musa, Kamaruddin Jaafar,Syed Azman, Dr. Hatta Ramli, Dr Zulkifli Ahmad, Salahudin Ayub, Mujahid Yusuf, Dr. Lo'Lo', Dr Siti Mariah, Khalid Samad, Mahfuz Omar, Hanifah Maidin dan lain-lain.

Blog itu turut mendedahkan satu insiden yang kurang ajar berlaku dalam Muktamar PAS baru-baru ini. Kejadian itu berlaku, ketika Timbalan Mursyidul Am, YBhg. Dato' Dr. Haron Din memberikan ucapan penggulungannya berkaitan dengan keputusan majlis syura ulama tentang muzakarah/muqabalah, Dr. Hatta Ramli secara menyindir berkata : "Hah..masukla UMNO kalau macam tu"

Seterusnya penulis mendedahkan lebih lanjut.."Dan bila Timbalan Mursyidul Am, Ust Haron Din membaca khutbah hari raya dengan mensyarahkan ayat tersebut bahawa mereka yang menentang muzakarah/muqabalah dengan musuh adalah menentang Al-Quran - maka mereka cuba memperlekehkannya dengan seribu satu alasan bahawa ayat tersebut telah disalah tafsir. Begitulah lekehnya ulama-ulama PAS dikacamata mereka. Apa yang mereka hendak tonjolkan ialah hanya mereka yang pandai tafsir AlQuran ikut kehendak semasa.

Dan seolah-olah ingin menunjuk dan menampakkan bahawa akal dan strategi mereka lebih hebat dari hujah Quran"
"Ulama-ulama didalam PAS bagi mereka adalah "obsolete" atau kuno dan telah ketinggalan zaman. Ulama-ulama di dalam PAS tidak dapat diterima oleh kaum India dan Cina. Bagi mereka, kalau kita hendak melihat PAS terus relevan dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat maka kita hendaklah menukar kepimpinan ulama di dalam PAS. Inilah propaganda bahaya yang sedang dirancang oleh kumpulan Erdogan tanpa kita sedari"

Penulis turut mendedahkan bahawa kumpulan Erdogan ini bukan setakat mula berani mengkritik kepimpinan ulama tetapi dalam masa sama berusaha membawa PAS menjadi Islam liberal, misalnya bersekongkol dengan konsert artis tunjuk bontot. Dalam konsert artis tunjuk bontot itu, Dr Hatta Ramli yang menjadi ketua, manakala Anwar menjadi pemidato utama. Kepimpinan tertinggi PAS tidak hadir, walaupun sebelum ini Dr Hatta sendiri memberi jaminan bahawa Timbalan Presiden PAS akan hadir berpidato bersama-sama dengan ketua de facto PKR.

Membaca lanjut artikel di atas, klik di sini

Erdogan gigit Presiden PAS

Seterusnya blog itu mendedahkan bahasa panggilan kurang ajar Khalid Samad "beraku dan engkau " kepada Presiden PAS.

Tulisnya, "Kesimpulannya PAS kena buang dan turunkan pimpinan yang kurang ajar seperti beliau yang tidak melambangkan keperibadian Parti Islam. Lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri tidak ada rasa hormat sehingga bertindak menghina dan merendah-rendahkan martabat seorang ulama besar seperti Tuan Guru Presiden PAS sendiri dengan perkataan "aku engkau"

Dalam kes perbalahan antara wakil DAP, Chong Eng dan wakil PKR Zulkifli Nordin mengenai forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam, Khalid Samad pula menyebelahi wakil DAP.

Tulisnya, "Zulkifli Nordin mempertahankan rasional tindakannya bersama dengan penunjuk perasaan untuk menghentikan forum tersebut atas dasar mempertahankan agama Islam, si Khalid senang-senang mencelah dan cuba memenangkan dan mempertahankan Chong Eng yang mempertikaikannya. Hinggakan Chong Eng berterimakasih dan meminta orang lain mencontohi Khalid Samad yang beliau gelarkan "Islam Moderate". Nampaknya Khalid Samad lebih takutkan DAP dan tindakan disiplin Lim Guan Eng daripada takutkan ALLAH! klik di sini


Khalid dikatakan berterusan merendahkan martabat dan kedudukan Tuan Guru Presiden. Khalid turut memperlekehkan soal solat istikharah sedangkan itu merupakan satu ciri kealiman pemimpin gerakan Islam.

Kata penulis jika "Khalid tak pernah buat istikharah jangan pula pertikaikan istikharah Tuan Guru. Apabila orang alim atau para wali beristikharah dan membuat keputusan, Allah bersama mereka dan Allah lah yang memberikan mereka petunjuk. Pemimpin Jamaah Islam bukan membuat keputusan berdasarkan akal dan strategi orang-orang macam Khalid semata-mata. Kalau dah Tuan Guru beristikharah dan Allah telah tunjukkan kepadanya betapa relevannya Surah Al-Anfal tersebut sebagai hujjah dan dalil terhadap isu muzakarah dengan UMNO - apa lagi yang Khalid dan geng "Erdogan" yang lain mahukan??? " klik di sini

Khalid juga memperlekehkan PAS Terengganu. Kata penulis, satu isu yang sering dimainkan oleh kumpulan Erdogan ialah “PAS Trengganu”. Dimana-mana mereka cuba memperlekehkan PAS Trengganu. PAS Trengganulah yang bawa idea muzakarah dengan UMNO, PAS Trengganulah yang paling tak pandai berstrategi, PAS Trengganu tidak pandai memerintah negeri, sikap PAS Trengganulah yang menjadi punca tewasnya PAS di Trengganu dan macam-macam lagi keburukan PAS Trengganu dicanang merata-rata.

Penulis persoalkan, "Apakah tujuan serangan ini sebenarnya??? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyerang dan memperlekehkan Tuan Guru Presiden yang datang daripada Trengganu dan pernah memimpin PAS Trengganu. Apa yang hendak ditonjolkan ialah Tuan Guru Presiden sebenarnya tidak mampu memimpin. Kalau di Trengganu pun gagal macam mana nak memimpin PAS satu Malaysia". Klik di sini

Usaha menjatuhkan Presiden PAS

Seterusnya penulis membuat hipotesis bahawa perkara utama yang menjadi hala tuju kem Erdogan adalah menumbangkan Presiden PAS. Turut disebut nama Dr. Zulkifli Ahmad ( dikenali Abu Iman yang merupakan pengarah Pusat Penyelidikan PAS) yang pernah berkata bahawa pemilihan PAS tahun depan akan berlaku pertembungan yang hebat di antara kumpulan profesional yang cenderung kepada ulama dengan kumpulan profesional yang inginkan perubahan (Erdogan).
Dr Zulkifli Ahmad (paling kiri) terlibat secara aktif dalam Projek 16 September, anjuran Anwar

Penulis mempersoalkan "Apa maksud ramalan Dr Zul ini...hanya dia sahaja yang tahu. Ramai orang tidak tahu di sebalik kelembutan watak Abu Iman ini - dialah sebenarnya diantara perancang utama kumpulan Erdogan"

Seterusnya penulis menyenaraikan sembilan strategi yang digunakan oleh kumpulan Erdogan untuk menjatuhkan Presiden, iaitu; Melagakan Mursyidul Am dengan Tuan Guru Presiden, menggunakan pengaruh Mursyidul Am, merendahkan taraf dan martabat kepimpinan ulama PAS, menyerang kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi yang dilabel PAS Terengganu, menggunakan kaedah “pre-empt” dengan mengembar-gemburkan perancangan membawa PAS masuk UMNO, menggunakan blogger 'upahan', menggunakan harakah dan harakahdaily, membeli sokongan negeri dan kawasan dan memujuk Presiden melepaskan jawatan. Klik di sini

Instrumen parti diguna untuk agenda peribadi

Intrumen paling penting PAS adalah Harakah dan Harakahdaily. Namun di sana juga salah seorang team Erdogan yang paling senior yang menjadi pegawalnya. Orang yang dimaksudkan itu adalah Kamaruddin Jaafar (Dato KJ), kawan paling setia Anwar Ibrahim.

Kata penulis, Harakah ialah lidah rasmi PAS. Ianya dibaca oleh majoriti ahli-ahli PAS seluruh Malaysia. Mempengaruhi dan menguasai Harakah termasuk Harakahdaily menjadi agenda utama kumpulan Erdogannya. Pengarah Urusan Harakah sekarang ini ialah Dato’ KJ. Kita dah sedia maklum siapakah Dato’ KJ dan siapakah bosnya. Sebab itulah Dato’ KJ secara terbuka selalu tidak bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Presiden yang sepatutnya menjadi bosnya. Dalam banyak hal beliau cuba mempengaruhi Ahmad Lutfi sebagai Ketua Pengarang Harakah untuk menyiarkan yang tidak sepatutnya dan tidak menyiarkan yang sepatutnya disiarkan. Manakala Harakahdaily pula diurus oleh Rashidi Hassan yang telah berjaya di ‘beli” oleh kumpulan Erdogan. Sebab itulah berita dalam Harakahdaily hanya berkisar mengenai aktiviti dan kehendak mereka terutamanya mengenai Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim.

Satu lagi instrumen parti adalah akhbar SIASAH. Pada zahirnya kepunyaan penulis buku politik terkenal, Mohd Sayuti Omar(MS0), tetapi pada hakikatnya digerakkan oleh Zulkifli Sulong, bekas ketua pengarah Harakah yang dikatakan pro Erdogan.

