“Sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat kembali dan
menyelami peranan dan sumbangan NGO serta
status dan apa dilakukan oleh pemimpinnya. Ditubuhkan untuk apa? Memperjuangkan
kepentingan rakyat, membela kerajaan atau untuk kepentingan segelintir atau
kepentingan sendiri?”
Baru berusia 32 tahun namun memperoleh kira-kira
RM300,000 setiap bulan sejak beberapa tahun.
Hasil berniaga? Hasil judi? Bukan.
Ia hasil peras ugut berselindung di sebalik pertubuhan
atau badan bukan kerajaan (NGO).
Ini kerja licik dan hanya boleh dilakukan oleh seseorang
yang berani dan tahu selok belok ilmu peras ugut dan kerja-kerja berkaitan
kepolisan.
Berikutan itu sudah sampai masanya pihak berkuasa melihat
kembali dan menyelami peranan dan sumbangan NGO serta status dan apa dilakukan oleh
pemimpinnya.
NGO ini ditubuhkan untuk apa? Untuk memperjuangkan
kepentingan rakyat, membela kerajaan atau untuk kepentingan segelintir atau
kepentingan sendiri.
Walaupun belum dibuktikan bersalah, namun penahanan Pengerusi
Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan
dan pemandunya, seorang lelaki warga India, membuka mata kita untuk menilai
kembali NGO yang beratus dan mungkin beribu-ribu di negara ini.
Kemungkinan banyak, bukan hanya terbabit jenayah tetapi
mungkin kerja-kerja ‘haram’ lain seperti mengaut keuntungan melalui cara salah, berkepentingan politik, menyokong pembangkang, mendapatkan kedudukan, mendapatkan gelaran atau menggunakan dana serta bantuan
kerajaan untuk kepentingan diri dan kumpulan.
Dalam kes Sanjeevan, dia ditahan oleh sepasukan polis
dari Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) kerana dipercayai melakukan
ugutan jenayah dan peras ugut berdekatan Plaza Tol Nilai, kelmarin.
Mangsa dipercayai mempunyai bukti rakaman suara Sanjeevan
ketika berurusan dengan pengusaha itu.
Ini bermakna polis bertindak berdasarkan rakaman perbualan
telefon.
Sejauh ini tiada bukti bahawa perbualan Sanjeevan dicuri
dengar atau dicuri rakam walapun kini isu dicuri dengar dan dicuri rakaman
perbualan seseorang yang didakwa oleh pihak berkuasa sering diperkatakan.
Apabila beberapa akhbar online mula melaporkan berita penahanan berkenaan
yang duat pada 10.50 malam Rabu lalu di Plaza Tol Nilai, banyak persoalan dan
teka-neki mengenai siapa.
Tidak disangka ditahan itu adalah Pengerusi MyWatch.
Sanjeevan, baru berusia 32 dan tinggal di Country
Heights, Kajang, ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi
dan Maksiat (D7) Bukit Aman, sebaik menerima wang perlindungan RM25,000
daripada pengadu, seorang pengusaha perjudian haram berusia 38 tahun.
Menurut laporan itu, dalam tangkapan pukul 10.50 malam
itu, polis turut menemui wang tunai RM16,080 dalam kereta suspek.
Mahkamah Khas Seremban, polis kelmarin mendapat perintah
tahan reman selama dua hari, sehingga hari ini, terhadap pengerusi badan bukan kerajaan (NGO)
itu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar
Mahkamah Rendah Seremban, Nor Anida Norhamdan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit
Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh
seorang pengadu yang tidak dinamakan, bahawa Sanjeevan mengugut akan menyiarkan
fitnah mengenainya jika tidak membayar wang perlindungan sebanyak RM25,000.
“Tangkapan dilaksanakan sebaik sahaja pengadu berjumpa
dan menyerahkan wang tunai tersebut kepada suspek di dalam sebuah kereta,” kata
Mohmad.
Dalam laporan sebelum ini, sumber sebuah laman portal
memberitahu Sanjeevan dikesan membuat peras ugut judi haram di seluruh negara
antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Sumber mendakwa pengadu seorang pengusaha judi haram
berusia 38 tahun, dan diperas supaya membayar RM25,000 sebulan.
Menurut satu sumber, suspek merupakan ahli kumpulan
kongsi gelap 36 namun belum dapat disahkan tahap penglibatannya dalam kumpulan
haram itu.
Beliau terkenal dengan pelbagai pendedahan lantang
aktiviti berkaitan jenayah seperti judi, maksiat dan kongsi gelap.
Modus operandinya ialah mengugut atau memeras ugut akan
mendedahkan mereka yang ada kaitan dengan jenayah seperti judi, maksiat dan
kongsi gelap.
Untuk mengelakkan mengalami ‘kerugian’ atau mungkin
ditangkap, mereka yang terlibat dengan kegiatan sedemikian terpaksa membayar
sejumlah wang.
Terbukti jelas dalam kegiatannya, Pengerusi NGO ini ditahan
ketika sedang menerima wang daripada pengusaha judi ekor haram.
Persoalannya berapa ramai mereka yang ‘tahu dia melakukan
kesalahan’ bersedia untuk membuat laporan polis kerana diperas ugut sebegini?
Risiko diri atau kumpulan ialah - dia akan turut didakwa
kerana kegiatan haram - terpaksa diambil
tetapi hakikatnya benarlah pepatah mengatakan, ‘hanya pencuri boleh tangkap
seorang pencuri.”
Pengajaran di sebalik ini juga berdasarkan kedudukan
penting Sanjeevan dalam NGO ialah, ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia
yang lebih’.