Wednesday, November 30, 2016

Pegawai Kerajaan Bergelar Datuk Di Melaka Kena Reman 4 Hari


Seorang pegawai kerajaan bergelar Datuk direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek kerajaan di Melaka.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Syarina Shaarani@Tan mengeluarkan perintah reman ke atas lelaki berusia 55 tahun itu sehingga Jumaat ini.

Terdahulu, pegawai terbabit yang bertugas di pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret kira-kira jam 10 pagi.

Suspek ditahan sepasukan pegawai SPRM di bandar raya ini kira-kira jam 2 petang semalam.


Suspek disyaki meminta wang suapan bagi projek berkaitan PBT dan SPRM turut membekukan akaun bank milik suspek yang mengandungi wang bernilai jutaan ringgit.


Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, ketika mengulas penahanan pegawai berkenaan berkata, tiada siapa di 'keliling' beliau boleh mengatasi undang-undang.

Mereka tertakluk kepada pemeriksaan oleh agensi-agensi penguatkuasa termasuk suruhanjaya tersebut.

Katanya, mereka di sekeliling beliau yang bekerja dengan kerajaan atau di pejabatnya, mestilah mematuhi arahan dan larangan mengikut dasar kerajaan dan undang-undang negara.

"Mereka tidak harus menggunakan saya sebagai perisai atau pelindung jika sesuatu berlaku (kepada mereka).

"Saya seorang yang amat hati-hati dengan orang di keliling saya.

"Saya tidak mudah bergaul dengan orang yang rasuah," katanya dalam satu kenyataan lisan menerusi aplikasi Whatsapp semalam.

Tuesday, November 22, 2016

FELDA Rugi RM200 Juta, Siapa Penyebab & Siapa Akan DiPertanggungjawabkan?


Laporan Ketua Audit Negara 2015 (Siri 2) mengenai dua perkara membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ini memang tidak benar dan sengaja diada-adakan?

Siapa bertanggungjawab mengenainya?

Menteri, Pengerusi FELDA, Lembaga Pengarah atau individu yang diamanah melaksanakannya?

Ketua Audit Negara mendedahkan di Dewan Rakyat perkara yang pastinya  memalukan FLEDA dan pengurusannya?

Wajarkah perkara ini didedahkan?

Tidakkah perlu dijaga air muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana FELDA ini ‘jagaan’ dan ‘anak kesayangannya’?

Najib selama ini memuji-muji FELDA tetapi ini pula yang berlaku?

Patutkah FELDA diperlakukan sebegini?

FELDA itu siapa?

Semalam Jabatan Audit Negara mendedahkan kontrak perolehan FELDA bernilai RM148.42 juta telah ditandatangani tanpa kebenaran yang sah.

Selain itu, Ketua Audit Negara mendedahkan FELDA mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.

Laporan tersebut turut berkata FELDA mengalami kerugian sebanyak RM28 juta membabitkan empat anak syarikat dan syarikat dibawah kumpulannya yang ditubuhkan tanpa kelulusan Menteri Kewangan.

Syarikat tersebut ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Pertanian Sturgeon, restoran Savaro dan Projek Pastri Schneeballen.

Kontrak perolehan FELDA

Apa kesannya jika ditandatangani kontrak tanpa kebenaran yang sah?

Kes ini melibatkan sejumlah 64 kontrak untuk perolehan 'light detection and ranging' (LiDAR) yang didakwa ditandatangani oleh pengarah jabatan pengurusan tanah yang tidak mempunyai kuasa.

Laporan itu menyebut, tiada penilaian terhadap prestasi kewangan telah dijalankan ke atas kontrak-kontrak ini - 16 kontrak bernilai RM11.4 juta pada tahun 2013 dan 48 kontrak bernilai RM38.72 juta pada 2014.

"Pengumpulan data LiDAR oleh Bumitouch Sdn Bhd 2013-2015 telah dijalankan," kata Laporan Audit Negara 2015 (Siri 2) yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

"Bayaran penuh daripada RM40.57 juta bagi 53 daripada 64 kontrak dengan Bumitouch telah dibuat walaupun serahan daripada LiDAR tidak diterima sepenuhnya.