Walaupun pada pada zahirnya ditulis MSO adalah Ketua Pengarang, tetapi Ramli Abd Halim mendedahkan dalam blognya (melikapakjagak) bahawa nama MSO hanya digunakan dan beliau dibayar secara bulanan sebanyak RM6000 oleh team Erdogan. Ramli mendedahkan maklumat itu sebagai justifikasi alasannya menarik balik permit Wasilah yang hanya dibayar RM1000 sebulan. Ekoran pendedahan itu, beliau mendapat surat saman dari team Erdogan dan blognya dihack. Klik di sini

Projek 16 September mengundang padah

Projek 16 September yang dilaungkan Anwar disambut dengan penuh semangat oleh Husam Musa, Kamaruddin Jaafar, Khalid Samad dan Dr Zulkifli Ahmad. Di sini bermula keretakan dan di sinilah watak-watak Erdogan semakin menampakkan wajahnya.

Penulis blog anti-Husam juga menghentikan operasinya dengan posting terakhir bertajuk, "Sah Anwar Menipu" pada 2 Oktober 2008, sebagai tembakan peluru terakhirnya, setelah kegagalan Anwar Ibrahim mengotakan janjinya menukar kerajaan pada 16 September.


Penulis memulakan ayat dengan, "Saya ingat Anwar dah berubah....rupa-rupanya tidak. Kalau dalam UMNO dulu, menipu dan mungkir janji dah jadi budaya. Ingatkan bila dah keluar UMNO dan bersama PKR dan PR beliau dah berubah lebih-lebih lagi bila selalu berdamping dengan para ulama di dalam PAS. Rupa-rupanya budaya tersebut telah menjadi darah daging beliau hingga sukar untuk dibuang.."

Seterusnya penulis menambah, "Satu dunia tahu yang Anwar berjanji dengan rakyat Malaysia bahawa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat akan dibentuk pada 16 September, 2008. Anwar dah janji dengan DAP, Anwar dah janji dengan PKR, Anwar dah janji dengan PAS dan ahli-ahli mereka bahawa kerajaan akan bertukar pada 16 Sept. Habis semua orang gelabah lebih-lebih lagi UMNO. Habis semua orang mengharap lebih-lebih lagi pemimpin yang kemaruk pangkat dalam PAS. Dah ada dikalangan pemimpin PAS sendiri dah mula pasang angan-angan nak jadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Terlalu banyak masa dan tenaga dibuangkan untuk berbincang berkenaan pembentukan kerajaan baru sehingga PAS hampir atau dahpun berpecah. Hinggakan wala' dan taat kepada pemimpin sendiripun dah beralih arah. Hinggakan pandangan Presiden sendiripun dipertikaikan. Hinggakan matlamat menegakkan negara Islam pun dikesampingkan. Dan yang lebih parah....hinggakan ayat AlQuran pun sanggup di "tapi" kan." klik di sini

PAS bermukim di Langkawi

Akhbar Siasah yang memulakan kempen agar PAS mengambil langkah drastik untuk mencantumkan kembali perpecahan PAS ekoran kegagalan projek 16 September. Satu retreat kepimpinan PAS telah diadakan di Langkawi pada 7 hingga 9 November. Klik di sini

Malaysiakini melaporkan krisis kepimpinan Selangor mula didedahkan dalam retreat Lankawi itu. Dikatakan, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali didakwa membentang laporan yang mengkritik pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat di negerinya.

Dikatakan hasil daripada resolusi itu, PAS memulakan era baru dengan mempergiatkan semula program tarbiyah sebagai kunci kekuatan PAS itu. Klik di sini

Strategi memperkasakan tarbiyah ini pernah disebut oleh Mustafa Ali pada tahun 1982, ketika itu menjawat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Mustafa Ali berkata demikian apabila melihat gerakan Islam terbelah dua, ekoran kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO.

Selepas retreat Langkawi itu juga maka bermulalah pemecatan Khalid Samad dan Saari Sungip, yang dikatakan oleh pengalisis politik sebagai isyarat awal daripada kepimpinan PAS, membersihkan semua 'tangan-tangan hitam' dari luar yang sedang mengawal PAS..klik di sini

Perancangan Anwar bermula di Munich

Anwar Ibrahim sendiri pernah berkata kepada wartawan Barat di Munich pada 2004, bahawa beliau tidak berminat menyertai UMNO atau PAS tetapi lebih berminat untuk meletakkan 'tangan-tangannya' di kedua-dua parti itu agar menjadi lebih liberal dan demokratik. Lihat video di bawah ini untuk memahami modus operandi Anwar ke dalam PAS dan UMNO.

Barangkali kata-katanya benar, kerana sehingga kini beliau hanya menjadi ketua de factor PKR walaupun pada hakikatnya beliau layak menjadi Presiden PKR. Malah Anwar pernah diramalkan menjadi Presiden PAS pada tahun 70-an dan menjadi Presiden UMNO pada tahun 1998, tetapi kedua-dua andaian itu tidak menjadi kenyataan hingga kini.

AIDC
23 Disember

Artikel lain berkaitan :

1. Memahami serangan anai-anai Erdogan

KARPAL SINGH 'HARIMAU TIDAK BERTARING'

Ha...ha...

Pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh bagaikan ‘Harimau Tidak Bertaring?”

Siapa kata? Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Samy Vellu menyelar Pengerusi DAP dan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, mendakwa Karpal telah bertukar menjadi "harimau tidak bertaring" apabila menyatakan sokongan DAP terhadap PAS pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan.

"Harimau (Karpal Singh) kelihatan sudah menyerah kalah kepada PAS," kata Samy Vellu dalam kenyataan, merujuk kepada perbezaan pendapat antara DAP dan PAS mengenai penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum Hudud.

Karpal, dikenali sebagai "Harimau Jelutong", begitu lantang berhubung dua isu itu, tidak bersetuju dengan pendirian PAS yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hukum Hudud.

Walaupun DAP dan PAS tidak sependapat dalam dua isu itu, mereka adalah sebahagian Pakatan Rakyat, pakatan pembangkang yang juga termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pakatan Rakyat akan mengumumkan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 1 Jan dan kesemua tiga parti pembangkang telah berikrar untuk saling bekerjasama dalam usaha untuk menawan kerusi itu daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Semalam, Samy Vellu mencabar Ketua Pembangkang dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

"Karpal Singh sepatutnya konsisten dalam pendirirannya (mengenai hukum hudud) dan bukan menjadi boneka PAS.

"Ini (persetujuan untuk bekerjasama untuk memenangi kerusi itu) menunjukkan yang beliau (Karpal) dan partinya (DAP) akan akur dan mengenepikan prinsip mereka demi untuk memastikan kemenangan calon pembangkang," kata Presiden MIC itu.

Beliau berkata DAP perlu memberikan penjelasan kepada rakyat, terutamanya kaum Cina, mengenai percanggahan pendapat parti itu mengenai hukum Hudud.

"Karpal tidak sepatutnya membenarkan kewibawaanya terhakis di kalangan kaum India yang telah mengundinya pada pilihan raya umum lepas," katanya.

Sunday, December 28, 2008

ERDOGAN + KLON vs ULAMA

Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)

Sambil minum pagi di Rusila Coffee House, Hotel Primula, pagi ini (Ahad lalu) saya bersembang dengan beberapa kawan wartawan dan orang politik.

Tajuknya adalah siapa lawan siapa. Atau lebih jelas, siapa akan berdepan dengan Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, 28 November lepas.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Razali selaku penyandang, menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu ini sentiasa menjadi medan tempur tradisi antara BN (UMNO) dan PAS, dengan kedua belah pihak sentiasa melayannya penuh cermat dan berhati-hati.

Jawatankuasa PAS Pusat hari ini mengadakan mesyuarat untuk menentukan bakal calon. Selepas nama calon dipilih, PAS akan serahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Persoalannya, sejauh manakah berkuasanya Majlis Syura itu atau apakah nama itu perlu dipersetujui oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga kebetulan pemimpin PAS di Terengganu?

Hadi sudah menyatakan, walau apa sumber – termasuk blog- bagi menilai calon yang akan dikemukakan, akan diberikan perhatian dan pandangan.
Bagi saya, walau siapa juga yang dipilih menjadi calon PAS, rasa tidak puas hati dan pertelingkahan akan berlaku!

Kenapa saya katakan demikian?

Perhatikan, siapa yang mempengaruhi Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menonjolkan nama Mohamad Sabu (Mat Sabu) awal-awal lagi.

Kenapa Nik Aziz membuat cadangan terlalu awal sehinggakan PAS Terengganu terpaksa ‘membuka pencak bersilat’ (berdiplomasi) dalam menimbang cadangan Nik Aziz itu.

Tidakkan kumpulan ‘Erdogan’ dan klon yang mempengaruhi Nik Aziz supaya cepat-cepat menonjolkan calon pilihan mereka?

Ada pendapat daripada kalangan PAS sendiri mengatakan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di belakang tindakan ‘melatah’ Nik Aziz itu.

Husam diketahui harapan dan plan besarnya – menjadi Presiden PAS dan jika calon tajaannya dipersetujui, dia akan berhabis-habisan kempen. Jika tidak, jawapnya pandai-pandailah PAS Terengganu.

Walaupun sukar, PAS Terengganu jelas sekali awal-awal lagi menolak Mat Sabu yang dicadangkan oleh Nik Aziz itu. Ada tiga calon ditonjolkan iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Wan Mutalib Embong muka baru, Mohd Khazani Abdullah, seorang ahli perniagaan dan anak didik Harun Taib.

Walaupun Mohd Khazani dilihat termasuk dalam kumpulan Erdogan, dia masih boleh diterima oleh kumpulan ulama PAS.

Maknanya, Terengganu ada calonnya sendiri dan tidak payahlah ambil orang luar untuk bertanding. Dengan kedudukan itu pintu tertutup rapat untuk Mat Sabu.

