Monday, May 9, 2016

SPRM Kelantan Minta Kerjasama Ketua Jabatan Elak Ketirisan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan meminta semua ketua jabatan dan agensi kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri memberi kerjasama padu dalam usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil.

Pengarahnya Datuk Moh Samsudin Yusof berkata kesepakatan itu perlu bagi memastikan kutipan hasil negeri meningkat.

"Berdasarkan pemerhatian, terdapat senario kes tuntutan palsu membabitkan kontraktor atau pihak ketua jabatan dalam memberi perakuan bagi membolehkan kerajaan memberi bayaran...ini saya anggap ketirisan dan kemungkinan ada juga unsur-unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah 'Senario Rasuah Dari Perspektif SPRM' di Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan di Kota Bharu, 4 Mei lalu.

Turut hadir sama Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Datuk Seri Zakaria Jaafar, yang menyampaikan ceramah 'Cegah Rasuah dan Ketirisan-Tingkatkan Hasil'.

SPRM Kelantan pada 4 Mei lalu mengadakan dua sesi taklimat khas dan dialog berasingan bersama-sama ketua jabatan yang mewakili 120 agensi kerajaan Persekutuan dan 58 agensi di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Moh Samsudin berkata apa yang lebih malang, bayaran itu diberikan kepada individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pegawai berkenaan.

"Ini sesuatu yang amat serius dan tidak sepatutnya berlaku pada mana-mana agensi kerajaan. Saya tidak menolak perkara ini akan berlaku lagi kerana kecuaian dan ketidaksungguhan pegawai yang sepatutnya memikul tanggungjawab mengingatkan pegawai bawahannya," katanya.

Tanpa menyatakan jumlah kes yang disiasat, beliau sebaliknya meminta ketua jabatan menyediakan satu segmen khusus berhubung kempen cegah rasuh setiap kali masyuarat bulanan diadakan.

Beliau turut menasihatkan orang awam tanpa mengira pangkat dan latar belakang politik supaya tidak memberi keterangan atau aduan palsu berhubung sesuatu kes kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

FAM Benarkah Bekas Pemain Bola Sepak Era 90-an Terbabit Rasuah Aktif Kembali


Sebanyak 78 pemain bola sepak yang terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada awal 1990-an, kini dibenarkan untuk kembali aktif dalam sukan itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersidang hampir empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini memutuskan, pemain terbabit boleh kembali aktif dalam sukan itu sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Jawatankuasa Integriti FAM membuat keputusan ini setelah mengambil kira pandangan semua pihak (sebahagian besar pemain beraksi antara 1994 ke 1995)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, di sini.

Bagaimanapun Afandi berkata enam lagi pemain Sabah era 90-an yang dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh FAM, akan dirujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam perkembangan lain, Afandi berkata Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan membayar pampasan berjumlah RM165,000 kepada bekas jurulatih pasukan itu, Steve Darby dari England yang dipecat pada 2014 susulan prestasi terumbang-ambing negeri Pantai Timur itu.

Afandi berkata keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan FAM baru-baru ini setelah mendengar rayuan jurulatih berusia 61 tahun itu.

Darby yang kini bertugas sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Laos, dilaporkan berhasrat membawa kes berkenaan kepada FIFA susulan kegagalan KAFA melunaskan pampasan berjumlah RM636,000 untuk tempoh 17 bulan.

Dua Anggota Polis Kelantan Ditahan, Inspektor di Johor Kena Denda RM10,000

Pagar makan padi?

Anggota polis terlibat dengan rasuah. Memalukan Jabatan Polis seluruh negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua anggota polis berhubung kes rasuah tengah malam kelmarin (7 Mei).

Kedua-dua sarjan polis berumur 25 dan 29 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu itu ditahan kerana dikatakan menerima suapan atas kesalahan berkaitan kad pengenalan.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof yang mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan, berkata kedua-dua anggota terbabit kini ditahan di lokap Ibu Pejabat SPRM Kelantan dekat Lundang di sini untuk siasatan lanjut.

Ditanya mengenai jumlah suapan serta individu yang terbabit, Moh Samsuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Di Johor Bahru semalam, seorang inspektor polis didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan bersetuju menerima rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas, berhubung siasatan satu kemalangan maut.

Hakim Mohamad Haidar Abd Aziz turut memerintahkan tertuduh, Mohd Shulul Azmi Shuaibon, 34, dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mohd Shulul Azmi yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan didakwa bersetuju menerima wang suapan itu daripada Azman Mat Zain, 46, yang mempunyai kaitan dengan kertas siasatan bilangan 8644/12 yang disiasatnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit di Cawangan Trafik IPD Johor Baharu Selatan, pada 5.25 petang, 15 Jan 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik manakala Mohd Shulul Azmi diwakili peguam, Rosli Kamaruddin.

Rosli dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan anak guamnya mempunyai isteri dan dua anak berumur enam serta empat tahun, dan memberi kerjasama terhadap siasatan kes itu selain tidak mempunyai sebarang rekod tatatertib sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai polis.

Mohd Shulul Azmi, sebelum ini mengaku tidak bersalah di hadapan hakim sama pada 13 April tahun lepas, atas dua pertuduhan iaitu pertama, meminta suapan wang sebanyak RM3,500 daripada Azman sebagai dorongan untuk mengenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak menuduhnya di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kematian dalam kes kemalangan jalan raya pada 5 Nov 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM3,000 daripada Azman sebagai dorongan yang sama.

Mahkamah hari ini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Mohd Shulul Azmi bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, pihak pendakwaan meminda pertuduhan itu kepada pertuduhan pilihan iaitu bersetuju untuk menerima suapan itu.