"Kerja-kerja telah dimulakan antara 39 hingga 136 hari sebelum pelantikan kontraktor diluluskan untuk 45 daripada 64 kontrak LiDAR bernilai RM33.83 juta," menurut pendedahan tersebut.

Kerja-kerja tersebut telah dijalankan berdasarkan rangka kerja yang dimeterai oleh pengarah yang tidak diberi kuasa untuk menandatangani, tambahnya.

Pengarah yang tidak diberi kuasa menurunkan tanda tangan?

"Penggunaan teknologi LiDAR untuk tujuan penanaman semula tidak dapat dimulakan kerana serahan untuk tempoh Oktober 2013 hingga Mei 2015 dalam bidang berkaitan tidak diterima sepenuhnya.

LiDAR bukanlah satu-satunya isu yang diketengahkan oleh laporan audit sebagai terdapat kesalahan.

Perolehan dan kontrak lain

Ketua Audit Negara juga  mengenal pasti beberapa perolehan dan kontrak lain selepas mengaudit 15 anak-anak syarikat FELDA.


Laporan audit menunjukkan bayaran penuh sebanyak RM40 juta telah dibuat walaupun kontrak bagi pelan tindakan projek jalur lebar FELDA tidak tersedia.

Rangka tindakan projek jalur lebar sepatutnya dibuat oleh FELDA Prodata Sdn Bhd.

"Pelaksanaan projek jalur lebar yang menelan belanja RM566 juta hanya siap sehingga penyediaan pelan tindakan," katanya sambil menambah bahawa projek percubaan dan penuh telah digantung sejak 29 Jan 2015.

Selain itu, MCM Value Sdn Bhd menerima RM209,000 untuk pengurusan nilai projek jalur lebar tanpa apa-apa kontrak.

FELDA Rugi RM45 Juta

Mengenai laporan terhadap  FELDA Caviartive Sdn Bhd (FCSB) yang membelanjakan RM47.61mil dalam projek ternakan ikan Ketua Audit Negara berkata pulangannya termasuk dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan penggantungan projek tersebut.

FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah FELDA.

Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB.

Ketua Audit Negara turut melaporkan, Global Settlers Sdn Bhd (GSSB) pula membelanjakan RM8.4 juta untuk membuka lima restoran Savaro tetapi kesemuanya ditutup selepas dua atau tiga tahun beroperasi.

Sementara itu, bagi Projek Pastri Schneeballen, GSSB membuat bayaran berjumlah RM2.29 juta kepada sebuah syarikat yang tidak berkaitan.

"Bayaran itu juga dibuat tanpa dokumen sokongan yang mencukupi dan penglibatan syarikat tidak berkaitan ini tidak dinyatakan dalam kontrak," katanya.

Laporan itu turut mendedahkan Projek Pastri Schneeballen ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan RM6.39 juta dibayar untuk kontrak dan mesin pastri.

Dengan kerugian sebegini besar, apakah pihak berkuasa, sama ada kementerian atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ‘tenguk saja’?

Duit FELDA duit siapa?


Monday, November 21, 2016

Apa Sudah Jadi Dengan Dengan Penjawat Awam VIP Kita...

Kes rasuah 14 November lalu.
Dengan adanya satu lagi kes rasuah terbaru di kalangan penjawat awam semalam, amat nyata kejadian itu kini tidak lagi menyelubungi ahli politik, sebaliknya lebih kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar untuk rakyat.

Apakah bentuk pentadbiran awam negara atau negeri sekiranya orang yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dengan mudah mengumpul harta untuk kepentingan diri dan keluarga melalui jalan salah?

Bukan sahaja akan berlaku ketirisan dan kegagalan kepada projek atau program yang dilaksanakan tetapi rakyat pastinya marah kerana apa yang diharapkan mereka tidak akan pernah menjadi kenyataan.

Isu rasuah di kalangan penjawat awam  akhir-akhirnya semakin dilondehkan dan kerajaan sama ada Putrajaya atau negeri, tidak boleh melepaskan tangan dengan hanya amaran dan janji untuk bertindak semata-mata.

Amaran hendaklah diikuti dengan tindakan tegas.


Usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilakukan segera dan janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad 13 Ogos lalu bagi memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam masa terdekat, semakin menghampiri kejayaan.