Namun nama Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi, turut diapung-apungkan selepas nama Mat Sabu makin lesap.

Syed Azman dikenali rapat dengan Husam dan ia adalah antara ahli ‘Erdogan’.

Hadi menyembunyikan sesuatu apabila berkata ketokohan seseorang pemimpin itu penting memandangkan pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah bandar raya, dengan kemudahan infrastruktur bukan menjadi masalah kepada pengundi.

Ia hanya sebagai ‘menutup api dalam sekam’ yang sedang membakar PAS gara-gara tekanan puak Erdogan berkenaan.

Kerana itu diminta mengulas pandangan Nik Aziz yang terus-terusan berharap Naib Presiden parti itu, Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu, Hadi berkata setiap PAS negeri mempunyai pandangan mereka sendiri.

"Kita dengar semua pandangan. Sebagai presiden, saya tidak mempunyai halangan jika Mohamad Sabu dicalonkan. Tetapi, akhirnya keputusan dibuat oleh suara majoriti," katanya.

Daripada penjelasan Hadi itu, ternyata bahawa Hadi mengelak daripada bertelingkah secara terus dan terbuka dengan Nik Aziz. Ini menggambarkan suasana tidak sihat dalam PAS ketika ini kerana kedua-dua puak – Erdogan + Klon sedang berperang dengan puak ulama Terengganu yang berusaha menonjolkan calon mereka.

Yang menariknya, kumpulan Erdogan kini benar-benar berharap Syed Azman diterima selepas usaha menonjolkan Mat Sabu tidak berjaya.

Sementara kumpulan yang lagi satu – diketuai oleh Hadi – berharap calon mereka sama ada Mustapa atau setidak-tidaknya Khazani akan menjadi pilihan.

Tarik tali dan perbezaan pendapat ini sudah pasti tidak menguntungkan PAS dan akan menjadikan usaha BN untuk mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan menjadi lebih mudah!

Hakikatnya, Kuala Terengganu bukanlah kerusi yang selamat sama ada bagi BN atau pembangkang. Ia berubah tangan beberapa kali. BN menang pada 1986, 1990, 2004 dan 2008, tetapi Parti Melayu Semangat 46 memenangi kerusi itu pada 1995 manakala PAS pula menang pada 1999.

Pada pilihan raya umum tahun ini, PKR dan PAS sama-sama mengutip 33,729 undi bagi empat kerusi di Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Kuala Terengganu atau 1,795 undi lebih daripada kerusi Parlimen yang ditandingi calon Mohd Sabu.

Ini bermakna BN memperoleh 50 peratus daripada undi Parlimen dan 48.3 peratus daripada undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Walaupun PR hanya memenangi 49 peratus daripada undi persekutuan bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, ia menguasai pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan yang sama dengan memenangi 51.7 peratus.

Apapun, menurut sumber PAS, sehingga pagi ini, calon yang dijangka menentang Wan Farid ialah Mustapa dan kalau ada perubahan yang dibuat, maknanya PAS Terengganu terpaksa mengalah kepada tuntutan pihak-pihak Erdogan dan Klon yang dilihat semakin berpengaruh dalam PAS.

Dalam konteks UMNO dan BN, mereka sebenarnya jelas tidak mengharapkan PAS bertelingkah kerana calon mereka – Wan Farid – diterima oleh semua pihak dalam BN dan semua 103 cawangan UMNO dalam Bahagian UMNO Kuala Terengganu.

Setiap ahli UMNO di Kuala Terengganu mahu melihat ‘bos’ mereka yang kini sudah masuk penggal kedua sebagai Ketua Bahagian dipilih sebagai calon Parlimen bagi meneruskan kerja-kerja dan khidmat untuk rakyat seperti ditunjukkan oleh Allahyarham Razali sebelum ini.

Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Markas Tarbiyah Pas Kuala Terengganu semalam mengatakan PAS sudah mengenal pasti seorang profesional sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagaimanapun namanya hanya akan diumumkan 1 Januari ini.

Dengan tempoh masa seminggu lagi, apa-apa sahaja boleh berlaku.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, calon pilihan Pas itu mempunyai ketokohan dan lebih berkelayakan untuk menang berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Kita sudah ada calon... dalam poket saya. Insya-Allah... tunggu 1 Januari depan.
Beliau seorang profesional dan berjiwa rakyat,” kata Hadi?

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Ditanya adakah calon yang dipilih itu dari kalangan anak Terengganu atau Mat Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, perkara itu akan diketahui 1 Januari ini.

Hadi boleh kata apa sahaja, tetapi hakikatnya Wan Farid adalah peguam dan sudah memasuki penggal kedua sebagai Ketua Bahagian. Jangan lupa, beliau juga adalah Timbalan Menteri.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Wan Farid pasti dapat memberikan sepenuh tumpuan untuk memastikan kemenangan parti.

Beliau berkata, pemilihan tersebut juga akan mengelakkan timbul sebarang masalah dalaman parti sepanjang kempen berlangsung.

"Parti yakin sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya. Sekiranya calon bukan ketua bahagian, ia agak sukar sedikit untuk memberikan kerjasama dengan parti," katanya.

Juga penting, calon BN akan menyambung legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Usaha gigih terutama dalam memajukan bidang pendidikan di Terengganu yang dilakukan bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu memerlukan kesinambungan oleh pengganti yang benar-benar ingin merubah masa depan penduduk di situ.

“Allahyarham telah meninggalkan nama baik di Kuala Terengganu, dengan memberi penekanan bagi memajukan modal insan di Kuala Terengganu. Cintanya kepada bidang pendidikan amat mendalam.

“Pantang bagi beliau sekiranya ada anak-anak di sini yang gagal masuk universiti kerana tidak ada wang. Allahyarham sering cakap kepada saya, hidupnya didedikasikan kepada bidang pendidikan,” Wan Farid.

Apapun, isu paling ketara sebelum ini iaitu PAS Terengganu mahukan calon tempatan tetap diperkatakan.

Malah, persoalan lebih besar ialah apakah PAS mampu mendinginkan pertentangan antara kumpulan Erdodan + Klon melawan kumpulan ulama khususnya di Terengganu.

Pertelingkahan ini sebenarnya turut memberikan kesan kepada kerjasama mereka dengan komponen Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia bukan sekadar pemilihan calon tetapi akan terbawa-bawa sehingga kempen.

Sudah pasti dalam kempen PAS dan usaha merampas kerusi ini daripada BN, akan ada perbuatan ‘main belakang’, sabotaj dan ‘cas keting’.

Jika kita ingat kembali, siapa bermati-matian di Permatang Pauh? Mereka adalah kumpulan Erdogan + Klon, khususnya Datuk Husam Musa. Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup bertongkat pada hari penamaan calon.

Di mana pula kumpulan ulama ketika itu?

Ini bermakna kemungkinan tetap ada bahawa PKR, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan ‘memboikot’ PAS jika kumpulan ulama berjaya mempengaruhi Majlis Syura PAS untuk meletakkan calon bukan Erdogan.

Jadi di Kuala Terengganu ini, berdasarkan kriteria yang diumumkan itu Hadi itu, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) kini terkeluar daripada senarai calon.

Memang persefahaman cuba ditunjukkan oleh PAS melalui pertemuan-pertemuan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Anwar. Namun, Anwar jelas lebih selesa dengan kumpulan Husam + Nik Aziz.

Bagaimanapun, rasanya jika Mat Sabu tetap dipilih menjadi calon, ini juga akan menggugat kehadiran Anwar untuk berkempen.

Kenapa?

Semuanya gara-gara “Al Juburi”. Mat Sabu pernah menggelarkan Anwar “Al Juburi” dan semua orang PAS dan UMNO dengar dan tahu panggilan Mat Sabu terhadap Anwar.

Mungkin sekarang Mat Sabu tidak lagi menggunakan gelaran itu tetapi mungkin meninggalkan kesan mendalam terhadap Anwar, apalagi gelaran itu sepopular “Mahazalim” dan “Mahafiraun” terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipopularkan oleh Parti Keadilan Rakyat dan PAS.

Apa pun sebelum ini Mat Sabu tetap menaruh harapan beliau akan terpilih apabila, Nik Aziz berharap parti itu terus mengekalkan Mat Sabu sebagai calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Mursyidul Am PAS yakin Mat Sabu yang juga Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti. Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Mat Sabu, calon yang kalah dalam pilihan raya umum lalu bagi kerusi berkenaan berkata pada 11 Disember lalu , beliau akan tetap memberi sokongan kepada siapa sahaja calon yang dipilih parti itu untuk bertanding pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Dan kini selepas nama Mat Sabu semakin tenggelam, nama lain kumpulan Erdogan + Klon ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi, bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu sepenggal (1999-2004).

Syed Azman memang dianggap antara intelektual PAS tetapi PAS Terengganu melihat contribution kepada parti dalam konteks Terengganu agak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kuatnya pengaruh kumpulan ulama di negeri berkenaan, berbanding kuatnya pengaruh Erdogan + Klon di Kelantan.

(Saya akan membandingkan PAS Terengganu dan Kelantan dalam posting akan datang)

Bagi kumpulan ulama di Terengganu, mereka mempunyai calon yang dianggap paling sesuai, iaitu Datuk Mustapa Ali dan Wan Mutalib Embong.

Seorang lagi calon ialah kombinasi “Erdogan + Ulama’ ialah tetapi dekat paling dekat dengan kriteria disebut Hadi semalam ialah seorang ahli perniagaan yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Khazani Abdullah.

Kalau mengikut Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) PAS ada dua nama sahaja, iaitu selain Mustafa Ali ialah Dr Khazani. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja, itu kata Sayuti.

Saya sebenarnya lebih merasakan Dr Khazani akan terpilih walaupun Sayuti lebih memilih Mustafa.

