Tahniah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya menyelinap masuk ke
jabatan-jabatan kerajaan untuk mendedahkan perbuatan tuntutan palsu dan
penyelewengan.
Terbaru dilaporkan, wang tunai dianggarkan lebih RM20
juta dirampas SPRM susulan penahanan dua pegawai kanan agensi kerajaan di Kota
Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek
jabatan awam.
Terkini, dua lagi ditahan suruhanjaya itu dan semua empat
individu terlibat akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan
reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Laporan semalam (Selasa,
4 Oktober 2016), menyebut, SPRM menahan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu, kerana disyaki
menyalahgunakan kuasa hingga mampu mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta.
Mereka yang berusia
51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9.15 pagi kerana
disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu
kepada sanak saudara mereka.
Kedua-dua pegawai
kanan berjawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di jabatan kerajaan itu, yang
mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3
bilion sejak 2010, telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada
adik-beradik mereka.
SPRM dilaporkan
turut merampas wang tunai berjumlah RM3
juta yang disimpan di dalam peti besi di pejabat seorang daripada pegawai kanan
itu.
Jumlah harta kekayaan
yang dikumpul mencecah RM50 juta itu hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai
bermula sejak 2010.
Peruntukan RM3.3
bilion itu hanya merupakan peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan tidak
termasuk peruntukan kerajaan negeri.
SPRM juga membuat
beberapa siri serbuan di beberapa tempat termasuk agensi terbabit dan
syarikat-syarikat kontraktor yang terlibat.
Perbuatan kedua-dua
pegawai kanan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi menutup periuk
nasi berpuluh kontraktor lain yang langsung tidak diberikan peluang memasuki
tender agensi terbabit.
Mereka disiasat di
bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Seksyen 165
Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.
Azam...baru hanya sebahagian |
Timbalan Ketua
Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata hari ini, wang tunai berjumlah RM3
juta yang dirampas sebelum ini hanya sebahagian daripada keseluruhan rampasan.
“RM3 juta sebahagian
daripadanya. Sebenarnya lebih daripada itu. Saya fikir lebih RM20 juta,”
katanya.
Wang tunai mencecah
RM10 juta ditemui di kediaman pegawai kanan yang ditahan SPRM di Sabah, semalam.
Mengulas lanjut, Azam
berkata, rampasan wang tunai jutaan ringgit itu melibatkan beberapa lokasi
seperti di rumah, bank dan pejabat suspek.
“Setiap daripada
sasaran yang kita tahan itu, setidak-tidaknya tiga lokasi. Termasuk peti besi,
rumah, pejabat dan ada juga melibatkan peti besi di bank,” katanya.
Azam berkata, sidang
media berhubung kes berkenaan akan diadakan di Kota Kinabalu petang ini.
Menurutnya, SPRM akan
meneruskan siasatan dengan lebih agresif dan menjangkakan lebih ramai lagi
ditahan.
Sebelum ini, SPRM turut mendedahkan kegiatan licik
seorang kerani wanita di Alor Setar dan tuntutan palsu di Johor Bahru
membuktikan bahawa rasuah masih berleluasa di pejabat kerajaan.
Dilaporkan , kerani berusia 31 tahun yang bertugas di
bahagian pendaftaran kenderaan JPJ Kedah
ditahan di kerana mengaut
keuntungan dengan menyalahgunakan sistem pendaftaran dokumen Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas SPRM.
Suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan
sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih
100 kenderaan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual
dengan harga terpakai di negara ini.
Suspek dikatakan menerima komisen RM2,000 hingga RM5,000
bagi setiap kenderaan yang dijual.
Usaha SPRM ‘membersihkan pejabat kerajaan’ ini sewajarnya
dipuji apalagi mereka ini mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan pejabat
kerajaan untuk kepentingan diri.
Di Johor Bahru, 21 September lalu dilaporkan seorang
pegawai perubatan bersama dua kerani kewangan Pejabat Kesihatan Daerah di
negeri Johor ditahan SPRM, melibatkan
tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Simi Abd Ghani yang
mengesahkan tangkapan itu berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan ditahan di
pejabat SPRM negeri, kira-kira 9 malam.
Mereka yang ditahan berumur antara 30-an dan 50-an.
Kesemua mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap 59 baucar bayaran
perkhidmatan pembekalan barang tetapi barang tidak sampai ke pejabat kesihatan.
Menurut kenyataan Simi, berdasarkan siasatan awal,
pegawai kesihatan itu didapati bersekongkol dengan enam syarikat pembekalan
dengan memberi sebahagian hasil tuntutan kepada syarikat yang terlibat.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM
2009.