Janji beliau ialah penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang siasat seorang pengarah agensi Persekutuan yang dikatakan memiliki wang simpanan jutaan ringgit di dalam beberapa akaun bank dipercayai diperoleh hasil kegiatan rasuah.

Kekayaan yang dimiliki seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan itu dikaitkan dengan  menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Kes rasuah di kalangan penjawat awam ternyata serius kerana pada 14 November lalu, seorang pe­ngarah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan SPRM di Shah Alam, Selangor kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima suapan sehingga memiliki wang simpanan berjumlah RM40.6 juta.

Siasatan polis mendapati sebanyak 10 buah kereta mewah dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik tiga suspek termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk dirampas oleh SRM.

Kesemua kenderaan dan jam tangan tersebut dirampas untuk siasatan kerana disyaki dibeli daripada hasil suapan dan salah guna kuasa.


Menurut sumber, 10 kereta mewah tersebut adalah dua buah Range Rover dan masing-masing sebuah Bentley, Daimler, Aston Martin, BMW 4 Series, Mini Coo­per, Audi Q5 dan Audi Q3 yang bernilai antara RM150,000 hingga RM700,000 sebuah.

Jam tangan mewah yang dirampas pula adalah dua utas Frank Muller dan Bvlgari serta seutas Rolex yang kesemuanya bernilai RM230,000.

“Jumlah itu tidak termasuk nilai sitaan beberapa akaun bank berjumlah RM40.1 juta yang te­lah dibekukan sebelum ini. Difahamkan, beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik ketiga-tiga suspek yang nilainya masih belum diketahui juga bakal disita.

Ketika ini SPRM masih mengumpul bukti dan beberapa saksi juga sedang dikesan untuk diambil keterangan.

Tiga hari sebelum itu iaitu pada 11 November pula,  seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC berusia 56 tahun yang memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta ditahan SPRM di Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa juga kerana menerima suapan.

Pada Oktober lalu pula, SPRM mencatat sejarah tang­­kapan dan rampasan terbesar apabila 22 pegawai kanan termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah ditahan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion. Hampir RM60 juta wang tunai dirampas dalam operasi tersebut selain aset dan akaun yang dirampas serta dibekukan.

Apakah dengan kes besar seperti ini SPRM berpuas hati dan akan selepas ini akan berdiam diri daripada memperbetulkan perjalanan pentadbiran kerajaan dan agensinya demi kepentingan rakyat?

Dzulkifli sudah memberi jaminan bahawa pihaknya tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

Baginya, golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Kerana itu dalam kes terbaru membabitkan pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang berusia 59 tahun, SPRM tidak akan membenarkan kejadian mengumpul harta-harta yang dilakukan sejak menyandang jawatan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Dilaporkan,  wang tersebut adalah hasil daripada aktiviti ra­suah yang diperoleh daripada kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan projek-projek di bawah seliaannya.

“Bagi mendapatkan projek bernilai jutaan ringgit tersebut, kontraktor-kontraktor yang dilantik juga disyaki telah memberikan wang suapan di antara puluhan dan ratusan ribu kepada suspek.

“SPRM mula memantau suspek tersebut sejurus menerima maklumat berhubung pemilikan kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan jawatan yang dipegangnya baru-baru ini,” katanya sumber yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Malah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki sduah  mengesahkan perkara tersebut.

Hasilnya? Tangkapan terhadap suspek akan dibuat da­lam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Monday, November 14, 2016

Bekas CEO GLC Dikenal pasti Seleweng Projek RM50 Juta


Belum pun isu Datuk yang mengepalai sebuah  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan kerana rasuah reda, hari ini bekas Pengarah Urusan sebuah GLC lain dilaporkan akan ditahan berkaitan penyelewengan.

Kali ini ia membabitkan  seorang bekas CEO yang di disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan projek bernilai RM50 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki berkata suspek lelaki yang berumur 50-an itu akan akan ditahan dalam masa
terdekat.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaaan. "Mungkin akan ditahan dalam sehari dua lagi," katanya ringkas hari ini.