Bagi Mat Sabu:"Saya akan tetap sokong siapa jua calon yang dipilih oleh parti," katanya mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani yang mahukan bakal calon PAS terdiri daripada anak tempatan.

Mat Sabu sebagai veteran PAS berkata perkara tersebut biasa berlaku dalam parti dan sesiapa sahaja boleh mengemukakan pandangan dalam isu berkenaan.

KE MANA HALUAN S MANIKAVASAGAM?

Keputusan keluar Parti Keadilan Rakyat adalah muktamad! Tetapi haluan mana yang dituju oleh Ahli Parlimen Kapar ini?

Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad.

Ia dianggap sebagai hadiah tahun baru kepada PKR. Kata Manikavasagam: “...kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya.”

Jelas sekali Manikavasagam sudah berkerat rotan dan bakal mengumumkan pendirian secara rasmi untuk keluar dari PKR sebelum Rabu ini. “Keputusan ini memang satu tindakan yang keras dan sudah membuat keputusan muktamad. Ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti,” kata Manikavasagam.

Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.

Manikavasagam, adalah antara antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

“Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain). “Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya,” kata beliau.

Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat. Menurutnya, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan. Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.

“Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu,” katanya.

“Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain. Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Negeri, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.

Tuesday, December 16, 2008

JERIT – APA PULA SELEPAS INI...

Apakah yang dimahukan oleh Jerit?

Mahu apakah kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Jerit ini? Siapa yang tertindas?
Benarkah ada masyarakat di Malaysia yang tertindas?

Maaflah, Jerit tidak dianggotai oleh pelbagai kaum dan apabila gambar-gambar yang disiarkan hanya menunjukkan satu kaum sahaja, persepsi terhadap Jerit akan pelbagai.

Dalam konteks ini, Jerit ini mahu tunjuk kekuatan atau mendapat simpati?

Lebih menyerlah, yang menaja dan menganjurkan kempen berbasikal ini, apakah mereka ada permit?

Jerit mengatakan mereka mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen dijadualkan Khamis ini.

Apakah ibu bapa membenarkan anak mereka yang beusia di bawah 18 tahun?
Semalam Polis Kajang membenarkan 28 penunggang basikal yang berusia di bawah 18 tahun, untuk meneruskan kayuhan kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan".

Laporan Malaysiakini, menyebut pada awalnya, pihak polis mengarahkan mereka - yang memulakan kayuhan di Johor - supaya melaporkan diri di balai polis Bangi.

Menurut penganjurnya - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) - pihak polis mahu menyemak butiran diri mereka dan memastikan sekiranya penyertaan mereka dibenarkan oleh ibu bapa masing-masing.

Sebahagian pengayuh terbabit berusia antara 16 hingga 17 tahun.

Kumpulan dari arah Selatan, telah memulakan pengayuhan mereka dari estet Denudin menuju ke estet Bangi Lama pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam perjalanan, mereka disekat oleh pihak polis di estet Bangi Lama pada kira-kira jam 11.30 pagi.

Suaram mengutuk tindakan polis itu dan menuntut supaya kumpulan itu dibenar meneruskan perjalanan mereka.

Ahli sekretariat Jerit, K Bawani, ketika dihubungi berkata, pihak polis menunggu di pintu masuk estet tersebut, kerana mereka tidak boleh masuk ke kawasan persendirian.

Katanya, sebuah van polis mengekori penunggang basikal berkenaan sepanjang jalan dari Johor, manakala 14 kenderaan polis "mengiringi" mereka apabila mereka tiba di Semenyih semalam.

"Mereka (polis) mengekori kami sepanjang jalan tetapi mereka tidak membuat sebarang tangkapan hingga sekarang... kami sedang berunding dengan pihak polis dan telah meminta mereka supaya membenarkan penunggang basikal makan tengahari sebelum pergi ke balai polis," katanya pada kira-kira jam 1 tengahari.

Penyelaras Jerit, S Arutchelvan berkata pihak polis kemudiannya berlembut dan membenarkan penunggang basikal itu makan tengahari, sementara menunggu ketibaan ibubapa mereka.
Jerit telah menghantar beberapa peguam ke estet Bangi Lama.

Pada jam 3 petang, Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mengesyaki pihak berkuasa merancang untuk mendakwa mereka yang terbabit dalam kempen "Rakyat Pengayuh Perubahan" di bawah Akta Kanak-kanak, kerana membabitkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Bon juga berkata, pihak polis bertegas bahawa mereka tidak menahan penunggang basikal tersebut.

Sementara di RAWANG, seramai 57 individu termasuk 28 remaja dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ditahan polis kerana menyertai kempen 'Rakyat Pengayuh Perubahan' anjuran Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) di sekitar Sungai Choh di sini kira-kira pukul 6 petang semalam.

Turut ditahan adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nie daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR)dan anggota Parlimen Sungai Siput, Dr D. Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bernama yang memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, penahanan kumpulan berbasikal tersebut terpaksa dibuat bagi menghentikan dan mengelakkan kanak-kanak daripada dieksplotasi oleh pihak tertentu.

"Polis bertindak demikian bagi menyelamatkan kanak-kanak ini daripada dianiya dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sedangkan ketika kanak-kanak tersebut memberi keterangan, mereka memberitahu bahawa mereka tidak tahu menahu mengapa disuruh ikut serta dalam perarakan berbasikal tersebut," katanya di Balai Polis Rawang malam tadi.

Beliau berkata polis akan menghubungi ibu bapa kesemua kanak-kanak dan remaja berkenaan supaya meminta mereka membawa pulang anak masing-masing sekaligus menyiasat sama ada kesemua mereka telah mendapat kebenaran daripada ibu bapa masing-masing atau tidak.

Katanya pada sesi soal siasat itu juga, Dr. Jeyakumar mengaku sebagai penganjur kempen itu.
Khalid berkata mereka ditahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak dan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 kerana membuat perhimpunan haram.

Friday, December 12, 2008

EU KAGUMI KERAJAAN PUSAT, BUKAN NIK AZIZ

Alahai harakahdaily. Kalaupun mahu mengampu, biar berpada-pada.

Tajuk berita harakahdaily 11 Disember 2008, menyimpang jauh dan begitu juga dengan paragraph pertama tulisan Mohd Nor Yahya bertajuk Presiden Kesatuan Eropah kagumi kepimpinan Nik Aziz.

Portal rasmi PAS itu melaporkan “Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan. Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.”

Setakat itu sahaja tanpa adanya petikan kata-kata Barety, berita seperti ini tidak valid. Ia hanya tanggapan atau sifat mengada-gada penulisnya sahaja.

Kalau pun mahu memuji, biarlah bertempat bukan mengampu sembarangan.

Yang dilaporan harakahdaily seterusnya ialah delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.

Sementara itu di sidang media, Nik Aziz berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Apa yang diucapkan Barety dilaporkan sepenuhnya melalui Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com semalam (11 Disember 2008) dengan tajuk “Malaysia Tetap Pilihan Pelabur).

Saya perturunkan artikel berkenaan:

MALAYSIA TETAP PILIHAN PELABUR

Kijang Jantan (http://kijang-jantan.blogspot.com (11 Disember 2008)

Ada orang mengatakan ekonomi Malaysia menghadapi zaman suram kalau Barisan Nasional (BN) terus memenrintah.

Kijang mahu tunjukkan betapa pendapat sedemikian silap.

Kesatuan Eropah (EU) tetap percaya negara ini masih merupakan destinasi terbaik untuk melabur dan berdagang walaupun dunia dijangka mengalami kemelesetan pada tahun depan.

Duta Perancis ke negara ini, Marc Baretty berkata, ia disebabkan langkah Malaysia yang membuat persedian rapi bagi menghadapi kemelesetan dan kebolehan negara ini untuk menghadapinya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia diyakini oleh negara-negara EU dan masyarakat pedagang benua itu yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan negara ini disebabkan pendekatannya yang mesra pelabur.

"Banyak perkara perlu dilakukan di seluruh dunia untuk menghadapi kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun depan.

"Tetapi Malaysia telah membuat persediaan terbaik untuk menghadapinya dan negara ini adalah tempat terbaik untuk melabur dan berdagang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat duta negara-negara EU ke atas kerajaan negeri di Kota Darulnaim di Kota Bharu baru-baru ini.

Delegasi tersebut disertai seramai 18 orang duta semalam. Perancis mengetuai negara-negara EU di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum ia digantikan oleh negara Eropah yang lain.

Utusan Malaysia memetik Baretty sebagai berkata, EU menjadi negara pengeksport utama Malaysia pada bulan Februari lalu, sekali gus mengatasi eksport Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama.

"Biarpun dalam siri lawatan ini kami tidak membincangkan mengenai ekonomi tetapi kami tetap akan melihat peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan. Kami memerlukan sebuah unit perancangan ekonomi dalam masa terdekat, baru isu ini akan dibincangkan.

"Negara Eropah adalah penyumbang utama eksport negara ini dan ia akan terus berkembang di masa akan datang," katanya.

Selain itu, sikap dedikasi dan kesetiaan yang tinggi terhadap kerjaya di kalangan pekerja tempatan telah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat asing.

Ketua Pasaran bagi Malaysia dan Singapura, Towers Perrin, Michael Drawhorn berkata, faktor itu membantu para pekerja akan memiliki kadar motivasi, kreativiti dan pengetahuan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing.

Malah, kata Drawhorn, mereka sanggup meluangkan lebih masa untuk memastikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Sehubungan itu, kata beliau, ia dilihat sebagai penyumbang positif kepada operasi perniagaan dan keputusan kewangan syarikat berkenaan.

''Berdasarkan kepada faktor tersebut, pasaran Malaysia kini lebih kompetitif untuk menarik pelaburan terus asing," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Drawhorn berkata, keputusan itu diperoleh hasil kajian Tower Perrin Global Workforce Study 2007/2008 yang kini diedarkan kepada umum.

Kajian yang dimulakan pada akhir tahun lalu itu adalah projek penyelidikan pengurusan sumber manusia global terbesar yang membabitkan 90,000 responden dari 21 buah negara termasuk 800 kakitangan dari Malaysia yang meliputi pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, Drawhorn menerangkan bahawa, antara faktor yang menyebabkan pekerja tempatan setia kepada syarikatnya adalah kerana peluang kerjaya yang lebih baik bakal ditawarkan pada masa depan.

''Bagaimanapun, mereka masih akan mencari peluang pekerjaan baru sekiranya peluang peningkatan kerjaya itu adalah terhad,'' ujarnya.

Katanya, penyumbang lain pula ialah pekerja tersebut mengetahui mengenai hala tuju perniagaan syarikat masing-masing dan mengetahui mengenai komitmen pihak pengurusan untuk mengukuhkan kedudukan syarikat termasuk prestasi kewangannya.

''Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pembayaran gaji dan pelbagai insentif kepada mereka,'' katanya.

Tambah beliau, pekerja yang berdedikasi ini akan setia kepada organisasi masing-masing sekiranya pihak pengurusan sentiasa berusaha menyediakan latihan dan pelbagai program ilmiah kepada pekerja untuk meningkatkan prestasi kerja mereka.

''Kesungguhan syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat juga adalah salah satu faktor yang turut diambil kira bagi menentukan kesetiaan pekerja kepada syarikat,'' terangnya.

Tower Perrin adalah firma global yang terkemuka dalam bidang pengurusan pembangunan sumber manusia yang menyediakan perkhidmatan profesional global.
Firma tersebut membantu organisasi meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing melalui pengurusan kakitangan yang efektif, kawalan risiko serta pengurusan kewangan.

Thursday, December 11, 2008

INGATAN, SEORANG HAMBA DI KAKI BUKIT ANTARABANGSA

wan_jtk dalam tranungkite.net hari ini cuba membuka minda apabila bertanya kenapa harus aku beri sumbangan? Mereka dah kaya, dah berpunya kereta, rumah dan isteri yang besar.

Kalau susah upahlah kontraktor untuk tolong, kalau dah kaya jangan buat cara orang miskin.

Beliau merujuk kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
wan_jtk seterusnya berkata: “Hartaku sekelumit.... mereka rugi, tapi masih selamat berkoyan-koyan duit dalam bank. Kenapa perlu tolong!!!

Bertambah menyampah dekat semua ribu-ribu mangsa hanya sebab seorang insan menjerit-jerit menyalahkan orang lain. Rasakan kesusahan mangsa berembang yang menderita.”

Katanya, perasaan itu diolah dari pembacaan saya di tranungkite.net tentang perasaan forumer-forumer yang bengang dengan insiden-insiden yang tak berkenan di hati hasil lagak beberapa titik nila di runtuhan bukit antarabangsa.

“EH!!!! Sejak bila pula rakyat malaysia meraikan dendam sengketa antara yang miskin dan yang kaya? Teruk benorr yer kualiti sosial di Malaysia ni. Sang kaya yang beberapa peratus di bukit itu di "padan muka" atas dosa mereka memacak istana di lereng bukit.

Akibatnya yang susah dan merana teruk di sarang merpati bertingkat itu turut terpalit mendapat bala dari kita yang juak dan muak dengan perangai beberapa titik nila itu.

“Rakan-rakan semua, ada seorang insan juga yang mempunyai banglo mewah di lereng bukit di tempat berlainan di kuala lumpur ini........ insan itu juga pemimpin kamu yang kamu segani selama ini. Kenang-kenangkanlah bila mengutuk insan lain, adil-adilkanlah.

Selami dahulu perasaan orang yang mendapat ujian dan musibah walau miskin, kaya, zalim atau baikkah mereka sebelum ini. Kerana ada orang yang kaya dan mempunyai banglo mewah, mungkin jahil tentang kemudaratan ini, tapi mereka mungkin banyak amalannya di sisi Allah, “ kata wan-jtk.

Menurutnya, kerana kita orang yang berjiwa besar, kita harus bantu orang yang susah demi menyebarkan sunnah dan ajaran yang murni tinggalan para rasul. Kalau tak percayakan satu saluran, InsyaAllah akan ada saluran yang lebih jujur dan mendapat kepercayaan kita.

Anggap sahajalah sama perasaan orang yang menjerit dan menyalahkan pihak yang menolong itu sama gelojak dan perasaannya dengan mangsa yang menangis dan bertempik di runtuhan berembang. Mereka mempunyai emosi dan hanya Allah yang tahu betapa rapuhnya emosi itu jika di uji. Fahamilah!!!

Dalam hal berkaitan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad, berkata kerajaan tidak bercadang memberi sebarang pampasan kepada mangsa dan penduduk Bukit Antarabangsa yang terjejas akibat tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo dan mengorbankan empat nyawa, Sabtu lalu.

Sebaliknya, katanya, kerajaan hanya memberi bantuan kebajikan kepada mangsa bagi meringan beban mereka.

Beliau berkata, pendirian kerajaan mengenai pembangunan di lereng bukit jelas iaitu tidak membenarkan sebarang bentuk pembangunan di kawasan berisiko.

Menurut beliau, sebarang keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab memberi kelulusan di kawasan mereka.

"Bagi Kerajaan Pusat, kita hanya bagi bantuan kebajikan ihsan. Pendirian kerajaan juga jelas, perkara ini tidak sepatutnya berlaku, kita sudah beri amaran dan nasihat, sepatutnya PBT ambil tindakan segera (menangani masalah dari awal)," katanya semalam.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri membantu mereka mencari hartanah yang boleh dibeli untuk kediaman baru tetapi belum memutuskan membayar pampasan.

Sunday, November 23, 2008

SAYA BUKAN PENGAMPU KERAJAAN - MUFTI PERLIS


mStar Online (21 November 2008)


MENITI hari-hari terakhirnya sebagai Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (foto) bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.

"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap. Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran.

Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia. Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.

Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain. Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.

Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya. Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam. Selama hampir satu jam temubual di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.

Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi. Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:

BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP?

Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak. Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu.

Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.

ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS?

Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.

ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI

Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas. Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan.

Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira. Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.

MAKSUD DR?

Maksudnya, saya mesti berfikir perancangan yang lain yang lebih besar daripada jawatan Mufti atau saya perlu pastikan banyak lagi Mufti yang begitu, agar perubahan boleh berlaku.

ADA YANG MENGANGGAP PEMERGIAN DR KE UK INI SEBAGAI SATU STRATEGI? DAN ADA YANG KATA DR MENDAPAT TAWARAN LUMAYAN SEKEMBALINYA DARI UK

Tawaran lumayan itu saya ingat, kita tutup dulu cerita itu....

TAPI DR TIDAK NAFIKAN?

Samada lumayan atau tidak, saya tidak melihat lumayan itu sebagai satu istilah dari segi gaji. Saya melihatnya dari segi tanggungjawab dan fungsi.


BAGAIMANA TAWARAN JAWATAN MENTERI?

Itu saya tidak boleh komen kerana perkara itu belum berada ada di depan mata.

ADAKAH TAWARAN KE ARAH ITU?

Tidak boleh dipastikan secara putus. Yang pentingnya ialah untuk seorang menjadi Menteri, dia kena melibatkan diri dengan politik. Dan saya di hari ini bukan ahli politik....

MUNGKINKAH SELEPAS 1 TAHUN KEMBALI?

Itu perkara di hadapan sukar untuk disebut tetapi seseorang membuat perancangan apa yang dirasakan mampu untuk menggerakkan perubahan minda rakyat dan ke arah kefahaman Islam yang lebih tepat dan lebih menyeluruh.

ADAKAH DR TERTARIK KE ARAH POLITIK?

Saya tidak boleh kata samada saya tertarik kepada politik ataupun tidak tetapi saya akan melihat apabila tiba masanya. Adakah penyertaan ke dalam politik ataupun tidak ke dalam politik itu boleh memberikan impak yang memadai ataupun nanti hanya akan mengorbankan segala pemikiran-pemikiran yang telah saya sebut dan cuba saya perjuangkangkan sebelum ini.
Itu satu perkara yang mesti untuk diimbangi senantiasa kerana politik ini...Pertama bila masuk politik orang akan melihat lihat sikap berpihak.

Akan menyebabkan kita memihak sebahagian umat dan meninggalkan sebahagian umat yang lain. Itu harganya sangat besar dan kesannya sangat buruk jika sekirannya tidak di kawal. Di pihak yang lain, kalau sekiranya ada ruang itu, kita hendak kena ukur.

Adakah sekadar memperolehi jawatan ataupun memang dapat meneruskan pandangan-pandangan agenda ataupun tidak? Jika benar kita rasakan sesuai, kita kena fikir sejauh mana kita boleh bawa. Saya tak nak sekadar memenuhi kantung, tidak memberi apa-apa makna. Kalau nak, ia mesti berjaya melaksanakan agenda.


TAPI DR PERNAH TERFIKIR KE ARAH ITU?

Saya berfikir banyak perkara termasuklah perkara itu.

KEMUNGKINANNYA MENJADI AHLI POLITIK?

Itu memerlukan satu kajian yang saya akan buat ketika itu nanti. Saya akan berbincang dengan rakan-rakan perkara itu sesuai atau tidak.

ADAKAH DR PERLUKAN JAWATAN UNTUK MELONTARKAN PANDANGAN BILA BALIK NANTI?