Media hari ini melaporkan suspek disyaki memberikan projek bernilai jutaan ringgit kepada syarikat-syarikat berkepentingan atau  atau ‘kroni’.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati suspek turut mene­rima wang suapan sebagai balasan.

“Bagaimanapun, suspek yang menjalani kehidupan mewah luar biasa itu telah meletakkan jawatannya pada tahun lalu.

SPRM masih menyiasat jum­lah wang suapan yang telah di­terima suspek selama meme­gang jawatan tersebut dan aset yang dimilikinya.

Suspek kini memegang jawatan sebagai Pengarah di sebuah syarikat GLC lain.

Kegiatan rasuah itu berlaku ketika dia memegang jawatan CEO selama lima tahun bermula tahun 2010. 
  
Pada 11 November lalu, CEO sebuah GLC ditahan SPRM kerana salah guna kuasa dan rasuah.

SPRM menahan suspek berusia 56 tahun itu di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 9.35 pagi hari berkenaan.

SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga kenderaan iaitu dua kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya.

SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah.


Jumlah kesemua harta yang dimiliki CEO itu dikatakan berjumlah RM10 juta.

Friday, November 11, 2016

SPRM Tahan Pengarah GLC, Temui Aset Lebih RM10j

\

Benarkan beberapa projek kerajaan yang gagal disiapkan kontraktor dalam tempoh ditetapkan dapat dite­rus­kan selepas terima suapan?

Itu antara salah guna kuasa yang dipercayai dilakukan seorang pengurus besar sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) sehingga mampu hidup mewah luar biasa.

Menurut sumber, demi wang, pengurus besar itu juga diperca­yai sanggup memecat pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengannya.

“Bagaimanapun, salah laku le­laki itu berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil maklumat awam.
  
“Siasatan awal mendapati dia yang telah memegang jawatan berkenaan sejak beberapa tahun memang hidup mewah di luar kemampuan,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.


“Inilah bahaya apabila seseorang yang mengamalkan rasuah sehingga sanggup mengenepikan mereka yang berintegriti asalkan matlamat menghalalkan cara.

“Mereka yang berintegriti sudah tentu tidak akan berkompromi dengan pegawai sedemikian ru­pa,” katanya ketika dihubungi di sini.

SPRM memandang serius perkara seperti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat.

Berikutan itu SPRM meminta pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting untuk tidak menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.
 
Datuk Azam sahkan penahanan pengarah urusan GLC di Seremban.
Sementara itu mStar melaporkan dalam kes yang dilihatberkaitan, seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan SPRM kerana salah guna kuasa dan rasuah.


Menurut sumber, pasukan siasatan SPRM menahan suspek berusia 56 tahun itu di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 9.35 pagi Khamis.

"SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiga kenderaan iaitu dua kereta jenis Audi TT, Toyota Hilux dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek di kediamannya.

"SPRM juga telah membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah kira-kira RM2.5 juta yang disyaki diperolehi secara rasuah," kata sumber itu.

Suspek mempunyai tiga anak.

Suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2010 juga disyaki bertindak menamatkan perkhidmatan kira-kira 20 pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengan perbuatannya.

"Pegawai tersebut juga dipercayai telah menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan," kata sumber itu lagi.

Selain itu suspek turut memiliki sembilan rumah yang dipercayai dibeli secara tunai.

"Kesemua rumah itu dibeli di Putrajaya (3), pusat bandar Kuala Lumpur (1), Cyberjaya (1) dan Negeri Sembilan (4) bernilai lebih kurang RM 8 juta," katanya.

Difahamkan suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Putrajaya pada Jumaat bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Penahanan pegawai kanan GLC itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Beliau tidak menolak beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat terhadap mereka yang memegang jawatan penting yang dipercayai menerima wang suapan dengan menyalahgunakan kuasa mereka.

Beliau berkata, suspek yang ditahan dipercayai telah menyalahgunakan kuasa yang ada untuk kepentingan diri sendiri sehingga menjejaskan kerjaya dan pendapatan orang lain.

Semalam, ketika mengulas berhubung kes ini kepada media Azam berkata, ia merupakan satu perkara yang bahaya apabila seseorang yang mengamalkan rasuah sehingga sanggup mengenepikan mereka yang berintegriti asalkan matlamat menghalalkan cara.