Dalam kehidupan umat Islam ini, ada beberapa perkara pasal tokoh ini. Ada tokoh yang terkenal kerana jawatannya sedangkan dia itu bila dicabut jawatannya, maka he is nothing Ada orang tanpa jawatan, dia dianggap berwibawa.

Ada orang, jawatan dan dia digabungkan sekali barulah kewibawaan itu nampak. Bukan sedikit dalam sejarah pemikiran, munculnya ada tokoh-tokoh tidak mempunyai jawatan, mereka dianggap pemikir besar yang menjadi rujukan. Budaya ini mesti kita hidUpkan dalam masyarakat. Cuma kita ada banyak tokoh agama, sebahagian pergi ke politik dan sebahagian ada kepentingan tertentu.

Keadaan ini hilang. Wujudkan tokoh dengan kemampuannya sendiri dengan pemkirannya yang luas boleh berlaku dalam dunia Islam. Bahkan mufti-mufti yang tidak rasmi lebih terkenal dari mufti-mufti terkenal dalam dunia Islam. Kita tak tahu mufti-mufti dalam negara ini tetapi tokoh-tokoh besar tak tahu apapun jawatannya tapi pemikirannya sangat besar. Ini tidaklah bererti saya menolak jawatan.

Saya hanya menegaskan bahawasanya hal itu boleh berlaku. Untuk menyampaikan kepada pemikiran, tetap boleh dilakukan kalau kena pada caranya. Pemikiran ini dapat disebarkan bila seseorang tidak mempunyai jawatan. Memilikki jawatan dalam keadaan tertentu membantu seseorang dalam masyarakat. Yang perlukan jawatan kerana pihak-pihak berkuasa mengambilkira jawatan kerana dianggap authority mungkin perlu, tidak memadai sekadar pandangan.

JADI DR SENDIRI MELIHAT DR DALAM KATEGORI MANA?

Saya tak tahulah....Saya nak kena tengok dulu apa akan berlaku jika saya memberikan pandangan tanpa jawatan. Adakah pandangan itu masih lagi dianggap berharga, bernas atau telah tidak bernas kerana saya tidak ada jawatan.

Selama ini saya jadi mufti, saya rasa banyak pandangan saya banyak berbeza dari orang lain, kalau dari sudut popular, ianya tidak boleh popular kerana berbeza dengan banyak tokoh-tokoh agama di Malaysia. Alhamdulillah, pandangan saya yang bernas itu senantiasa dapat diketengahkan dan dibincangkan, dilihat asas-asas pandangan dan banyak pandangan saya yang ditentang pada peringkat awalnya kemudiannya diterima sebagai pendapat umum dan dibincangkan di peringkat negara. Walaupun masih ada yang kontra tapi masih ada yang boleh menerima.

DR DIANGGAP 'A THREAT' PADA MUFTI-MUFTI LAIN? ADAKAH DR RASA TIDAK SELESA DENGAN SITUASI INI ATAU TIDAK KISAH?

Saya tidak kisah hal ini sebab kalau saya ingat memegang jawatan Mufti dalam keadaan selesa saya kenalah mencari keselesaan, ada kereta rasmi, tak payah beri pandangan, buat berserabut kepala. Saya tidak pilih itu.

Saya turun ke kampung, berjumpa berbagai lapisan, golongan cerdik pandai, terangkan apa yang kita bawa...menunjukkan ini bukan satu perjuangan untuk senang. Perjuangan untuk sampaikan mesej. Alhamdulillah ada perbezaan dengan banyak pihak tapi dari segi rakyat, mereka boleh menerima.

ADA NEGERI YANG TIDAK BENARKAN DR MASUK BAGI CERAMAH. BOLEH KOMEN?

Di Malaysia semua negeri saya boleh masuk. Saya boleh masuk, tapi tidak dibenarkan bagi ceramah dalam platform-platform yang mereka ini ada kuasa.
Pada masyarakat tempatan di negeri tertentu, beribu ramai yang datang nak dengar saya berucap. Tapi saya tidak hadir disebabkan pihak agama yang rasa kehadiran saya akan menggugat pandangan-pandangan yang mereka berikan atau takut saya akan mengkritik pengurusan agama sebab itu mereka tidak benarkan.

DR PERNAH DILABEL SEBAGAI PENCERAMAH UMNO DAN KADANGKALA PENYOKONG PAS

Kita kena memecahkan cara berfikir rakyat Malaysia ni. Mereka senantiasa menjangka dalam dunia ini haya ada dua warna saja - hitam atau putih, kuning ataupun biru - salah satu.
Manusia mesti boleh berfikir di luar daripada keterikatan ini. Apabila saya memberi pandangan yang berbeza dengan Umno, tidak bermakna saya berpihak pada pembangkang. Dan apabila saya mengkritik PAS, ini bukan bermakna saya mewakili Umno.

Ini perkara yang gagal difahami sehingga kita senantiasa mempunyai pengampu dan orang-orang yang takut berfikir di luar dari kotak ini.

Kritikan boleh diberikan kepada rakan kalau dia salah. Pada mulanya Umno terkejut, PAS terkejut. Tapi sekarang sudah ada orang mula berfikiran di luar keterikatan ini. Kenapa harus dihadkan segala kutukan untuk musuh kita, segala pujian pada kawan kita? Tidak semestinya. Segala kritikan boleh ditujukan pada kawan kalau dia salah.

Dan pujian pada musuh kita kalau dia berbuat sesuatu yang elok dari segi moral. Ini tidak mustahil tapi ini tidak dikenali oleh dunia yang telah memblog-blogkan manusia di atas nama parti-parti politik. Pemilihan politik Malaysia sepatutnya sama macam di Amerika.

DR MEMPUNYAI HUBUNGAN YANG BAIK DENGAN RAMAI VIP, KOMEN DR?

Saya ada hubungan baik dengan Perdana Menteri, menteri-menteri juga dengan pemimpin pembangkang. Tetapi ini tidak menghalang saya memberi pandangan.

Saya tidak mengutuk anda tetapi saya berhak memberi pandangan yang berbeza dengan anda. Saya bukan dibayar gaji untuk pengampu dan ini tidak seharusnya berlaku.

RATA-RATA APAKAH RESPON DARI ORANG RAMAI APABILA MEREKA MENDENGAR DR AKAN LEPASKAN JAWATAN MUFTI PERLIS

Ada yang tanya kenapa nak berhenti, tak sesuai ke? Tapi saya bersungguh dalam hal ini. Raja Perlis minta saya tunggu dulu sehingga saya pergi ke UK.

Saya merasa di saat ini, waktu saya keluar dari jawatan Mufti ini 'timing' yang betul. Disebabkan pergolakan yang berlaku di Perlis itu sendiri, keadaan politik di sana juga situasi politik Malaysia yang sekan-akan mencari arah.

Elok saya dedahkan diri di dunia Barat yang mana saya belum ada pengalaman ini, mengambil nafas baru, ambil pengalaman baru yang boleh dikongsi, yang boleh dianalisa, pembacaan dan research.

APAKAH PERGOLAKAN YANG DIMAKSUDKAN ITU?

Kita tahu Perlis selepas pilihanraya agak pelbagai-bagai...Masih lagi desus desas, berbunyi itu dan ini yang tak habis-habis....

HARAPAN PADA PENGGANTI MUFTI PERLIS

Saya harap supaya, bukan saja jawatan Mufti Perlis. Apa saja jawatan. Mufti bukan untuk jawatan untuk keselesaan. Kita dapat sampaikan tanggung jawab dan sampaikan risalah yang betul. Ini penting. Kalau kita fikir sekadar nak kerja dan ada gaji, ini akan memandulkan peranan kita sebagai Mufti.

PANDANGAN DR TENTANG KEBERKESANAN PERANAN MUFTI-MUFTI LAIN

Saya tidak tahu adakah peranan mereka dah berjaya atau tidak..... tapi rakyat, orang awam berhak menilai. Adakah Mufti-mufti mereka telah mainkan peranan atau masih perlukan memainkan peranan yang lebih?

BOLEH DR KOMEN KEBERKESANAN PERANAN JAKIM, JAIS DAN JABATAN AGAMA LAIN SETAKAT INI, ADAKAH SUDAH MEMADAI?

Saya bagi pandangan berbagai-bagai dan mengkritik juga beberapa tindakan Mahkamah Syariah mengenai hak-hak wanita. Masih ada lagi kekurangan ataupun isu-isu tertangguh yang tidak sepatutnya. Walaupun pandangan itu kurang selesa.

Jika kita tengok aktiviti JAKIM, apa saja aktiviti akan mengelakkan penglibatan saya, melainkan perkara yang tidak boleh tidak, melibatkan saya. Kita tahu mereka ada banyak panel berhubung dengan agama, Pengarah JAKIM tidak akan melibatkan saya walaupun Mufti-mufti lain terlibat.

Mungkin mereka merasa kurang selesa dengan pandangan-pandangan saya. Dan kebiasaan golongan agama ini, dia pantang dikritik. Saya pernah memberikan teguran kepada Pengarah JAKIM sendiri tentang sikap double standardnya walaupun sikap itu tidak mendukacitakan saya pun. Tetapi hakikatnya jika mereka bersikap demikian, satu hari nanti jika mereka tidak berubah, mereka akan diubah.

ANTARA RUNGUTAN ORANG RAMAI, TIDAK ADA KESERAGAMAN DALAM SESUATU ISU AGAMA DAN MAJLIS FATWA JUGA LAMBAT MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? TAPI DR SELALU MELONTAR PANDANGAN YANG CEPAT DAN BOLEH DITERIMA RAMAI

Alhamdulillah, antara perkara Allah kurniakan saya ialah pandangan yang dilontarkan, akan tertumpu pada pandangan itu. Pandangan itu akan menjadi panas. Ramai yang menilai pandangan itu secara serius walaupun ada yang pro dan kontra. Mungkin juga rakyat Malaysia sudah sampai satu pendidikan yang agak baik.

Tak nak lagi pandangan you beri, I ikut. Ini tak boleh, ini boleh. Ini haram ini halal. Mereka nak alasan, apa kemunasabahan, apa fakta disebaliknya. Saya sentiasa tidak lupa melampirkan alasan-alasan pandangan. Saya membiasakan rakyat supaya mereka celik agama dan tidak hanya menjadi pengikut tanpa mengetahui apa yang mereka ikut.

PANDANGAN DR TENTANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN

Saya mempunyai kesimpulan yang saya 'simpan' untuk Majlis Fatwa ini. Jika negara ini hendak diubah, kita perlu lihat juga kesungguhan Majlis Fatwa. Sukar untuk simpulkan. Saya cadangkan Mesyuarat Majlis Fatwa disiarkan pada orang ramai melalui siaran TV.

Rakyat tak tahu selama ini....Biar rakyat menilainya sendiri bagaimana sesuatu isu itu dibincang dan ketelusannya. Nak tengok sejauhmana isu itu dibincangkan dengan masak atau tidak atau dibincangkan dengan penuh ketelusan ataupun tidak sekadar melepaskan tuntutan atau kebisingan orang ramai.

Pengerusi Majlis Fatwa juga perlu dinilai kemunasabahan untuk terus berada di jawatan berkenaan. Saya tidak mahu membuat penilaian keputusan itu positif atau negatif. Kita akan beri hak itu pada rakyat jika mesyuarat fatwa itu disiarkan.

PADA PANDANGAN DR, APA YANG MENYEBABKAN SESUATU FATWA ITU LAMBAT DIKELUARKAN CONTOHNYA ISU YOGA

Saya tidak mahu menyebut, ada perkara-perkara yang luarbiasa. Tidak boleh ada dalam pemikiran orang yang ingin memberi fatwa, sebelum memberi fatwa, "Adakah hal ini diredhai oleh pihak-pihak tertentu atau tidak?". Mereka hendaklah berfikir fatwa berteraskan fakta dan ilmu dan bukan berteraskan, kehendak dan keredhaan dari pihak-pihak tertentu.

Kalau itu boleh dilakukan, maka perbincangan itu hendaklah ilmiah dan mantap. Rakyat patut diberi peluang melihat bagaimana proses mereka melakukan ini.

MUNGKINKAH ADA SUARA LAIN YANG DAPAT MENGGANTIKAN DR BILA DR KE UK NANTI

Tidak dapat pastikan tempat saya akan terisi atau tidak. Setengah pihak lega saya tidak jadi mufti lagi. Kita lihat mungkin ada orang lain akan juga berikan pandangan. Perubahan terus akan ada, rakyatlah yang akan nilainya.

BAGAIMANA DENGAN KESINAMBUNGAN MEMANTAU AGENDA PERUBAHAN MINDA YANG DR USAHAKAN SELAMA INI?

Ribuan bantahan yang dihantar kerana saya hendak berhenti. Tidak puas hati dinyatakan oleh berbagai individu dan persatuan bahawa kata tindakan saya silap. Rasanya tindakan saya melepaskan jawatan Mufti itu tidak silap. Bila ada isu, mereka semua ini menunggu pandangan saya tentang isu ini.

Insya Allah, tindakan saya tidak silap. Saya sendiri tidak tinggalkan negara ini begitu saja kerana jentera perubahan minda senantiasa bergerak aktif di pelbagai-bagai peringkat. Saya bekerja ke arah itu. Saya juga ada laman website saya, drmaza.com. Kedua, saya harapkan media masih berikan ruang untuk saya melontarkan pandangan.

Ketika saya jadi Mufti Perlis, saya gunakan jawatan itu untuk sampaikan mesej. Dalam kedudukan saya sekarang, sama seperti dulu. Saya berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada kerja rasmi dan kerja asal saya. Mungkin di UK, saya dapat rehat sikit, itupun di sana kelihatnnya rakyat Malaysia telah menyusun banyak program untuk saya hadir.

Rakyat Malaysia di seluruh dunia dari negara-negara barat menghantar emel mengikuti perkembangan saya. Mungkin itu kesan dari apa yang saya buat kerana mereka tahu aktiviti saya. Mereka mengharapkan pandangan-pandangan dari saya.

KOMEN DR TENTANG GELARAN 'MUFTI KONTROVERSI'?

Kontroversi mungkin kerana perkara-perkara itu dilontarkan di tengah media. Tetapi biasanya, media tidak akan kutip kalau tidak kontroversi. Elemen kontroversi itu kadang-kadang perlu supaya berita itu dapat diedarkan. Kadang-kadang bila saya wujudkan sesuatu berita itu, saya 'create'kan sedikit elemen supaya sekurang-kurangnya mesej itu dapat dibaca kalau tidak siapapun tidak kutip. Itu salah satu dari strategi dalam kita sebarkan pemikiran. Itu juga barangkali perlu dibaca oleh ahli-ahli pemikiran - mesti tahu apakah saluran suatu pemikiran itu naik ke hadapan.

ADAKAH DR MELIHAT DIRI DR SEBAGAI SEORANG STRATEGIS?

Saya tak tahu...saya satu orang yang banyak memikirkannya..strategi sesuatu tindakan. Dalam dua tahun itu kebanyakan strategi itu berjalan dengan baik. Ketika saya dikepung dengan kepungan yang agak dashyat oleh pihak agama tertentu, saya melepasi kepungan itu, Alhamdulillah.

SELEPAS SEKEMBALI NANTI, APAKAH PROFESION PILIHAN DR?

Orang melihat saya sebagai apa? Saya melihat diri saya sebagai Mohd Asri....Saya akan maklumkan kemudian. Ramai ahli politik yang ramalkan tarikh-tarikh tertentu, akhirnya tarikhnya pun tak menjadi. Jadi, buat apa saya meramalkan satu tarikh ataupun perancangan akhirnya tak jadi, menjadi satu tempelak orang ramai saja.

Saturday, November 22, 2008

DAH LAH ALI... LUPAKAN SHAHRUKH KHAN

Geger seluruh negara. Kesian kat Datuk Seri Mohd Ali Rustam, calon Timbalan Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka.

“Shah Rukh Khant come” demikianlah tajuk muka tiga akhbar The Star 20 November 2008 (kelmarin).

Dah lah Ali oii....Bintang Bollywood yang Datuk Seri gila-gilakan itu tidak akan datang seperti dijangkakan.

Anugerah “Datuk” Melaka oleh Ketua Menteri Melaka itu tidak sebesar mana baginya. Dia sudah mengatakan tidak dapat hadir menerima anugerah tersebut pada tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu 29 November ini.

Alasannya beliau sibuk.

Sebelum ini penganugerahan bintang-bintang kebesaran negeri sempena ulangtahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun berlangsung tanpa kehadiran ShahRukh walaupun beliau diseneraikan menerima gelaran tertinggi negeri itu juga atas alasan yang sama.

Maka kelam-kabut dan bergelutlah kerajaan negeri menetapkan tarikh baru khas untuk mengalungkan gelaran kepada anak asing yang tidak pernah berjasa kepada negeri itu.

Dikhabarkan pihak TV juga akan menyiarkan secara langsung majlis untuk anak Bollywood itu nanti, dan kini tiba-tiba beliau tiada masa untuk Melaka kerana sibuk!

Bukankah ini suatu penghinaan kerana ternyata si ShahRukh tidak ambil berat apalagi meletakkan Melaka sebagai satu keutamaan buat beliau.

Saya tidak faham kenapa kita perlu meletakkan diri kita terlalu rendah seolah kebulurkan sangat kelibat beliau yang tidak langsung memperdulikan kita pun.

Kini sekali lagi kerajaan negeri mencari pula tarikh baru.

Kalau pun benar Ali Rustam mahu menang jawatan Timbalan Presiden Umno, tak perlulah mahu mencuri “glamour” melalui ShahRukh. Malah saya meraskana puaka Shah Rukh ini nampak-nampaknya akan menghantui Ali Rustam dan berkemungkinan beliau nanti kecundang kerananya. Sekarang pun isu ini dijadikan bahan senda gurau oleh semua pihak termasuk kalangan Umno.

Jebat rebah kerana Taming Sari, Ali Rustam tersungkur angkara Shah Rukh!

THE STAR SEMAKIN TUNJUK WARNA

Biarpun geger satu Malaysia mengenai sikap biadap Menteri Besar Perak terhadap jurugambar akhbar Utusan Malaysia namun kejadian itu tidak disiarkan oleh akhbar The Star yang selalunya menjuarai perjuangan untuk hak wartawan dan kewartawanan di negara ini .

Tidak sepatah pun berita mengenai sikap MB pakatan pembangkang itu disiarkan.
Malah bantahan keras yang dibuat oleh Institut Akhbar Malaysia, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Kelab Wartawan Kebangsaan Malaysia terhadap sikap Menteri Besar itu juga tidak disiarkan oleh The Star.

Sikap akhbar berbahasa Inggeris ini mengenai beberapa perkara yang ada kaitan dengan ‘kepentingan Melayu’ dan orang Melayu kini menjadi tanda tanya.

Sudah pasti The Star melihat Utusan Malaysia ini amat berkait rapat dengan kepentingan Melayu,

Akhbar itu jelas tidak ada lagi bersikap setiakawan antara wartawan khususnya dari akhbar Melayu, lebih-lebih lagi jika berakitan dengan Utusan Malaysia, seolah-olah akhbar berbahasa Melayu itu ‘musuhnya’.

Setiakawan dalam dunia kewartawan telah tidak menjadi pegangan The Star lagi kerana yang penting baginya ialah setiakawan dengan pakatan pembangkang demi untuk masa depan Malaysia dan untuk Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Maka itu sebarang serangan dan tindakan terhadap Utusan Malaysia akan dibesar-besarkan oleh akhbar The Star tanpa berpegang lagi kepada etika kerjasama antara akhbar untuk tidak menyebutkan nama akhbar yang berkenaan .

Datuk Wong Chun Wai, Ketua Pengarang Akhbar The Star bijak berpura pura sebagai orang Barisan Nasional tetapi dia harus sedar bahawa kepura-puraannya hanya akan laku pada zaman Abdullah Badawi sahaja.

Dalam ulasan Kopitiam Talk (Malaysiaaktif) turut mengulas sikap The Star ini selain memperkatakan sikap biadap Menteri Besar Perak itu.

KOPITIAM TALK

malaysiaaktif.com (14 November 2008)

RABU lalu Menteri Besar pakatan pembangkang Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin telah bersikap kasar terhadap jurugambar Utusan Malaysia Mohd Najib Mohd Nor dengan memaksanya menyerahkan kamera dan memadamkan gambar yang diambilnya ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam bagi pihak bekas Menteri Besar Perak. Mohd Tajol Rosli telah menuntut Menteri Besar itu meminta maaf kerana menuduhnya menjalankan konspirasi politik bagi penangkapan dua exco kerajaan negeri oleh Badan Pencegah Rasuah. MB Perak itu memanggil jurugambar ini secara kurang ajar dengan berteriak: “Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera!” Seorang yang mempunyai budi bahasa yang tinggi akan memanggil orang lain dengan bersopan sekalipun apa taraf dan kedudukannya. Ini menunjukan bahawa manusia yang menjadi MB Perak ini bukanlah daripada keturunan yang baik, tidak berperadaban tinggi, sombong dan bongkak . Biasanya orang dari kelas rendah yang menderita perasaan rendah diri akan menunjukan ketinggian dirinya apabila berada pada kedudukan boleh berbuat demikian.
MB Perak ini bukan sahaja daripada wajahnya, tetapi daripada kelakuannya menunjukan beliau berpontensi untuk menjadi seorang pemimpin Islam yang keras, ganas dan bengis.

Wednesday, November 19, 2008

PARTI MELAYU PERLU SENADA, BERSATU

Wahai orang Melayu, baca dan fikir apa kata Putra Kedah 2008 melalui Forum Utusan Malaysia ini!

Oleh PUTRA KEDAH 2008

Alor Star

SAYA sebagai rakyat dan anak jati Kedah ingin menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dalam isu kuota perumahan 50 peratus Bumiputera, bukan atas dasar politik, tetapi dasar hak dan masalah ketidakseimbangan.

Sejak kecil lagi saya perhatikan sawah padi di sekitar Alor Setar sehinggalah ke berpuluh kilometer radius sekelilingnya dilenyapkan secara pantas dengan pembinaan rumah-rumah berkos tinggi dan projek-projek hartanah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh Melayu.
Mengapa?

Saya berasa hairan mengapa kerajaan sebelum ini tidak pernah mengkaji dasar perumahan di Kedah sehingga menyebabkan ramai orang Melayu terpinggir serta memiliki rumah tidak sempurna, sedangkan tanah sawah milik Melayu dikorbankan saban tahun atas nama pembangunan. Dalam isu melibatkan hak dan kebajikan bangsa pribumi Melayu dan Islam ini tidak harus disempadankan oleh faktor dendam politik sempit.

Pihak pembangkang di Kedah seharusnya senada dengan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu membela Islam, kemiskinan, ketinggalan serta kedaifan rakyat Kedah ini terutama kaum Melayu. Kita lihat bagaimana kaum Cina boleh senada dengan tidak kira parti MCA, DAP atau Gerakan dalam isu membela 'kekayaan' kaum mereka.

Mereka bukan menuntut hak asasi, tetapi menggoncangkan hak kaum lain untuk kekayaan dan kepuasan perniagaan mereka. Tetapi langsung pihak atasan tidak anggap itu sebagai perkauman secara halus. Malah kaum kita sendiri menghentam tindakan kerajaan negeri Kedah ini dalam isu rakyat demi untuk meraih sokongan 'kosong' daripada kaum lain.

Seharusnya kita patut menyatakan sokongan padu terhadap keberanian dan ketegasan Menteri Besar Kedah, dalam memperbetulkan ketidakseimbangan ini setelah sekian lama dibiarkan. Beliau juga berjaya menyelamatkan kampung-kampung, tanah-tanah sawah, surau, masjid yang dimiliki oleh kaum Melayu daripada terkorban melalui projek petroleum di Yan, dengan memindahkannya ke laut.

Satu tindakan bijak untuk mengelakkan rosaknya sosio-budaya masyarakat Melayu di kawasan tersebut apabila berubahnya landskap pertanian kepada industri berat. Hal ini akan mencambahkan lagi kehadiran orang luar yang akan membeli tanah-tanah Melayu dengan nilai tinggi, akhirnya tiada keuntungan jangka panjang pun kepada orang Melayu.

Ini, tiidak lagi dikaji tentang kemusnahan sosial yang akan berlaku apabila suatu kawasan perkampungan itu dimajukan dengan industri berat.

Seharusnya, kita kena buka mata dan pelajari sikap orang Cina memperjuangkan isu tuntutan mereka merentasi sempadan fahaman politik. Di pihak manapun mereka tetap mendapat keuntungan berbanding kita yang suka menanggguk di air yang keruh.

Saya mencadangkan supaya permainan politik 'jahil' yang diamalkan sebelum ini ditukar kepada politik bijak yang menguntungkan rakyat, khususnya menjamin kedaulatan Islam dan ketuanan hak Melayu di Malaysia ini. Saya ucapkan syabas kepada Menteri Besar Kedah yang membela kedaifan rakyat Kedah.

Tuesday, November 18, 2008

BELAJARLAH BAGAIMANA PAS TUMBANG

Bagaimana kalau PKR memerintah Malaysia?

Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn mungkin menjadi sasaran pertama mereka.
PKR jangan mudah lupa. Belajarlah daripada Pas bagaimana kesannya jika ambil alih bangunan sembarangan.

Antara sebab Pas tumbang di Terengganu ialah kerana tidak sabar untuk mengambil alih balai-balai raya dan tadika Islam, menyebabkan rakyat marah.

Kini ‘perangai Pas’ diamalkan pula oleh PKR yang menjadi peneraju kerajaan negeri Selangor.
Semalam geger satu Selangor apabila sikap keterlaluan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mengambil alih bangunan yang menempatkan bilik gerakan UMNO Bahagian Pandan dan juga pusat khidmat masyarakat bahagian tersebut.

Pengambilalihan itu berlaku pada awal bulan ini dengan MPAJ bertindak menukar kunci bangunan itu tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada mana-mana pemimpin UMNO bahagian itu.

Ketua UMNO bahagian tersebut, Abdul Ghani Ismail berkata, pengambilalihan pejabat UMNO itu sangat tidak wajar dilakukan kerana ia adalah milik masyarakat setempat dan kegunaan bersama.

Ppihaknya akan mempertahankan hak mereka terhadap bangunan itu memandangkan ia sudah lama memberi kemudahan kepada penduduk untuk membuat sebarang aduan.

Apa yang dikesalkan, katanya, ialah penduduk yang menjadi mangsa keadaan kerana mereka kini tidak lagi mempunyai pusat khidmat masyarakat serta pusat pengaduan awam yang sebelum ini dibina di dalam satu kawasan bersama bilik gerakan UMNO.

"Sepatutnya, penyerahan pejabat tersebut perlu dimaklumkan pada saya dan sebarang tindakan perlu dilaksanakan setelah perbincangan diadakan.

"Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan MPAJ bagi mendapatkan status sebenar bangunan ini dan mempertahankan hak UMNO pada bangunan itu," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mejar (B) Iszehan Hamid turut berpendapat langkah pengambilalihan pejabat mahupun dewan di Selangor oleh kerajaan negeri adalah tidak wajar.

"Kebanyakan dewan di negeri Selangor dibina di atas peruntukan sendiri sama ada oleh pemimpin terdahulu atau pun orang ramai. Jadi pengambilalihan dewan berkenaan perlu dikaji semula," jelasnya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Suhaimi Mamat pula berkata, masalah tersebut seharusnya dibawa berbincang bagi memuaskan hati semua pihak dan UMNO bahagian itu supaya masyarakat setempat tidak menjadi mangsa.

"Kami bukanlah mahu bertikam lidah dengan sesiapa namun kita seharusnya berfikir tentang generasi baru yang memerlukan sokongan daripada mereka," katanya.

Mohd. Suhaimi berkata, pejabat tersebut merupakan nadi utama parti di bahagian itu dan ia tidak seharusnya diserahkan kepada MPAJ atas apa juga alasan.

Penolong Setiausaha UMNO Bahagian Pandan, Faizal Sufar berharap perkara tersebut dapat dibincangkan dengan MPAJ dan kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan menguntungkan semua pihak.

Dewan komuniti di Selangor mula menjadi isu apabila kerajaan negeri di bawah kepimpinan pakatan pembangkang mengarahkan ia diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diuruskan.

Notis dikeluarkan Ogos lalu kepada semua pengurus dewan atas alasan untuk mengelak penyalahgunaan dewan berkenaan dan memudahkan penyelarasan.

Kerajaan negeri turut mengugut akan meruntuhkan dewan yang gagal diserahkan kepada PBT selepas tamat tempoh notis.